Tanpa pengalaman dan latihan khusus dalam penganjuran acara, Nur Hamizah Abdul Ghapar bagaimanapun ‘lulus’ apabila berjaya menganjurkan majlis yang meriah dan mendapat pujian syarikat berkenaan.

Sejak itu, wanita berusia 30-an ini tidak menoleh ke belakang dan terus mendapat kepercayaan pelbagai syarikat dan agensi kerajaan untuk mengatur majlis rasmi, makan malam, hari keluarga dan lain-lain.

Nur Hamizah atau lebih mesra dengan panggilan Mia berkata, syarikatnya yang beroperasi di Seremban telah mengendalikan 257 majlis korporat dan acara sepanjang tiga tahun lalu. Malah, ada acara yang dikendalikannya menerima kehadiran 3,000 pengunjung.

Katanya, selain penganjuran majlis, beliau turut terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan yang berkaitan antaranya pengiklanan, sewaan kelengkapan, videografi korporat, artis dan katering.

“Saya memang suka berjumpa dan berinteraksi dengan orang ramai dari pelbagai lapisan, status dan latar belakang. Itu salah satu sebab saya berkecimpung dalam bisnes pengurusan acara.

“Sejak dulu lagi saya berminat menghadiri acara terutama yang diadakan di kawasan terbuka, lihat orang berniaga dan ekspo perniagaan. Ini semua menambah pengalaman dalam hidup saya,” kata pemilik syarikat Mia Laura Corporate Event & Management ini.

Mengakui persaingan yang wujud dengan syarikat pengurusan acara lain, Mia berkata, setiap orang dianugerahkan rezeki masing-masing, namun dia sentiasa menekankan kualiti dan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.

“Pelanggan adalah ‘bos’. Jadi, saya perlu pastikan mereka berpuas hati apabila selesai majlis. Saya mahu mereka berasa setiap sen yang dibelanjakan untuk majlis itu adalah berbaloi,” katanya.

Beliau biasa berdepan pelbagai kerenah pelanggan, namun sentiasa bersedia untuk berunding dan mendengar keperluan serta kekangan terutama melibatkan bajet.

“Kebiasaannya saya akan cadangkan bajet yang sesuai dengan keperluan pelanggan. Mereka boleh berbincang dan kita juga boleh buat majlis berdasarkan kemampuan mereka,” ujarnya.

Katanya, setakat ini beliau tidak berdepan pengalaman buruk dengan pelanggan kecuali ada yang mengubah persetujuan pada saat akhir sehingga menimbulkan kesulitan kepadanya.

Memiliki diploma dalam bidang komunikasi, Mia beruntung kerana mempunyai 30 pekerja yang sanggup bekerja keras dalam mengendalikan sesuatu acara yang kadang kala memerlukan persiapan beberapa minggu.

“Paling penting adalah perancangan sebelum majlis dan semua kakitangan tahu tugas dan peranan masing-masing. Sebagai majikan, saya sentiasa tegas semasa bekerja tetapi di luar waktu kerja, mereka adalah sahabat saya,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini.

Ditanya perancangannya, Mia sedang dalam peringkat akhir untuk menganjurkan satu karnival besar-besaran bagi mempromosi kebudayaan dan tarikan di negara ini.

Katanya, karnival yang mendapat kerjasama beberapa syarikat gergasi akan turut memberi peluang kepada usahawan muda menjual barangan mereka dan dalam masa sama menimba pengalaman serta kerjasama dengan syarikat ternama.

Wanita yang minat melancong dan melakukan kerja amal itu kini turut berjinak-jinak dalam perniagaan produk kesihatan dan kecantikan wanita.

“Saya cuba mempelbagaikan perniagaan dan melihat peluang lain. Kita perlu melihat potensi yang ada dan bijak memanfaatkan peluang” ujarnya.

Ibu kepada seorang anak berusia empat tahun ini mengakui kegagalan perkahwinan dan keazaman untuk membesarkan anak dengan sempurna menjadikannya tabah.

Kerana kasih kepada anak kesayangan, syarikat miliknya dinamakan hasil gabungan namanya dan anak, Laura Nur Fayqa.

Selain itu, beliau menyifatkan bapanya, Abdul Ghapar Mat Ghani, 73, dan ibu, Latifah Akop, 64, sebagai tulang belakang yang sentiasa menyokongnya agar berjaya dalam bidang diceburi.