Melihat keindahan bunga ini juga membuatkan hati berasa ‘berbunga-bunga’ untuk menikmati juadah yang disediakan oleh restoran yang terletak di Hampshire Place, Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur.

Pemilik Flora Terrace yang juga Pengarah Urusan, Syed Safwan Syed Rahmullah berkata, hiasan dalaman dengan menggunakan bunga adalah jenama dan simbolik kepada restoran ini yang menyediakan juadah ala hotel bertaraf lima bintang namun saiz hidangan yang lebih besar harga dengan yang berpatutan.

Restoran yang boleh memuatkan 250 pelanggan iaitu 100 orang di bahagian dalam dan 150 lagi di bahagian luar menawarkan menu hidangan barat dan tempatan namun hampir kesemua resipi yang digunakan adalah ilham cef dan resipi turun temurun keluarga Syed Safwan.

Pengurus Jualan, Nazir Ibrahim berkata, hidangan yang menjadi tarikan utama di Flora Terrace ialah Lambrack, daging kambing dengan sos lada hitam yang mempunyai kepekatan sederhana diadun sendiri menggunakan herba-herba berkualiti

Mereka yang meminati nasi beriani pula, hidangan Nasi Beriani Bibi menggunakan rempah beriani resipi istimewa turun temurun daripada nenek Syed Safwan yang berasal dari Taiping, Perak adalah antara hidangan yang mesti dicuba.

Aroma rempah beriani yang diadun dalam nasi memang mengujakan, dihidang pula dengan kari ayam dan jelatah atau acar timun dan nenas yang melengkapkan hidangan tersebut.

‘’Resipi rempah beriani memang adunan tok (nenek) saya kerana kami daripada keluarga tukang masak. Maka rempah ini memang digunakan ketika membuat hidangan nasi beriani sejak dahulu lagi,’’ katanya.

Turut menjadi tarikan di restoran ini ialah hidangan ikan salmon madu atau honey glazed salmon iaitu ikan salmon segar disapu madu kemudian digoreng menggunakan sedikit minyak atau pan-fried dan dihidang bersama-sama sos mangga.

‘’Hidangan chicken chop di restoran ini turut menjadi kegemaran pelanggan kerana keenakan ayam yang digoreng ranggup dan dihidang dengan sos lada hitam malah seringkali pelanggan akan meminta kami menambah sos ini kerana keunikan rasanya,’’ kata Nazir.

Yang meminati air mocktail restoran ini turut menyediakan pelbagai jenis mocktail tanpa alkohol antaranya virgin mojito, gabungan air soda dengan pilihan perasa yang disukai pelanggan dicampur dengan daun pudina yang ditumbuk serta limau nipis.

Selain makanan tempatan berupa nasi sehinggalah ke mi goreng atau mi berkuah, laksa Johor dan laksa Penang, restoran ini turut menyediakan hidangan snek petang yang pastinya mengimbau banyak kenangan. Antaranya seperti pisang sira, ubi kayu rebus atau goreng dihidang bersama-sama sambal kelapa dan sambal tumis, kuih muih tempatan serta teh tarik.

Ada juga makanan barat yang diolah untuk memenuhi cita rasa pelanggan tempatan iaitu spageti daun kesum atau ikan masin. Kata Nazir, lebih 40 jenis hidangan disediakan oleh tujuh cef restoran dengan harga bermula RM15 namun pihaknya turut menawarkan pelbagai pakej bagi mana-mana pihak yang ingin menganjurkan majlis keraian mengikut konsep yang diingini.

Flora Terrace juga telah membuka tempahan sepanjang bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi melalui hidangan bufet Ramadan dengan harga RM75 setiap seorang.

Sebanyak 100 jenis juadah termasuk kambing bakar serta pencuci mulut disediakan dan pelanggan yang membuat tempahan awal menerima potongan harga iaitu RM70 seorang.