Namun, bagi mereka yang berminat dalam dunia pendakian tetapi tidak mahu terlalu jauh keluar dari ibu kota, ada beberapa gunung yang seronok didaki dan lokasinya agak dekat dengan Kuala Lumpur.

Antaranya Gunung Gap dan Gunung Ulu Semangkok yang terletak dekat Kuala Kubu Bharu. Perjalanan dari Kuala Lumpur tidaklah terlalu jauh, mudah untuk pendakian sehari.

Gunung Gap dan Gunung Ulu Semangkok boleh dikatakan dua gunung berkembar. Kedua-dua gunung itu mempunyai ketinggian yang sederhana iaitu Gunung Gap 1,183 meter (3,881 kaki) manakala Ulu Semangkok 1,394 meter (4,573 kaki).

Lantas dengan semangat itu, saya bersama Siput Trackers Adventure Club bersama 35 pendaki lain termasuk jurupandu dan ‘sweeper’ (gelaran bagi kru yang membawa peserta paling akhir), bergerak ke Kuala Kubu Bharu untuk mendaki dua gunung tersebut baru-baru ini. Pendakian dimulakan pada kira-kira pukul 6.30 pagi.

Ini adalah pendakian kali kedua penulis ke dua gunung itu. Oleh itu, sudah tertanam dalam minda trek pendakiannya, jadi saya sudah bersedia dari segi mental dan keperluan yang sepatutnya. Boleh dikatakan treknya tidak terlalu mencabar tetapi tidak juga boleh diandaikan senang. Ia dalam kategori sederhana.

Bagi mereka yang baru terlibat dalam dunia pendakian, trek ke dua gunung ini amat sesuai untuk menguji kekuatan, namun tidak sampai membuatkan anda menangis.

Jangan terkejut jika mula-mula memanjat Gunung Gap, kita sudah diuji dengan trek yang memacak. Terkejut sekejap kaki dan betis lebih-lebih lagi kalau tidak sempat melakukan sesi memanaskan badan. Tetapi jangan risau, perjalanan menuju ke puncak tidaklah terlalu lama, bergantung kepada kemampuan seseorang.

Ada yang laju, boleh memecut naik dalam masa 45 minit dan bagi mereka yang kurang padu, barangkali mengambil masa sekitar satu jam. Apa yang penting ialah anda sampai ke puncak.

Biasanya apabila sampai ke satu-satu lokasi, sesiapa yang kelaparan akan mengambil kesempatan untuk makan bagi mendapatkan tenaga. Aktiviti lainnya, apa lagi kalau bukan bergambar sakan dengan pelbagai aksi di puncak Gunung Gap. Selepas berehat kira-kira satu jam, kami bergerak pula ke Gunung Ulu Semangkok.

Sebenarnya pada hari tersebut, ada ramai kumpulan pendaki lain yang juga mahu menjejakkan kaki ke gunung itu. Dianggarkan sekitar lebih 100 pendaki akan berada serentak di puncak tersebut membuatkan saya berasa sesak nafas.

Puncak Ulu Semangkok tidaklah luas. Oleh itu, jika terlalu ramai berada di puncak, pasti sesak. Namun, apa yang penting, jika mahu merakamkan kenangan terdapat beberapa tempat menarik untuk bergambar, tetapi terpaksa berbaris menunggu giliran.

Bagi mengelakkan kesesakan di puncak, saya bersama beberapa rakan pendaki berjalan perlahan-lahan dengan harapan ketika kami berada di puncak kelak, sebahagian daripada mereka yang telah sampai dahulu ke puncak akan turun.

Hakikatnya, itu semua alasan. Sebenarnya pada masa sama, dapatlah kami melepas lelah di sepanjang pendakian dan menarik kembali nafas yang mencungap apabila ada beberapa trek yang mencabar dan memerlukan kekuatan kaki untuk melangkah.

Satu perkara penting apabila mendaki mana-mana gunung, kita memerlukan rakan pendaki yang ‘satu kepala’ iaitu mempunyai persefahaman, sporting dan boleh menceriakan suasana bersama-sama.

Jadi, keletihan akan terubat apabila sepanjang mendaki, kita bersembang dan berkongsi pelbagai cerita, malah ada kalanya menyanyi untuk menghilangkan stres.

Ibarat kata bahasa pendaki, ‘kita naik sama-sama, kita pewai sama-sama’ (pewai bermaksud keletihan melampau ketika mendaki).

Perjalanan dari Gunung Gap ke Ulu Semangkok mengambil masa sekitar dua jam kepada mereka yang cergas dan padu, tetapi buat yang kurang stamina, sudah tentu lebih daripada itu.

Treknya boleh dikatakan beralun, sekejap turun, kemudian landai dan selepas itu kembali mendaki, namun jaraknya tidak terlalu jauh.

Tetapi percayalah, sebaik sahaja berada di atas puncak, segala jerih-perih dan peluh yang mengalir membasahi baju akan hilang serta-merta sebaik sahaja melihat pemandangan indah dengan pandangan hampir 360 darjah.

Apa yang pasti, nikmat berada di puncak hanya boleh dirasai oleh si pendaki terutama mereka yang dalam perjalanan dipenuhi rasa geram dan marah kerana ‘ditipu’ jurupandu yang kononnya hanya lima minit lagi akan sampai ke puncak. Sedangkan, pendakian mengambil masa mungkin satu jam. Itulah sebenarnya motivasi untuk sesetengah pendaki.

Sebab itu, sebaik sahaja kaki memijak puncak gunung, perkara pertama yang dibuat adalah ‘mencampak’ beg berat berisi air dan makanan, kemudian terus mencari lokasi untuk mengambil gambar. Itu yang sering kali dibuat oleh kebanyakan pendaki. Hilang sudah rasa sakit.

Bagi yang sudah biasa mendaki, antara barang wajib dibawa adalah dapur dan kelengkapan memasak yang lain kerana sebaik sahaja tiba di puncak, apa yang menyeronokkan ialah minum air panas dengan bekalan makanan yang dibawa.

Jika membawa bekal nasi lemak, makan di puncak gunung sambil menghirup air panas, perasaannya sangat luar biasa. Puas dan kenyang dengan hembusan angin gunung meniup wajah.

Selepas lebih satu jam berada di puncak, menuruni trek yang menjunam juga tidak mudah. Langkah kaki perlu diatur dengan baik agar tidak tersandung mana-mana akar kayu. Kalau terjadi, meranalah jawabnya.

Tetapi, seronoknya dua gunung yang berada dalam kategori sederhana itu pasti boleh dikunjungi lagi jika punya kesempatan.