Disebabkan itu, golongan guru paling ramai dikesan mengalami stres berbanding kerjaya lain.

CERIA... Aktiviti mendaki ternyata dapat menghilangkan stres
CERIA... Aktiviti mendaki ternyata dapat menghilangkan stres.

Hal tersebut dibuktikan melalui kajian sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati kira-kira 71.1 peratus guru di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami stres.

Bagi mengatasi masalah tersebut, sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bandar Puchong 1 baru-baru ini mengadakan ekspedisi santai mendaki Bukit Wawasan di Puchong, Selangor.

Ekspedisi menawan bukit berketinggian 233 meter dari paras laut itu membabitkan seramai 35 guru yang diketuai oleh Guru Besar SK Pusat Bandar Puchong 1, Arifin Awang.

Ekspedisi dimulakan dengan aktiviti memanaskan badan dan taklimat oleh jurupandu arah, Mohd. Suhaimi Ibrahim yang turut dibantu oleh pendaki dari Team Pendaki Solo.

Pendakian dimulakan pada pukul 9 pagi dengan peringkat permulaan perjalanan kesemua peserta ‘dihidangkan’ dengan trek yang agak santai.

Hanya pada ketinggian berbaki kira-kira 50 meter sebelum tiba di puncak, peserta terpaksa berdepan dengan trek yang agak mencanak.

Selepas kira-kira satu jam 30 minit perjalanan, kesemua peserta akhirnya berjaya tiba di puncak bukit itu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam.

Di puncak, jelas terpapar riak kegembiraan pada wajah guru-guru tersebut yang rata-ratanya baru pertama kali mencuba aktiviti mendaki.

Kesemua peserta meluangkan masa berehat di puncak selama kira-kira setengah jam sebelum meneruskan perjalanan turun dan menamatkan pendakian.

Arifin ketika ditemui S2 berkata, beliau berasa gembira melihat guru-guru kelihatan ceria apabila tiba di puncak.

Situasi itu sekali gus menunjukkan aktiviti mendaki berupaya mengatasi stres guru yang sebelum ini agak terbeban dengan tanggungjawab di sekolah.

“Apabila melihat guru-guru ceria dan seronok, maka objektif kita melakukan aktiviti mendaki ini tercapai. Dalam masa sama, aktiviti ini juga baik untuk kesihatan.

“Aktiviti ini juga adalah sebagai Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) yang memerlukan guru memenuhi syarat latihan 42 jam setahun,” katanya.

MOHD SUHAIMI IBRAHIM (kanan) memberi taklimat kepada peserta mengenai
MOHD SUHAIMI IBRAHIM (kanan) memberi taklimat kepada peserta mengenai Bukit Wawasan.

Menurut Arifin, aktiviti seumpama itu adalah pertama kali dilakukan yang membabitkan penglibatan semua guru di sekolah itu.

Beliau bercadang aktiviti tersebut diadakan dengan lebih kerap disamping melakukan aktiviti lain yang lebih mencabar.