Pengarah program, Wan Nur Adibah Wan Zakaria, 22, berkata, program anjuran Sekretariat Sukarelawan UM (SEKRUM) itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Komunikasi Korporat PPUM.

“Ini adalah program pertama anjuran SEKRUM. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Hampir semua sukarelawan tidak pernah meluangkan masa di hospital bersama pesakit dan keluarga pesakit seperti ini. Jadi, program ini memberi pengalaman baharu buat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahasiswa tahun kedua jurusan ukur bahan itu berkata, Program Mahasiswa Penyayang yang bermula pada Mac lalu menyaksikan sukarelawan dibahagikan kepada empat kumpulan. Mereka ditugaskan di empat lokasi utama iaitu Menara Utama, Menara Timur, Menara Selatan, dan Kompleks Wanita dan Kanak-kanak.

Tujuan program itu adalah menyediakan platform tugas kesukarelawanan yang berimpak dan mudah disertai. Selain itu, program itu juga menyokong inisiatif PPUM yang ingin melihat ahli masyarakat turut memainkan peranan dalam proses pemulihan pesakit.

Aktiviti yang dilakukan oleh sukarelawan termasuk membantu menolak kerusi roda, membawa barangan peribadi dan memberi khidmat tunjuk arah kepada pesakit luar dan keluarga mereka yang mengunjungi PPUM.

Wan Nur Adibah berharap sukarelawan dapat mempelajari cara yang betul untuk mengendalikan pesakit luar di hospital sekali gus menimba pengalaman baharu. Diharapkan juga sukarelawan dapat mengamalkan nilai-nilai yang diperoleh daripada program ini ke dalam kehidupan seharian mereka.

“Sekurang-kurangnya program ini memberi kesedaran bahawa kita tidak semestinya dikurniakan kesihatan baik sepanjang masa. Justeru, menjadi kewajipan kita yang mempunyai kudrat untuk membantu mereka yang sedang mengharungi dugaan hidup,” tambahnya.

Seorang sukarelawan, Nur Dalila Zolkipli, 20, berkata, jumlah pesakit luar dan keluarga atau penjaga mereka yang hadir untuk mendapatkan rawatan di PPUM adalah terlalu ramai setiap hari.

“Kehadiran sukarelawan amat diperlukan bagi memberi sokongan moral kepada mereka dan staf hospital yang bertugas,” katanya yang merupakan mahasiswa tahun pertama jurusan kejuruteraan elektrik.

Menariknya, program itu turut meraikan doktor yang bertugas sempena Hari Doktor Sedunia pada 30 Mac 2019 dengan memberikan cenderahati kecil sebagai tanda sokongan kepada mereka.

Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar UM yang merupakan pegawai penasihat program, S. Ramlee Shamsuddin berkata, kemahiran itu bakal menjadikan mereka seorang yang berjiwa rakyat dan tidak jemu berbakti kepada negara.

“Penyertaan dalam program sebegini mendidik mereka untuk menjadi lebih matang dan mampu membuat keputusan secara rasional apabila menjadi pemimpin kelak,” katanya.