MENU nasi lemak menanti penggemar makanan segera di semua cawangan McDonald’s seluruh negara.
MENU nasi lemak menanti penggemar makanan segera di semua cawangan McDonald’s seluruh negara. 

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, sepanjang 37 tahun lalu, rakyat Malaysia telah membantu membangunkan jenama McDonald’s Malaysia seperti yang dikenali hari ini.

“Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan itu, kami memutuskan untuk menerima pakai nama panggilan mesra Mekdi yang diberikan kepada kami dan ia kini sinonim dengan jenama kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam meraikan Bulan Kemerdekaan, McDonald’s Malaysia menyambut segala yang berkaitan Malaysia dengan memperkenalkan nasi lemak McD, hidangan kegemaran ramai rakyat Malaysia dalam versinya tersendiri.

Hidangan itu disajikan lengkap dengan nasi bersantan yang wangi, ikan bilis rangup, timun segar dan telur goreng beserta sambal pedas. Pelanggan juga boleh merangsang selera mereka dengan menambah ayam goreng McD dan secawan teh ais limau.

Menyedari populariti nasi lemak dalam kalangan rakyat, McDonald’s Malaysia turut memulakan petisyen di seluruh negara dalam laman web Change.org supaya nasi lemak diiktiraf secara rasmi sebagai hidangan kebangsaan Malaysia dengan sasaran mengumpul satu juta tanda tangan menjelang Hari Malaysia pada 16 September ini. Untuk turut serta dalam petisyen ini sila layari http://chng.it/LDfjGDJsQs.