Itu antara kata-kata yang menjadi pegangan kepada seorang wanita yang mempunyai hati kental apabila dia nekad melibatkan diri dalam kerjaya cari gali minyak di lautan yang penuh mencabar.

Meskipun seringkali dipandang serong oleh masyarakat, wanita manis tinggi lampai ini tidak mahu mengambil peduli mengenai tanggapan yang dilemparkan kepadanya.

 

Biarlah segala cemuhan dikeluarkan. Apa yang penting, dia tahu ke mana hala tuju kehidupan yang bakal dibina untuk menggapai impian dan cita-citanya.

Pujangga itulah yang disemat rapi oleh Marianny Ismail, 33, sepanjang terlibat dalam kerjaya industri petroleum. Menurutnya, kerjaya sebagai ahli geologi itu termasuk dalam bidang cari gali minyak dan gas.

“Memang mencabar bagi seorang wanita menceburi bidang ini. Cabarannya sangat besar, namun sekiranya mempunyai minat yang mendalam, insya-Allah segala kesukaran boleh diatasi.

“Persiapan mental perlu dilakukan kerana hidup sebagai seorang ahli geologi cari gali minyak ini kadangkala memerlukan kita bekerja selama tiga hari di atas pelantar tanpa tidur yang cukup bagi mengelak risiko kesilapan,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, Marianny yang mempunyai perwatakan lemah-lembut itu tidak kekok untuk berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dalam industri petroleum sejak mula bekerja sehingga sekarang.

“Meskipun pendapatan sebagai seorang ahli geologi cari gali minyak lumayan sehingga mencecah berpuluh ribu ringgit sebulan, namun harus diingat bahawa tanggungjawabnya juga sangat besar.

“Sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan, sudah cukup membahayakan nyawa seluruh pekerja di atas pelantar cari gali minyak. Malah, kesilapan juga boleh menyebabkan letupan berlaku di atas pelantar,” katanya.

Tambahnya, bekerja di atas pelantar minyak di tengah lautan memaksanya tidur dalam keadaan kurang selesa kerana persekitaran dan keberadaan di tengah lautan selama seminggu atau lebih.

 

“Semasa bekerja di atas pelantar, saya perlu merentas jambatan ke platform lain untuk masuk ke ruang tidur dan berehat. Ini kerana ruang bekerja dan berehat berada di platform yang berasingan,”tambahnya.

CARI GALI PETROLEUM

Namun katanya, apa yang paling mencabar semasa bekerja adalah 80 peratus pekerja di dalam bidang ini adalah lelaki dan beliau satu-satunya wanita yang bertugas di atas platform tersebut.

Mengulas lanjut, Marianny turut memberitahu bahawa di dalam bidang industri cari gali petroleum, sebarang kesilapan yang berlaku boleh menyebabkan kerugian mencecah berpuluh juta ringgit dalam masa sehari.

“Disebabkan perkara itu, ahli geologi perlu sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas, sama ada memantau sistem cari gali minyak dan sebagainya.

“Kerugian seharusnya dielakkan, dengan memastikan tiada kesilapan di dalam data dan prosedur tugas yang dilakukan,” katanya.

Marianny turut mempunyai sebuah butik pakaian di bawah jenama rekaannya sendiri. Katanya, butik itu lahir hasil titik peluh yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Meskipun melibatkan diri dalam bidang yang mencabar, namun Marianny tidak pernah melupakan rasa cinta terhadap bidang fesyen yang diminatinya sejak kecil.

“Saya mengambil kelas fesyen selama setahun sebelum membuka sebuah butik pakaian di Titiwangsa. Ini saya lakukan untuk meneruskan minat saya dalam bidang fesyen.

“Perancangan membuka butik pakaian ini adalah untuk masa depan. Sekiranya saya tidak lagi berada di dalam industri petroleum dan minyak, saya mungkin akan melibatkan diri dalam perniagaan pakaian,” katanya.

Tambahnya, dia turut aktif menganjurkan pertunjukan fesyen pakaian di pentas peragaan untuk memperkenalkan jenama pakaian sendiri.

“Menerusi industri fesyen ini, saya berpeluang berjumpa dengan ramai kawan dari pelbagai industri, sekali gus memberikan tunjuk ajar dan galakan kepada saya,”ujarnya.

Ibu tunggal ini menambah, dia turut berjaya membuktikan kepada orang ramai apabila berjaya muncul sebagai pemenang kedua Miss Universe Malaysia 2018.

“Semua orang perlu yakin dengan diri mereka sendiri, kejar cita-cita mereka selagi mampu dan jangan pernah mengalah,” katanya.