Malah, wanita yang bijak menata rias wajahnya dengan solekan nipis juga mampu membangkitkan seri dan lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai.

 

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir wanita yang malas untuk menghias diri dengan alasan sudah berumah tangga mahupun terlalu sibuk dengan urusan harian.

Namun, tidak untuk gadis kecil molek ini iaitu Amyrah Nasuha Badrin, 22, atau dikenali sebagai Amy yang mahu wanita pada hari ini untuk bangkit menjaga penampilan diri agar sentiasa tampak menawan.

Menurut gadis yang mempunyai pendidikan dalam bidang fesyen dan pakaian ini, penjagaan penampilan diri sangat penting dan tidak boleh diambil remeh oleh seseorang wanita.

“Sekiranya terlalu sibuk sekalipun, kita tetap perlu pastikan penampilan diri kemas, sekurang-kurangnya memakai gincu serta pemerah pipi agar tidak kelihatan kusam dan pucat.

“Kadang-kadang kita perlu yakin dan berani untuk mengayakan sesuatu fesyen yang luar biasa dan jangan pernah peduli apa orang kata,” ujarnya.

Tambah gadis asal Melaka ini, setiap wanita perlu mempunyai sifat berani mencuba penggayaan baharu kerana ramai yang dilihat takut untuk berfesyen disebabkan tidak yakin pada diri sendiri.

“Teknik penggayaan tudung atau lilitan shawl turut memainkan peranan untuk memberikan imej lebih segar dan trendy kepada si pemakai untuk tampil lebih anggun serta bergaya,” katanya.

Di samping itu Amy berkata, untuk kekal cantik dan jelita, seseorang itu perlu menjaga pemakanan dengan memakan banyak sayur-sayuran serta buah-buahan untuk kulit yang menawan.

 

“Malah, setiap orang perlu minum air secukupnya iaitu sekurang-kurang lapan gelas air sehari supaya badan sentiasa sihat dan segar sepanjang masa.

“Tidak perlu pengambilan makanan tambahan (suplemen) untuk cantik, tetapi cukup sekadar menjaga dan mengawal dengan amalan pemakanan yang sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Amy turut bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya suatu hari nanti dengan membuka rangkaian perniagaan berkaitan fesyen.

“Saya akui banyak cabaran yang perlu ditempuhi terutama dalam industri fesyen, namun saya akan cuba kekal positif untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Meskipun perjalanan saya untuk mencapai tahap itu masih jauh, namun saya perlu sentiasa kekal positif dan belajar daripada kesilapan bermula dari bawah,” katanya.

INFO
 

Amyra Nasuha Badri

Umur: 22 tahun

Pendidikan: Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka

Pekerjaan: Eksekutif Media Sosial, Jelita Sara

@amynasuhaa