Bahkan tidak dinafikan kelebihan bertutur dan menulis dalam bahasa asing juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang memerlukan penguasaan sesuatu bahasa.

Seperti Zeti Nur Afiqah Alpikri, 22, yang mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin membuka peluang kerjaya buatnya sebagai seorang guru Bahasa Cina selepas menamatkan penggajian dalam kursus bahasa tersebut di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China tahun depan.

ZETI NUR AFIQAH

Dia yang merupakan pelajar tajaan Kementerian Pendidikan mula mempelajari bahasa Mandarin sejak empat tahun lalu dan kini semakin berminat mempelajari bahasa itu melalui bacaan novel.

“Saya tidak pernah mempelajari bahasa Mandarin sebelum menyambung penggajian ke China. Saya hanya mula mempelajari bahasa tersebut setelah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Tanpa disedari minat untuk mempelajari dan menguasai bahasa tersebut hadir,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Zeti Nur Afiqah berpendapat, bahasa Mandarin menarik dan unik untuk dipelajari kerana terdapat empat nada suara berbeza selain penulisan bahasa itu atau dikenali sebagai Hanzi agak sukar untuk dihafal.

“Sejak ke sini (China) boleh dikatakan saya berminat dengan semua perkara berkaitan negara itu termasuk sejarah, budaya, bahasa dan tradisi mereka yang unik. Ekoran itu timbul keinginan untuk mengetahui asal usul bahasa Mandarin,” jelasnya.

Ingin berkongsi minat dan melihat lebih ramai anak Melayu menguasai bahasa Mandarin mendorong Zeti Nur Afiqah memasang azam untuk mengajar dan melakukan yang terbaik agar bakal pelajarnya mendapat manfaat melalui bahasa tersebut.

“Selain peluang pekerjaan yang lebih besar, kemahiran bertutur dalam bahasa itu juga memudahkan orang ramai interaksi dengan pelancong selain boleh mengatasi sebarang salah faham yang timbul.

“Saya akan menggunakan cara yang mudah bagi menarik minat pelajar untuk mendalami dan mempelajari bahasa ini,” ujarnya yang turut memasang impian untuk menjadi penterjemah suatu hari nanti.