``Pada saya hanya mereka yang pernah berhubung dengan mahkamah sahaja mungkin faham dengan masalah dan kerenah seperti yang saya hadapi.’’ Itu cerita Rozaini ketika kami berbual tentang masalah ibu tunggal dengan mahkamah syariah selepas berbincang tentang KSIT.

“Saya tak menyesal diceraikan oleh bekas suami enam tahun lalu, kerana pada saya buat apa hidup bermadu, sedangkan saya tidak pernah tahu siapa madu saya, atau benarkah suami saya telah kahwin lagi. Semuanya berlaku secara bersembunyi.

“Pada zahirnya, nak kata tidak ada suami, tetapi sekali sekali suami balik ke rumah juga. Jiran-jiran pernah nampak walaupun sering tidak ada di rumah. Nak kata sudah diceraikan saya tak pernah naik mahkamah atau diberikan surat cerai. Tetapi saya tahu suami saya ini bukan milik saya seorang, sebaliknya ada wanita lain berkongsi dengan saya.

“Contoh, dalam sebulan ada dua atau tiga kali suami balik, nafkah keluarga diberi ikut suka, ada kala RM300 ada kala RM200, cukup ke? Sedangkan kami ada dua orang anak yang sedang bersekolah rendah dan seorang sekolah menengah. Nafkah yang diberi memang tidak cukupi tetapi kalau mintak susah dapat, pelbagai alasan diberi. Selalunya tak cukup duit. Sedangkan kita tahu gajinya lebih RM3,000 sebulan. Nak kata kaki botol tidak, berjudi pun tidak. Jadi apa lagi kalau bukan ada perempuan atau isteri lain.

“Dua tahun lamanya saya memendam rasa, makan hati berulam jantung, menangis tak berlagu, akhirnya satu hari saya nekad berdepan dengan suami supaya dia berterus terang. Akhirnya dia mengaku dah kahwin lagi dengan suara meninggi, menengking dan menghina saya sebagai isteri yang langsung tidak berguna padanya.

“Oleh kerana dua tahun saya sudah menangis, keputusan suami, saya terima dengan tenang walaupun dalam hati Allah sahaja yang tahu betapa pedih dan hancurnya hati dengan penghinaan yang diberikan kepada saya, ibu kepada tiga orang anaknya.

“Anak-anak sendiri terkejut dengar penghinaan yang keluar daripada mulut ayahnya. Malunya saya di hina sedemikian rupa tetapi saya reda. Lebih baik bercerai daripada dianiaya zahir dan batin.

“Depan mahkamah janjinya nak bagi nafkah tapi tak pernah ditepati. Sedangkan anak-anak semakin membesar dan perlukan perbelanjaan sekolah yang semakin tinggi. Kalau gaji saya banyak mungkin kurang bebannya tetapi gaji saya kecil. Bila berhadapan dengan masalah kewangan saya sering mengeluh dan menangis sendiri.

“Oleh kerana sering terdesak duit setiap awal tahun saya tebalkan muka jumpa bekas mentua melahirkan harapan meminta bantuan, bukan untuk saya tapi untuk anak-anak. Tetapi jawapan yang saya terima amat menyakitkan.

“Perbuatan dan tuduhan mereka membuat saya sedar diri bahawa inilah perangai orang berduit bukan setakat memandang rendah orang miskin, malah mereka terasa terhina jika ada hubung kait dengan keluarga orang miskin.

“Kebetulan isteri sepupu bekas suami adalah kenalan saya semasa bersekolah dahulu. Oleh kerana dia pandai belajar dan berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke universiti dan menjawat jawatan baik di jabatan kerajaan, daripada dia saya tahu banyak tentang bekas mentua.

“Daripada cerita kawan saya ini, bekas mentua saya sering mencanangkan kepada keluarga mereka bahawa anaknya, iaitu bekas suami beri nafkah anak-anak lebih RM1,000 sebulan. Jumlah itu tak termasuk belanja hari raya dan pakaian sekolah setiap awal tahun.

“Terkejut beruk saya, tapi saya diam. Tahulah saya mereka anak beranak memang tak boleh dipercayai. Mereka bukan sahaja berbohong tetapi suka meninggi diri.

“Tiada jawapan dapat saya berikan kepada kawan saya ini kecuali tangisan dan luahan hati yang amat kecewa dengan perbuatan bekas mentua dan suami. Pada masa sama dia langsung tak terfikir bekas suami sanggup membesarkan dua orang anak tirinya dengan penuh kemewahan daripada beri makan pakai anak-anaknya sendiri.

“Pernah kawan ini menjengah ke rumah saya, dia terkedu melihat keadaan rumah dan pakaian anak-anak yang bukan sahaja lusuh malah ada yang sempit ada pulak besar (geloboh) daripada ukuran badan.

“Terus terang saya ceritakan kehidupan saya memang susah, selain bayar sewa rumah, saya juga tepaksa menyediakan lebih wang untuk tuisyen anak-anak sebab saya mahu mereka berjaya dalam pelajaran dan jangan jadi macam saya.

“Saya berterima kasih dengan bantuan kawan inilah saya dapat jelaskan yuran peperiksaan, tambang sekolah dan beli pakaian baharu anak-anak setiap awal tahun. Namun saya tidak mengharapkan dia membantu saya sepanjang masa. Kerana anak-anak ada ayah dan nenek mereka sendiri yang bukan saja berkemampuan tetapi mewah.

“Atas nasihat kawan ini saya disuruh buat tuntutan nafkah ke mahkamah, sebabnya anak-anak semakin besar dan berkemungkinan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, jadi kalau ayah mereka tak bagi nafkah macam mana mereka boleh lanjutkan pelajaran.

“Mula-mula jumpa Biro Bantuan Guaman. Setahun berlalu, kes langsung tak bergerak. Akhirnya saya sendiri bawa tuntutan ke mahkamah, konon nak menceritakan kepada hakim masalah saya dan memohon apa kiranya nasib anak-anak saya dipertimbangkan agar diberikan nafkah daripada ayah mereka seperti yang dijanjikan semasa bercerai.

“ Malangnya empat tahun turun naik mahkamah, saya dapat lihat betapa sukarnya seorang wanita menuntut keadilan demi kebajikan anak-anak mangsa cerai.

“Proses kehakiman berjalan terlalu lambat. Pelbagai kerenah dihadapi, kadang kala saya lihat hakim sendiri berat sebelah membiarkan bekas suami melengah-lengahkan perbicaraan dengan tidak hadir perbicaraan tanpa alasan kukuh.

“Kalaupun bekas suami beri alasan tidak hadir kerana tak dapat cuti, dan sakit, semuanya hakim terima tanpa banyak soal. Sedangkan tarikh baharu perbicaraan yang ditetapkan mengambil masa lama dua atau tiga bulan akan datang. Memang tak adil. Dan bila perbicaraan dijalankan pulak hanya mengambil masa yang singkat tak sampai sejam pun, kes ditangguhkan lagi.

“Jadi dengan pengalaman ini maka tahulah saya mengapa ramai ibu-ibu tunggal tidak mahu bawa kes ke mahkamah, kerana ia benar-benar buang masa dan memihak kepada kaum lelaki.

“Sepanjang perjalanan kes berdasarkan pengalaman sendiri, saya dapat lihat hakim bertindak bukan berasaskan ilmu mereka tetapi emosi turut mempengaruhinya. Saya juga telah buat keputusan bahawa kekalahan saya dalam kes ke mahkamah bukan kerana kelemahan saya, tetapi kerana suami enggan hadir ke mahkamah beberapa kali.

“Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan tegas di buat ke atas lelaki yang degil ini, seperti menangkap dan mempenjarakannya kerana enggan bayar nafkah selain tidak hadir ke mahkamah. Akibat kelemahan tindakan mahkamah inilah yang membuat ramai lelaki tidak pernah takut dengan hukuman mahkamah syariah.

“Saya tidak minta kemewahan tetapi ini melibatkan soal keperluan anak-anak. Lagipun saya meminta kepada orang yang mampu, baik daripada bekas suami ataupun daripada bekas mentua. Mereka bukan orang susah, sebaliknya mampu untuk melaksanakan pemberian nafkah kepada anak-anak sendiri.

“Walau apa pun alasan mereka enggan beri nafkah, saya kira itu adalah hutang mereka kepada saya dan saya akan tuntut selagi terdaya di dunia ini hingga ke akhirat. Ingat jangan pandang ringan soal hutang, mungkin bekas suami dan ibunya boleh terlepas di dunia ini, tetapi mampukah mereka menjawabnya di akhirat kelak? Fikirkanlah.