Namun Senior Asisten Komisioner Zahari Mohd. Yusoff ‘dipanggil’ kembali ke institusi keramat itu apabila diarahkan bertugas sebagai Komandan di pusat latihan tersebut yang ditinggalkannya pada 5 Disember 1976.

“Biasanya mereka yang sudah keluar dari Pulapol memang tak mahu balik dan saya pun ingat dah terputus hubungan. Tapi nampak gaya saya kembali semula ke sini selepas hampir 40 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menceritakan pembabitannya dalam PDRM, Zahari, 59, memberitahu, beliau memilih kerjaya bersama pasukan itu semata-mata untuk mendapat gaji lebih berbanding kerjaya asalnya sebagai pembantu cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuala Lumpur.

“Saya fikir ketika itu ramai yang ditemuduga oleh pemeriksa memberikan jawapan skema, tapi bila tiba giliran sendiri, saya terus terang saya masuk PDRM kerana gaji.

“Entah macam mana jawapan saya itu membuatkan pemeriksa ketawa terbahak-bahak dan berkata kepada saya, ‘itulah jawapan yang jujur yang lain semua bohong’,” ceritanya sambil ketawa.

Bagaimanapun jelas Zahari, pembabitannya dalam PDRM pada awalnya kurang disenangi oleh bapanya, Koperal Yusoff Lidon, 89, yang juga pesara polis, namun anak sulung daripada lima adik beradik yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu bertekad untuk meneruskan hasratnya dengan niat membantu keluarga.

“Selepas memujuk dan merayu akhirnya beliau merestui hasrat saya untuk mengikut jejak langkahnya dengan dua pesanan iaitu jangan ambil cuti sakit (MC) dan jangan bertukar kerja,” katanya.

Mengenai perjalanan kerjayanya selepas tamat latihan, Zahari memberitahu, beliau menjalani kursus Latihan Asas Peperangan di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Perak atau lebih dikenali sebagai Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am.

Ujarnya, tamat sahaja latihan di situ, beliau ditukarkan ke Batalion 1 PPH, Briged Utara, di tempat yang sama sebagai Ketua Platun sebelum memegang beberapa jawatan tertinggi antaranya menganggotai pasukan perintis Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) pada tahun 1994.

Katanya, sepanjang berkhidmat, banyak tugasan yang dilaksanakan antaranya terlibat dalam pelbagai operasi seperti meleraikan demonstrasi haram Bersih 1, 2 dan 3, Op Daulat, Op Smart di Indonesia, selain turut sama dalam mengawal keadaan ketika Sukan Komanwel di Kuala Lumpur tahun 1998.

Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam melaksanakan Op Pagar ketika kerajaan Malaysia dan Thailand sedang melakukan pemasangan pagar bagi mengekang kegiatan penyusupan masuk ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM).

“Mereka (komunis) ini keluar masuk ke sempadan dan menghalang kerja-kerja menyiapkan pagar di sana. Biadabnya mereka ini bukan saja melakukan provokasi bahkan melakukan khianat dengan membakar dan memusnahkan menara serta bahan binaan.

“Agak sukar bagi kami untuk menahan mereka kerana menyusup dan keluar bila-bila masa... kekuatan anggota juga tidak berapa ramai dari Changlun, Kedah sehingga ke Bukit Kwan Chuk di Thailand,” katanya.

Satu lagi operasi iaitu Op Alpha 792 di Kuala Nerang, Kedah yang disertainya pada tahun 1979 cukup memberikan kesan buat Zahari apabila dua kali berdepan dengan detik mencemaskan selepas dua rakan sepasukannya terpijak jerangkap samar.

“Kes pertama berlaku ketika saya bersama rakan sepasukan dari Thailand sedang melakukan rondaan namun sebaik sahaja melintasi hutan salah seorang daripada mereka yang berjalan di depannya terpijak jerangkap samar.

“Dia berada betul-betul di hadapan saya, jadi saya meminta dia supaya bertenang dan mengosongkan kawasan sekitar sebelum berjaya menyelamatkannya biarpun saya terkena sedikit serpihannya.

“Beberapa minggu selepas itu satu platun lain juga turut menerima nasib yang sama ketika membuat rondaan dan saya jugalah yang bergegas ke lokasi sebelum membuat tindakan yang sama,” katanya yang pernah menjawat jawatan Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bukit Aman.

Zahari yang mendirikan rumah tangga dengan Noraihan Mohamad Hazrah, 59, menjelaskan kunci utama kejayaan dirinya bukan hanya berpandukan kepada semangat cintakan negara tetapi perlu disertai dengan semangat juang dan rela berkorban ketika melaksanakan tugas.

UNTUK MEGA WIRA KELUARAN 17 MEI 2016. SILA PAKAI SATU PAGE. STORY 1

FARABI SHEIKH SAID AL JABRI/PIX