Untuk ruangan kali ini, Mingguan Malaysia telah menemu bual penjejak paranormal, Hanizamal Abu Hanifah atau lebih dikenali sebagai Solo Ambush yang telah menjejak berpuluh-puluh lokasi yang dikatakan menyeramkan secara bersendirian dalam dan luar negara bagi berkongsi pengalamannya mengenai lapan tempat paling menyeramkan di Malaysia.
 

  •  PULAU JEREJAK
 

Nama Pulau Jerejak di Pulau Pinang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana menyimpan pelbagai misteri dan kisah seram disebabkan lokasi di sini yang pernah menempatkan pesakit kusta dan tempat tahanan pesalah berbahaya.

Berkongsi pengalamannya di lokasi ini, menurut Solo Ambush, kawasan yang paling menyeramkan adalah di laluan menuju ke penjara lama dan pada waktu itu juga dia berjaya menangkap video bayangan hitam di lokasi di sini semasa berseorangan sekitar pukul 1 pagi.

  • HIGHLAND TOWER

Tarikh 11 Disember 1993 menjadi detik yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah negara apabila satu daripada tiga blok bangunan setinggi 12 tingkat itu tumbang.

Sejak itu, bangunan ini terus dibiarkan begitu sahaja sehingga menjadi lokasi utama penjejak paranormal mencari entiti di kawasan tersebut.

Solo Ambush sendiri berjaya merakam satu susuk seakan-akan mahkluk berambut panjang dan bunyi nyaring seperti suara menjerit.

  • RUMAH AGAM 99 PINTU

Rumah agam usang ini yang terletak dalam Ladang Byram di Nibong Tebal, Pulau Pinang sangat terkenal dalam kalangan penduduk setempat kerana menyimpan 1,001 rahsia dan misteri.

Dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.5 hektar, dikatakan salah seorang penghuni rumah agam ini merupakan seorang pegawai British telah ditembak mati oleh komunis dalam rumah tersebut. Sejak tragedi hitam itu rumah agam ini ditinggalkan begitu sahaja sehingga hari ini.

Di atas faktor ini, Solo Ambush turut cuba menjejaki entiti di kawasan ini, bagaimanapun tiada sebarang kelibat yang menonjolkan diri kecuali rasa yang sangat menyeramkan.

  • TAMAN TEMA MIMALAND

Sekitar 1970-an sehingga awal 1990-an lokasi Taman Tema Mimaland di Gombak, Selangor ini sangat terkenal dalam kalangan orang awam terutamanya di Lembah Klang.

Selepas beroperasi selama 19 tahun taman tema ini yang pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem terkenal tempatan seperti Gila-Gila Remaja terpaksa ditutup disebabkan kejadian tanah runtuh.

Sejak itu taman tema ini menjadi terbiar dan disebabkan itu lokasi ini dikatakan berhantu. Menurut Solo Ambush, ketika menjejaki kawasan ini, dia berjaya merakam kelibat budak kecil di sebalik pintu dan kelibat seperti seseorang di sebalik bulatan terbuka. Pada masa sama, dia juga merasakan adanya seperti kelibat mata merah di salah satu patung dinosaur di situ.

  • KELLIE CASTLE

Istana Kellie atau lebih dikenali sebagai Kellie Castle merupakan sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulai menghala ke Batu Gajah, Perak. Menurut sejarah, istana ini dibina oleh seorang ahli perniagaan dari Scotland, William Kellie Smith pada 1915.

Bagaimana­pun, istana yang mempunyai 14 buah bilik,sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia dengan dilengkapi lif yang pertama dibina di Tanah Melayu ini tidak sempat disiapkan, dan bentuk rumah agam ini kekal seperti itu sehingga sekarang.

Selepas kematian Smith, seluruh ahli keluarganya berpindah keluar dari Perak dan tidak pernah kembali ke istana ini. Dalam kalangan penduduk tempatan mereka mempercayai bahawa rumah tersebut dihantui oleh keluarga Smith.

Dikatakan terdapat lembaga menyerupai Smith pernah kelihatan pada waktu malam selain penampakan lembaga yang menyerupai Helen iaitu anak perempuan Smith yang mempunyai rambut kerinting.

Pengalaman menyeramkan ini turut dialami sendiri Solo Ambush ketika membakar lilin dalam rumah ini pada waktu malam apabila secara tiba-tiba lilin tersebut terbang dengan sendirinya.

Lebih menyeramkan, penampakan Helen yang menjadi buah mulut penduduk sekitar turut dirasainya sendiri. Dia terlihat kelibat seperti Helen dari jauh dengan diiringi bunyi salakan anjing secara berterusan sekitar pukul 2 pagi.