Tunku Noor Hayati meluangkan masa satu jam menziarahi Mohamad Afiz Zulhilmi Che Azmi, 13, dan adiknya, Nur Damia Sofea, 7, yang terselamat dalam kemalangan itu di rumah ibu saudara mereka di Kampung Rahmat di sini.

Abang mereka, Mohamad Faris Faisal 15, yang patah kedua kaki dan jangkitan kuman di paru-paru masih menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.

Sementara itu, anak sulung lima beradik itu, Mohamad Izat Danial, 23, berkata, dia terkejut namun terharu apabila dimaklumkan bahawa Tengku Puan Temenggong berkenan menziarahi lmereka empat beradik.

Katanya, walaupun singkat, sifat keibuan dan keprihatinan Tengku Puan Temenggong bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada tiga adik-adiknya yang cedera itu begitu terkesan di hati dan dia berterima kasih kepada beliau kerana sudi bertandang.

"Kami memang terharu apabila pembesar Istana Kelantan datang bertanya khabar dan menasihatkan kami supaya bersabar dan menerima takdir tuhan.

"Kehadiran Tengku Puan Temenggong bagaikan menyuntik semangat kepada saya untuk teruskan kelangsungan hidup dan memastikan adik-adik mendapat perhatian sewajarnya kerana mereka masih kecil," katanya.

Dalam nahas 16 Ogos lalu di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dua kenderaan dinaiki dua keluarga bertembung menyebabkan tiga maut dan 12 cedera.

Che Azmi Che Hamzah, 48, yang memandu kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza meninggal dunia di Hospital Gua Musang manakala isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, meninggal dunia di tempat kejadian. Tiga anak mereka terselamat namun cedera parah.

Pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhammad, 43, berasal dari Pasir Puteh turut maut di tempat kejadian manakala isteri bersama lapan anak mereka cedera ringan.

Mohamad Izat Danial dalam pada itu memberitahu, dia yang masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil cuti panjang bagi menjaga tiga adiknya yang cedera dalam kemalangan itu.

Katanya, dia akan menyambung semula pengajian pada 9 September ini.

Sementara itu, ibu saudara mereka, Norani Mohamed, 54, pula berkata, dia sedia menjaga lima anak saudaranya itu kerana mereka manja dengannya yang mengasuh mereka berlima sejak kecil. - UTUSAN ONLINE