HARDIP SINGH
HARDIP SINGH 

Umum makluman, rokok merupakan sebahagian punca utama penyakit jantung, namun adakah kita mengetahui bahawa vape atau rokok elektronik mengundang mudarat yang jauh lebih teruk berbanding rokok?

Pakar Runding Bedah Kardiotorasik di Pusat Jantung dan Vaskular Sunway Medical Centre, Dr. Hardip Singh berkata, satu kajian yang dijalankan oleh sebuah badan di Australia baru-baru ini mendapati vape memberi kesan 10 kali ganda lebih teruk berbanding rokok.

Katanya, bahan kimia yang terdapat dalam perisa rokok elektronik merupakan penyumbang utama bahana terhadap organ utama manusia iaitu jantung.

“Jika bahaya rokok adalah disebabkan kandungan utamanya nikotin, namun vape atau memberi kesan 10 kali ganda lebih teruk berbanding rokok biasa kerana bahaya bahan kimia yang terdapat dalam bahan perisanya,” katanya semasa menyampaikan taklimat kesihatan jantung dan vaskular anjuran Sunway Medical Centre, baru-baru ini.

Yang hadir sama Pakar Runding Bedah Vaskular Sunway Medical Centre, Dr. Naresh Govindarajanthran.

NARESH GOVINDARAJANTHRAN
NARESH GOVINDARAJANTHRAN 

Mengulas lanjut Hardip berkata, selain rokok dan vape boleh memberi kesan besar terhadap tahap kesihatan jantung, faktor genetik turut menyumbang kepada penyakit jantung.

Namun katanya, faktor tersebut hanya melibatkan orang lelaki dengan kebarangkalian lelaki terlibat dengan sakit jantung ekoran faktor genetik adalah sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, wanita terhindar daripada faktor genetik kerana mereka mempunyai hormon estrogen yang melindungi daripada terlibat dengan sakit jantung.

“Apabila wanita sudah menopaus, mereka tidak akan lagi terkena sakit jantung secara genetik,” katanya.

Tambahnya, sakit jantung adalah ‘pembunuh senyap’ lantaran si pemilik tubuh tidak menyedari bahawa mereka sudah diserang penyakit pembuluh darah kritikal.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan lebih awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan jantung kerana kelewatan membuat pemeriksaan mengundang bahaya yang sangat besar.

Jelasnya, pemeriksaan awal juga mengelak berlaku kes kematian akibat serangan sakit jantung, malah peratusan kematian akibat penyakit itu sekiranya membuat pemeriksaan awal adalah sekitar dua peratus sahaja.

Perkara tersebut turut diakui Naresh yang berpandangan bahawa kelewatan membuat pemeriksaan mengundang kepada permasalahan yang lebih teruk kepada jantung.

Menurutnya, kelewatan mengenal pasti penyakit jantung menyebabkan si penghidap gagal untuk diselamatkan, malah boleh membawa kepada kematian.

Katanya, rawatan perubatan sempurna, penjagaan kesihatan dan mengamalkan cara hidup sihat merupakan elemen penting dalam usaha ‘memanjangkan usia’ masing-masing.

Tambahnya, selain pengamal perubatan akan memberikan ubat cair darah kepada pesakit yang berada pada tahap serius, amalan merubah cara hidup kepada gaya hidup sihat perlu dilaksanakan termasuk berhenti merokok sepenuhnya.

“Senaman merupakan perkara yang sangat penting bagi memastikan jantung berada dalam keadaan baik dan kekal melaksanakan tugas dengan sempurna.

“Sekiranya tidak mampu berjogging kerana masalah berat badan serta berhadapan sakit lutut, berbasikal dan berjalan kaki adalah pilihan setiap orang untuk bersenam,” katanya.

Naresh berkata, saluran darah yang sempit akibat kolesterol menyebabkan gangguan atau masalah tidak cukup bekalan darah ke organ-organ penting dalam badan seterusnya menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras.

Tambahnya lagi, salur darah yang tersumbat dan sempit pada bahagian kaki ditambah dengan sebarang kecederaan yang dialami menyebabkan kuman mudah masuk ke dalam darah sekali gus menyebabkan pesakit berhadapan masalah serius atau ada bahagian anggota badan terpaksa dipotong.

Sementara itu katanya, masalah buah pinggang juga menjadi ancaman kepada masyarakat pada masa kini apabila jumlah penghidap penyakit itu agak besar.

Katanya, seramai 40,000 orang kini terlibat dengan rawatan dialisis manakala sekitar 6,000 hingga 7,000 orang pesakit baharu menerima rawatan dialisis setiap tahun.