Semuanya bermula empat tahun lalu apabila Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid atau lebih mesra disapa Puan Sri Nisa Bakri memulakan program Wakaf Ramadan Food Mission apabila beliau menyediakan perkhidmatan membekal makanan kepada golongan kurang bernasib baik.

Program yang dilakukan bersama rakan-rakan baiknya itu telah membawanya menjelajah ke merata tempat untuk mendekati dan menyantuni  keluarga miskin. Program itu masih berlangsung sehingga hari ini.

Walaupun memberi makanan percuma, prinsip Nisa hanya satu iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepadanya.

Beliau yang juga usahawan perencah segera dan penulis buku I Am Not A Chef meluahkan rasa syukur kerana menerusi masakan, beliau mampu berkongsi rezeki dengan semua orang tanpa mengira lapisan masyarakat.

Bagi menghargai sumbangan isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri ini, Nisa dijemput menghadiri Persidangan Wanita ASEAN dan Majlis Anugerah 2019 (AWEN 2019) di Hotel JW Marriott, Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Beliau telah diberi pengiktirafan apabila dipilih menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN 2019 bagi meraikan pencapaian wanita luar biasa dalam perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar dari setiap negara anggota ASEAN.

Anugerah anjuran AWEN itu diberikan berdasarkan komitmen, visi dan kepimpinan mereka yang telah memberi impak  luar biasa kepada masyarakat.

“Anugerah ini diharap dapat memberi inspirasi, motivasi dan menjadi penyumbang besar kepada semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia. 

“Saya harap anugerah yang diterima ini dapat  memberi manfaat kepada semua wanita sama ada golongan  ibu, nenek, anak-anak atau remaja dalam setiap aspek kehidupan. 

“Malah, saya juga berharap untuk menjadi ibu kepada semua orang di dunia ini,” katanya yang terpilih antara  sembilan  usahawan wanita lain dari Malaysia yang menerima anugerah tersebut.

Mengulas lanjut, Nisa yang juga pemilik Serasi Catering mengakui beliau seorang yang tidak betah untuk duduk diam.

Tambah wanita yang sudah bergelar nenek ini, ada sahaja aktiviti yang dilakukan seolah-olah tidak kenal erti penat. 

“Faktor status dan usia bukan penghalang untuk bergerak aktif dan jangan hanya duduk di rumah menunggu suami pulang.

“Setiap wanita yang dilahirkan adalah luar biasa dan ada kelebihan tersendiri. Kita tidak boleh membandingkan dengan orang lelaki kerana masing-masing saling melengkapi.

“Selepas ini saya akan  membantu usahawan wanita menguasai era digital untuk melatih mereka memasarkan produk secara meluas.

“Usahawan wanita kena akui perniagaan atas talian semakin popular dan senario sudah berubah. 

“Bisnes online boleh membawa produk ke pentas dunia walaupun seorang wanita itu hanya pandai membuat kraftangan di rumah,” katanya bersungguh-sungguh.

Diminta berkongsi tip agar kekal positif dalam hidup, Nisa hanya tersenyum dan menjawab: “Saya sebenarnya tidak ada masa untuk melayan kutukan atau benda tidak berfaedah terutama dalam media sosial. 

“Selalunya mereka yang menulis bukan-bukan, saya akan blocked mereka.

“Jadi, jangan ambil pusing kata-kata nista kerana itu merugikan. 

“Sudahlah masa terbuang, hati pula sakit. Sebaliknya, teruskan usaha, pasti kejayaan akan berada dalam genggaman.” 

Sementara itu pada tahun lalu, Nisa sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila mementaskan keunikan air tangannya di salah sebuah kota fesyen terkenal dunia iaitu London, England baru-baru ini.

Pada Minggu Fesyen London 2018,  beliau diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin yang terdiri daripada golongan VVIP pada acara fesyen berprestij itu. 

Mengenai produk sendiri katanya, ketika ini beliau mengeluarkan  tujuh jenis pes dan  perencah segera jenama nisabakri dengan produk  paling laris  di pasaran adalah asam pedas dan kari ikan.