Apatah lagi jika dipertanggungjawabkan untuk mengajar di kawasan pedalaman yang jauh daripada arus pembangunan selain hidup berjauhan dengan keluarga. Tentunya ia satu keadaan yang sukar untuk diterima.

Namun bagi seorang guru muda, Nazmi Kamaruddin, 26, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman mengajar di sekolah pedalaman di awal kerjayanya sebagai seorang guru.

Sesi pembelajaran Bahasa Inggeris bersama murid yang terdiri daripada
Sesi pembelajaran Bahasa Inggeris bersama murid yang terdiri daripada suku Orang Asli Jakun di SK  Peta, pendalaman Endau-Rompin, Johor.

Setelah menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismali, Terengganu pada 2016, Nazmi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peta yang terletak di kawasan pedalaman Endau-Rompin, Johor. Sekolah itu terletak di kawasan antara yang terpencil di negeri itu.

“Bercakap mengenai pengalaman saya berada di SK Peta, secara jujurnya banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang mengajar di situ. Sekolah ini merupakan sekolah pedalaman pertama yang saya mengajar. Tidak peliklah kalau saya cakap, situasi dan persekitarannya agak baharu untuk saya.

“Antara pengalaman pertama saya yang tidak boleh lupakan adalah memandu sendiri dari bandar Mersing untuk sampai ke sekolah tersebut.

“Untuk sampai ke Kampung Peta, saya perlu menempuh laluan tanah merah dan ladang kelapa sawit yang mengambil masa kira-kira sejam pemanduan dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat baharu kerana saya tidak pernah memandu di kawasan seperti itu,” katanya kepada Mega Rona.

Nazmi Kamaruddin bersama anak muridnya di SK Peta.
Nazmi Kamaruddin bersama anak muridnya di SK Peta.

Memasuki tahun ketiga perkhidmatan, guru Bahasa Inggeris itu mengakui semakin serasi dengan persekitaran perkampungan Orang Asli tersebut selain mampu menjiwai setiap sudut keindahan di kampung itu.

Biarpun adakalanya Nazmi terpaksa berhadapan dengan risiko kenderaan tersangkut apabila melalui jalan tanah merah yang basah, licin dan berlumpur, tetapi dia gembira kerana dapat membantu anak-anak Orang Asli di pedalaman.

Selain kualiti jalan yang tidak selamat, Nazmi dan guru-guru lain sudah biasa terserempak dengan haiwan liar terutama gajah ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Katanya, hal itu bagaimanapun tidak menjadi masalah besar, tetapi mereka perlu mengambil langkah berhati-hati kerana haiwan berkenaan adalah yang dilindungi dan boleh menjadi ganas sekiranya berasa terancam.

Cabaran itu juga sudah dianggap menjadi kebiasaan bagi dirinya dan rakan guru-guru seperjuangan dalam menempuh hari mendatang.

“Jika mahu buat perbandingan dalam aspek keselesaan, sekolah ini berada pada tahap yang selesa. Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk menjadi guru yang lebih kental jiwanya sekiranya saya ditukarkan ke sekolah lain kelak.

“Pengalaman di sini sangat berharga dan boleh disifatkan sekali dalam seumur hidup.

“Apa tidaknya, di mana lagi saya boleh mandi sungai sambil menikmati pemandangan hutan yang menghijau dan tenang serta jauh daripada kesibukan di bandar..., kalau tidak di Kampung Peta,” ujar anak kelahiran Kelantan itu.

Selain itu, Nazmi turut membawa harapan besar supaya murid-muridnya yang terdiri daripada suku Orang Asli Jakun akan meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Dari segi pencapaian akademik, saya akui murid-murid di sini memerlukan bimbingan yang berterusan daripada guru.

“Kami..., guru-guru selalu mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan pada waktu petang dan hujung minggu terutama bagi guru yang tidak keluar ke bandar, sebaliknya memilih untuk berada di sekolah pada cuti hujung minggu,” jelasnya.