Warga Lembah Klang yang pernah merasai hidangan tersebut di Kota Bharu, Kelantan pasti merinduinya keenakannya, namun kini tidak perlu menghabiskan duit minyak kereta untuk ke negeri Pantai Cahaya Bulan (PCB) bagi menikmati hidangan itu sebaliknya boleh sahaja menikmatinya di Bangi.

Jangan risau tentang keaslian rasa juadah yang dihidangkan di Warung Pak Mat Pulau Pisang Bangi kerana pemiliknya, Nor Azwan Abdul Rashid, 33, memberi jaminan keenakan dan keasliannya adalah sama seperti yang dihidangkan di Kota Bharu.

Kata anak saudara Pak Mat ini, kesemua menu yang dihidangkan di restoran Bangi didatangkan khas dari Kota Bharu tanpa sebarang tambahan perasa atau diubah suai demi mengekalkan rasa asli dan keenakannya.

“Kesemua hidangan didatangkan dalam bentuk sejuk beku namun penyediaan bahan hidangan itu mempunyai cara tersendiri yang diperturunkan oleh Pak Mat, sama ada cara merebus, kukus dan menarik teh agar rasa aslinya kekal,’’ ujarnya.

Malah masakan sejuk beku ini tidak dijual kepada pelanggan walaupun ramai yang ingin membelinya kerana bimbang cara penyediaan tidak menghasilkan rasa yang sama seperti di Warung Pak Mat Pulau Pisang.

Nor Azwan mengusahakan warung tersebut bersama-sama isterinya, Asmalina Ashaari, 33, sejak Mac lalu dengan memfokuskan hidangan ikan bakar, ayam kampung madu, sup kepala ikan, teh ais madu dan teh float.

Selain itu terdapat juga hidangan sup daging kampung menggunakan daging tempatan, sup isi ikan, daging goreng, ayam percik dan ikan bakar air asam.

Hidangan sup dan teh ais madu serta teh madu float iaitu teh yang disertakan bersama-sama aiskrim adalah pilihan utama pelanggan.

“Mereka yang pernah merasai sup dan teh ini di Kota Bharu memang mengakui rasanya di Bangi adalah sama malah majoriti pelanggan kami ialah warga asal Kelantan yang pernah merasai kelazatan masakan itu di tempat asalnya,’’ katanya.

Ikan yang digunakan dalam masakan sup adalah ikan siakap yang diternak sendiri dalam sangkar air masin tanpa rasa dan bau lumpur atau selut.

Rata-rata pelanggan akan memesan minuman teh ais madu dan teh madu float kerana rasanya yang tidak terlalu manis. Menggunakan hanya pemanis daripada madu dengan rasa pekat dan likat pati teh selain rasa manis turut dirasai pada buih lembut teh yang mempunyai rasa seperti aiskrim.

Aiskrim pada teh madu float pula dihasilkan menggunakan air teh sedia ada dan dicampur dengan air teh dalam bekas yang sama, menghasilkan keenakan dua kali ganda.

Menurut Nor Azwan, Warung Pak Mat Pulau Pisang Bangi boleh memuatkan lebih 100 pelanggan dan dikendali oleh 11 kakitangan manakala harga makanan adalah serendah RM5 sehingga RM80 dan RM6 untuk harga air teh madu biasa dan RM12 bagi harga teh madu float.