ILMI bersama Fazli yang menjadi tulang belakang kepada syarikat berkenaan.
ILMI bersama Fazli yang menjadi tulang belakang kepada syarikat berkenaan. 

Katta Kayu tampil memikul cabaran menghias set mengikut konsep diinginkan. Pengalaman hampir sedekad lamanya dalam industri perabot dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini.

Seiring dengan peredaran zaman, konsep industri yang dike­tengahkan menjadi pilihan ramai kerana lebih ringkas dan diminati. Gabungan kayu dan besi paling ber­se­suaian dengan gaya masa kini.

Pemilik Katta Kayu, Ilmi Shukri Khodori berkata, pihaknya sentiasa terbuka bagi pemilihan konsep perabot yang ingin diketengahkan untuk program TV.

Mementingkan kepuasan pelang­gan, pihaknya juga akan sedaya upaya mengesyorkan pemi­lihan terbaik untuk keperluan set mengikut skala dan keperluan sewajarnya.

“Matlamat kami adalah dapat menterjemahkan gambaran set yang diinginkan di mata penonton. Tak payah fikir tentang keperluan menghiaskan set, serahkan saja kepada pihak kami.

“Tahulah kami nak dekorasi macam mana. Yang penting kedua-dua pihak berpuas hati dalam mendapatkan apa yang diinginkan,” kata Ilmi.

Katta Kayu adalah sebuah jenama yang dihasilkan FS Design Furniture Sdn. Bhd. (FS Design Furniture) untuk mewakili semua perabot yang dihasilkan.

Sebelum ini FS Design Furniture adalah pengilang dan pembekal perabot kelas komersial untuk rumah, restoran, kondominium, projek dan ruang komersial.

Perniagaan tersebut diusahakan Ilmi bersama suami, Fazli Shah Simpon dengan misi mengekalkan persekitaran semula jadi dengan membuat perabot sejak 2012.

USAHA KAMI

SEBENARNYA sebelum wanita ini menceburi perniagaan berasaskan perabot, dia dan suaminya pernah mengusahakan perniagaan pengantin, BeautyMe Wedding.

Bagaimanapun apa yang memeranjatkan apabila prop yang digunakan untuk hiasan pengantin itu lebih menarik perhatian ramai. Dari situ timbul idea untuk terbabit untuk menubuhkan Katta Kayu.

“Lebih mengejutkan apabila kawan mendapat banyak tempahan membuat prop hiasan, bukan saja daripada orang ramai tetapi pengusaha perniagaan pengantin seperti kami.

“Memikirkan rugi kita dilepaskan peluang itu, saya dan suami menerima tempahan secara perlahan-lahan. Apabila sampai ke peringkat terlalu banyak tempahan, maka kami memutuskan untuk lepaskan bisnes pengantin.

“Sebaliknya memberi perhatian penuh kepada bisnes perabot yang dilihat mendapat permintaan lebih tinggi,” kata Ilmi lagi.

Ruang pameran Katta Kayu yang terbaharu telah dirasmikan di Galeri Publika, Kuala Lumpur pada Mac lalu.