DR. NURHASHIM HARON
DR. NURHASHIM HARON 

Ini termasuk kanser kolorektal yang merupakan kanser kedua tertinggi di Malaysia, nombor satu dalam kalangan lelaki dan kedua bagi wanita. Masalahnya, ramai mengambil sikap sambil lewa dengan penyakit tersebut menyebabkan ia sering dikesan pada tahap lewat iaitu peringkat ketiga atau keempat.

Kanser kolorektal adalah kanser yang menyerang kolon atau usus dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan kumuh. Ia berlaku di dinding usus besar dan 75 peratus kanser menyerang rektum dan usus besar di sebelah kiri.

Pada peringkat awal, kanser kolorektal berkemungkinan tidak mempunyai gejala. Ia biasanya bermula daripada ketumbuhan kelompok sel bukan kanser digelar polip yang jika dibiarkan akan membesar dan lama kelamaan berubah menjadi kanser.

Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Hospital Pakar KPJ Tawakal, Dr. Nurhashim Haron berkata, dinding usus mempunyai banyak sel kecil yang tumbuh dan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa. Tetapi, terdapat sesetengah sel tidak mati atau hilang sebaliknya terus membesar dan akhirnya bertukar menjadi kanser.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan pesakit tidak perasan atau mengambil sikap sambil lewa terhadap simptom-simptom kanser kolorektal dan beranggapan kesakitan itu adalah masalah biasa. Malah ada yang berfikiran mereka mengalami buasir apabila keluar darah ketika membuang air besar.

“Sering kali simptom yang muncul disalah anggap perkara biasa seperti sakit perut, cirit-birit dan najis berdarah sehinggakan kebanyakan pesakit hanya datang bertemu doktor apabila penyakit sudah mara ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebaiknya segera bertemu pakar apabila menyedari berlakunya perubahan pada badan. Setidak-tidaknya anda perlu ambil tindakan sebaik sahaja melihat wujud kelainan pada rutin pembuangan air besar seperti berak berdarah, cirit-birit dan rasa tidak lawas di perut walaupun selepas membuang air besar.

“Jangan tunggu sehingga ia sudah menjadi kanser kerana pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa apatah lagi kanser kolorektal sebenarnya boleh dirawat dan mempunyai potensi untuk sembuh jika dapat dikesan awal,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Dr. Nurhashim berkata, apabila lambat bertindak dikhuatiri sel kanser merebak memasuki salur darah dan menjangkiti tempat lain seperti hati.

Ditanya bagaimana untuk mengenali najis berdarah itu adalah simptom kanser atau penyakit buasir, Dr. Nurhashim berkata, penyakit itu hanya boleh dikenal pasti dengan melakukan pemeriksaan kolonoskopi atau doktor memeriksa dengan jari sebelum dicadangkan untuk melakukan kolonoskopi.

Kata Dr. Nurhashim lagi, jangan risau untuk melakukan pemeriksaan atau ujian kerana itulah sahaja cara untuk mengesan penyakit dan melakukan rawatan sebaiknya.

Jelasnya, pada peringkat awal kanser pemeriksaan boleh dilakukan oleh pakar dengan hanya melakukan pemeriksaan fizikal sahaja. Dari pemeriksaan tersebut, doktor akan dapat mengesan sama ada terdapat ketumbuhan atau tidak.

“Jika didapati wujud ketumbuhan atau bengkak, pesakit disarankan datang semula untuk ujian kolonoskopi iaitu satu prosedur yang dianggap ‘Gold Standard’ dan paling efektif bagi mengesan wujud kelainan atau ketumbuhan di dalam usus sebelum ia berubah menjadi sel kanser.

“Jika ketumbuhan itu kecil sahaja, ia boleh terus dibuang ketika prosedur tersebut bagi mengurangkan peratusan berlakunya kanser kolorektal,” katanya.

Menurut Dr. Nurhashim lagi, sekiranya ketumbuhan berada di sebelah kanan usus, simptomnya tidak jelas kelihatan kerana ia terlalu jauh dari dubur. Jadi, sekiranya berlaku perubahan pembuangan najis iaitu tidak seperti kebiasaan dan terasa sakit perut seperti kekembungan atau rasa tidak selesa, segeralah berjumpa doktor.

Tambahnya, lebih merisaukan kini semakin ramai yang menghidap kanser kolorektal di Malaysia. Peningkatan itu berkemungkinan disebabkan gaya hidup masyarakat masa kini yang lebih menggemari makanan proses, kurang senanam, obesiti dan sebagainya.

Katanya, buat masa ini kebanyakan yang menghidap kanser itu adalah 55 hingga 60 peratus lelaki dalam lingkungan usia 55 tahun ke atas iaitu golongan yang telah lama terdedah pada gaya hidup kurang sihat. Bagaimanapun, golongan muda tidak terkecuali menghidap kanser kolorektal sekiranya mempunyai faktor genetik seperti terdapat ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit sama.

RAWATAN DAN PENCEGAHAN 

Dr. Nurhashim berkata, rawatan yang lazim bagi kanser kolorektal adalah pembedahan. Sekiranya ketumbuhan yang dialami oleh pesakit belum merebak, pembuangan sebahagian usus melalui pembedahan akan dilakukan. Cara pembedahan yang dilakukan bergantung pada lokasi ketumbuhan.

Katanya, lebih awal kanser dapat dikesan, lebih besar potensi pesakit untuk sembuh. Paling penting kena pastikan tiada sel-sel kanser merebak ke luar dinding usus.

“Rawatan kimoterapi pula bergantung pada tahap kanser. Walaupun kanser ini boleh dirawat, pesakit yang menjalani pembedahan perlu melakukan ujian penyaringan sekurang-kurangnya sepan­jang tempoh lima tahun perta­ma iaitu setiap tiga bulan sekali selepas dua tahun melakukan pembedahan, kemudian enam bulan sekali untuk tempoh tiga tahun dan diikuti pemeriksaan setiap tahun,” ujarnya.

Selain pembedahan, pesakit juga boleh melakukan terapi radiasi. Biasanya rawatan ini dilakukan jika kanser berada di rektum. Rawatan ini menggunakan sinar X berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser dan menghalangnya daripada merebak.

Kata Dr. Nurhashim, bagi mencegahnya, masyarakat perlu mengamalkan pengambilan makanan berserat tinggi, makan lebih sayuran, elak pengambilan alkohol dan merokok, aktif secara fizikal, mengehadkan makan daging merah serta menghindari daging yang diproses untuk mengurangkan risiko kanser.