Baik dirinya, mahupun keluarga dan kawan-kawan, tiada siapa menyangka dia ‘berubah’ kepada seorang yang mungkin pada mata sesetengah orang melihatnya sebagai ‘lemah’ dan perlu bergantung kepada orang lain.

Namun, Nur Zawani atau dipanggil Zawani bukanlah individu atau gadis yang sebegitu.

Malah dia seorang yang cukup kuat, ‘bertenaga’, bercita-cita tinggi, tidak pernah mengalah, tidak pernah mengeluh dengan takdir dan mahu membuktikan OKU sepertinya juga boleh dibanggakan.

Menyoroti kisah dirinya, Zawani yang daripada boleh berdiri di atas kedua-dua kaki, kini hanya bergerak menggunakan kerusi roda. Dia sendiri tidak menyangka kejadian yang berlaku pada awal 2016 benar-benar memberikan tamparan hebat. Semuanya berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda atau amaran.

Dia tidak pernah terfikir akan menjadi lumpuh dan hilang keupayaan pada kaki dalam usia yang sangat muda setelah diserang strok atau nama saintifiknya, Lentiform Nucleus Infarct.

Waktu itu dia baru sahaja berusia 31 tahun. Seminggu sebelum kejadian, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, sangat sibuk dengan tugasnya sebagai koordinator majlis sebuah syarikat pengurusan acara.

Selain sibuk menguruskan majlis, masa yang sama dia turut sibuk dengan pertandingan silat dan membuat penggambaran untuk program televisyen.

Sememangnya Zawani sangat aktif dalam seni silat, malah pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM Malaysia), jawatan yang terpaksa dilepaskan berikutan serangan tersebut.

Dia juga tidak pernah menghidap penyakit darah tinggi, yang mungkin menjadi punca kepada penyakit strok, malah dalam rekod perubatan, penyakitnya dikategorikan sebagai unknown file.

“Sebelum mendapat strok, saya telah pergi ke sebuah klinik kesihatan kerana berasa kebas-kebas pada kaki, air liur meleleh tiba-tiba dan tengkuk berasa tegang.

“Pembantu pegawai perubatan yang memeriksa saya mengesyaki saya mendapat radang saraf, lalu memberikan ubat.

“Keesokannya, saya pergi juga kerja tetapi apabila saya bercakap, orang macam tak faham kerana percakapan saya tidak jelas (slurred).

“Saya berasa letih yang luar biasa, ingatkan kerana stres. Saya tak boleh bangun, tangan kebas dan tak boleh angkat. Kawan serumah membawa saya ke klinik.

“Setelah membuat beberapa ujian, saya diminta segera ke bahagian kecemasan hospital. Masa itu saya masih boleh berjalan.

“Saya ditempatkan di zon kuning. Dalam waktu yang singkat itu, saya sudah tidak boleh bercakap dan kemudian tidak sedarkan diri, selain tidak boleh menggerakkan kaki tangan.

“Saya dimasukkan ke wad. Doktor mengatakan saya mendapat strok dan dikategorikan sebagai pesakit strok muda dengan berlaku pembekuan darah pada otak.

“Saya tidak boleh bercakap dengan betul dan tidak boleh menelan makanan. Makanan dimasukkan melalui hidung menggunakan tiub,” katanya yang datang seorang diri ke ibu pejabat Mega Rona dengan menaiki kereta sewa Grab baru-baru ini.

Lebih seminggu dia dirawat di hospital sebelum dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan berada di sana selama 45 hari bagi mengikuti program rehabilitasi seperti fisioterapi percakapan.

Doktor memberitahu stroknya boleh pulih kerana dia bukan mendapat strok fizikal, tetapi berlaku masalah darah di mana platelet darahnya rendah.

Walaupun boleh pulih tetapi bukan seratus peratus. Setiap orang mengalami tempoh pemulihan yang berbeza.

SEMASA dirawat di Hospital Rehabilitasi, anak kelima daripada lapan beradik ini telah menubuhkan Persatuan Komuniti Pesakit Neuro/Strok Malaysia.

Hatinya tergerak untuk menubuhkan persatuan kerana mahu membuat program dengan hospital bagi pesakit-pesakit yang senasib dengannya.

Jelas Zawani, dia sangat menghargai dan terhutang budi dengan usaha doktor pakar neuro hospital tersebut, iaitu Dr. Norhayati Hussein bersama kumpulannya, membantu pesakit-pesakit bagi sesi pemulihan.

Dia juga melihat beberapa orang yang telah sembuh, boleh berjalan dan bercakap semula.

“Persatuan telah mengadakan program sempena Hari Strok Sedunia 2017, berkolaborasi dengan hospital dan pesakit.

“Saya ingin memberi contoh yang baik kepada orang lain walaupun saya seorang pesakit strok tetapi saya boleh berbuat kebaikan pada orang lain.

“Semasa di dalam wad, saya pernah memberikan penerangan mengenai persatuan dengan memakai pakaian wad.

“Di negara luar, mereka mempunyai kumpulan sokongan yang memberikan sokongan pada persatuan.

“Sebenarnya apabila ada komunikasi antara sesama pesakit, mereka menjadi rapat dan dapat membantu antara satu sama lain,” katanya yang dilantik sebagai presiden persatuan.

Menurut Zawani, 99 peratus ahli jawatankuasa persatuan terdiri daripada pesakit strok selain turut disertai doktor, fisioterapi dan terapi-terapi lain.

Sementara pengikut di Facebook adalah komuniti survivor strok yang masih dirawat di wad, di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun banyak masalah yang terpaksa dihadapi seperti kekurangan dana dan semua aktiviti digerakkan oleh pesakit strok sendiri. Ini menjadikan setiap pergerakan agak lambat.

Antara aktiviti yang telah dilakukan oleh persatuan ialah mengumpulkan semua pesakit neuro/strok, berkolaborasi dengan Zero Protocol Community, iaitu sebuah badan yang membantu OKU mendapatkan lesen menyelam.

Selain itu, katanya, persatuan turut mengadakan program ibadah OKU dengan kerjasama Hospital Rehabilitasi Cheras dan Program Strok, Rawat, Cepat dan Tepat, iaitu sesi perkongsian dengan pakar pemakanan, pakar pemulihan jantung dan pakar senaman.

Program perkongsian tersebut dianggap berjaya selepas dihadiri lebih 150 peserta yang terdiri daripada pesakit strok dan dirasmikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah.