Secara umumnya latar belakang (background) dalam fotografi sukan mengambil kira tentang beberapa perkara teknikal dan beberapa sudut. Minggu ini penulis mengupas tentang peranan latar belakang dalam fotografi sukan.

Umum mengetahui fotografi sukan memerlukan peralatan khusus terutamanya lensa dan badan kamera yang tahan lasak (heavy duty) bagi tugasan tersebut. Ini kerana pergerakan dalam acara sukan terlalu pantas selain kemahiran membaca gerakan atlet dan momen-momen terpenting dalam sesuatu acara permainan sukan.

Bagi seorang jurufoto profesional mungkin tidak menjadi masalah kerana mereka dilatih untuk merakam aksi sukan. Selain itu mereka turut diajar untuk memahami sesuatu acara sukan tersebut.

Lazimnya dalam sesuatu acara sukan, jurufoto cenderung menggunakan lensa telefoto untuk melakukan rakaman. Lensa telefoto mampu memberikan impak atau kesan depth of field yang begitu ketara walaupun dalam kedudukan aras mata (eye level) ataupun aras mendatar (ground level). Malah penggunaan lensa ini juga mampu memisahkan antara subjek dan latar belakang.

Bagaimanapun sekiranya jurufoto tidak mempunyai kelengkapan lensa yang digunakan oleh jurufoto profesional sukan, dia masih mampu menghasilkan latar belakang dan momen yang baik dalam satu-satu acara sukan. Sebagai contoh kelengkapan yang dimiliki cuma zum telefoto dengan jarak fokal yang terhad. Meskipun begitu ia tetap boleh menghasilkan impak latar belakang dalam acara sukan tersebut.

Sementara itu kedudukan sudut atas memainkan peranan utama dalam menentukan impak latar belakang acara sukan tertentu. Penulis memberikan tiga contoh rakaman sukan untuk siri kali ini iaitu hoki, berbasikal dan aksi sukan air hasil bidikan jurufoto Kumpulan Utusan bagi membuktikan kedudukan sudut atas akan memberi impak latar belakang dalam tiga sukan berkenaan . Siri kedua pula penulis akan memberikan kupasan tentang latar belakang sudut eye level dalam konteks yang sama. Selamat mencuba.