Faeizaratul Fareiza Isa (Fareiza) berkata, ia bukan hanya melibatkan aspek pembahagian masa, tetapi juga melibatkan imejnya sebagai seorang guru.

Berasaskan situasi itu, tidak hairanlah apabila dia memberi tumpuan kepada bidang peragaan pakaian muslimah. Bukan hanya kerana minatnya kepada fesyen, tetapi juga dapat mengelak sebarang isu pengurusan masa dan imej.

“Sebagai penjawat awam, ada prosedur yang perlu dipatuhi. Tidak boleh ‘main redah’ sahaja dan lebih penting apabila menjadi seorang guru, mahu tidak mahu kita menjadi ikutan anak-anak murid.

“Saya ada IG (@fareiza_ariana) yang turut menjadi tumpuan anak-anak murid saya. Jadi, mahu tidak mahu saya kena ada imej yang sejajar dengan agama dan budaya kita,” katanya.

Berpegang pada prinsip dan pendirian itu, Fareiza mengakui bahawa model sambilan adalah antara pelbagai jenis kerja sampingan yang dilakukannya ketika cuti sekolah atau hujung minggu.

“Cuma, model sambilan itu lebih dekat dengan jiwa saya dan ia juga tidak melibatkan peruntukan masa yang panjang serta tidak mengganggu jadual kerja sebagai seorang guru,” katanya.

Selain itu Fareiza berkata, pemilihan tersebut turut memberi peluang kepadanya untuk menyebarluaskan lagi fesyen pakaian muslimah bukan hanya untuk golongan remaja, bahkan golongan wanita.

“Banyak fesyen muslimah yang cantik dan sesuai dipakai, tidak kira oleh remaja atau wanita. Mungkin apa yang saya peragakan itu boleh memberi idea kepada mereka untuk memilih pakaian seharian,”tambahnya.

BERKONGSI MINAT

Dalam masa sama, Fareiza menyifatkan pengalaman dalam bidang model sambilan sejak 2012 banyak mengajarnya bukan hanya tentang cara berfesyen, tetapi juga aspek penampilan diri di khalayak umum.

Ini kerana, didikan sedemikian datang daripada mereka yang berpengalaman dalam dunia model seperti rakan-rakan sealiran, pereka pakaian, juru mekap dan media massa.

“Ia juga membuka minda saya bahawa bidang peragaan tidak hanya membabitkan soal pakaian dan mekap sahaja, tetapi juga cara penampilan yang betul di khalayak umum,” katanya.

Justeru, dia mengakui banyak berkongsi pengalaman tersebut tidak hanya dengan anak sendiri tetapi juga anak-anak murid khususnya yang sedang meningkat remaja.

“Ada juga bekas anak murid saya mengikut gaya fesyen yang saya tampilkan. Ini dapat saya lihat ketika berkunjung ke rumah mereka semasa sambutan hari raya. Jujurnya, saya gembira dan seronok melihat penampilan mereka yang menawan,” katanya.