Hakikatnya, sesiapa lahir ke dunia ini adalah hasil daripada hubungan kasih sayang antara ibu dan ayah. Kasih sayang mampu mencairkan segala hal dan perkara negatif. Seseorang itu juga tidak boleh berkomunikasi dengan baik jika tiada ikatan kasih sayang. Sebab itu antara perkara yang saya ditekankan, pertama, mesti sayang diri sendiri. Saya mohon izin kepada sesiapa yang membuat polisi di sekolah, di pejabat dan apa-apa polisi sekalipun, tolong ada polisi menyayangi diri, menghormati diri supaya orang yang sayang diri dan menghormati diri sendiri akan sayang dan menghormati orang lain. 

Selain itu ajar anak-anak menyayangi diri mereka serta menyayangi adik-beradik lain hingga ke akhir hayat. Jangan nanti apabila telah dewasa dan berpangkat besar, adik-beradik bergaduh sesama sendiri hingga hilang kasih sayang dan tidak menyayangi antara satu sama lain. Ingat, sesiapa yang tidak boleh berbuat baik dan berkasih sayang, itu bermakna hatinya tidak cukup ikhlas dengan orang dan jiwanya kurang kasih sayang.

Hakikatnya setiap manusia tiada beza dari segi darjatnya di sisi Allah SWT kecuali orang yang bertakwa dan seperkara lagi Islam menuntut seseorang itu memelihara silaturahim. Oleh itu, jika usaha untuk perbaiki hubungan silaturahim ini gagal dilakukan sama ada melalui komunikasi lisan atau secara komunikasi bukan lisan, maka boleh digunakan komunikasi metafizikal. Metafizikal bermaksud tidak dapat dikesan oleh sebarang pancaindera manusia melainkan melalui akal selain bersifat metafizik.

Komunikasi metafizikal bukan sesuatu perkara yang boleh dilihat dengan mata dan boleh dirasa dengan deria organ dianugerahkan oleh Allah sebaliknya ia tidak boleh menghidu, tidak boleh mendengar dan tidak boleh merasa. Justeru, dalam mendapatkan kesejahteraan hidup, kita jangan percaya dengan apa yang dilihat menggunakan `mata fizikal’ semata-mata.

Realitinya, orang yang celik `mata hati’ mampu melihat sesuatu yang orang lain tidak boleh nampak. Biasanya orang yang beriman mempunyai kelebihan ini dan itu dinamakan komunikasi metafizikal.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi tersebut? Sebagai contoh kita marah dan menyampah dengan seseorang. Rupa-rupanya orang berkenaan pun marah dan menyampah dengan kita. Mengapakah berlaku situasi sedemikian? Sebab kita berkomunikasi secara metafizikal. Sebab itu apabila hendak tidur, seseorang itu tidak boleh tidur dengan emosi negatif. Tidur dalam keadaan marah kepada orang lain. Apabila tidur, minda sedar tidur tetapi minda bawah sedar (roh/hati/jiwa) tidak tidur. Ini yang menyebabkan kita bermimpi.

Apabila tidur dalam keadaan marah maka fikiran negatif akan meresap masuk ke seluruh sel-sel tubuh yang menentukan gelombang minda bawah sedar. Maka, gelombang negatif itulah yang akan dihantar kepada orang yang berkomunikasi dengan kita secara metafizikal. Atas asas itu bagi saya, orang yang tidak boleh mengawal kemarahannya ialah orang yang paling sia-sia dalam hidupnya dan orang yang sentiasa rugi. Mereka yang bijak dan ahli syurga akan sentiasa mengampunkan semua orang. Mampu melupakan semua perkara negatif yang berlaku. Justeru, sesiapa yang tidur dengan jiwa yang jernih, membaca doa, membaca ayat-ayat Quran seperti tiga Qul dan membayangkan esok mahu menjadi manusia yang positif, insya-Allah pada keesokannya kita akan dapat apa-apa yang disasarkan dan dibayangkan. Contohnya, kalau bayangkan kita hendak menjadi ahli syurga, mesti menutup aurat dengan baik, mesti berlemah lembut, senyum dan sayang semua orang. Kita hantar segala gambaran positif itu kepada setiap orang. Maka, orang berkenaan akan dapat merasakan kasih sayang kita kepadanya. Ini akan membuatkan segala urusan kerja sukses dan sejahtera.

Metafizikal sangat penting agar setiap yang difikirkan mampu diperoleh dan ini membabitkan minda bawah sedar (roh/hati/jiwa). Jika seseorang itu sentiasa positif dan tidak berdendam, insya-Allah dia akan menjadi seorang yang disenangi sekali gus orang selesa berkomunikasi dengannya. Melalui komunikasi metafizik juga boleh melembutkan hati yang keras. Caranya melalui doa. Dengan kata lain kita menghantar mesej metafizik melalui roh (orang yang didoakan) dengan membayangkan wajahnya ketika berdoa. Kita juga perlu bayangkan seolah-olah kita sedang berkata-kata di hadapannya dengan hati yang tenang. Insya-Allah akan berjaya melembutkan hati orang yang degil dan keras.

Demikian juga halnya cara untuk berhadapan dengan orang yang cepat naik angin. Jika cara komunikasi fizikal tidak boleh, kita guna cara komunikasi metafizikal. Caranya, baca al-Fatihah dan sedekah kepadanya. Hulurkan rasa kasih sayang. Cakap dari hati kita kepada hatinya:“Saya sayang awak”, “saya faham awak” dan “saya doakan awak”. Sesiapa mendoakan orang tanpa memberitahu mereka, malaikat akan mendoakannya pula. Jangan ada dendam. Ingat pusat kuasa ialah hati.“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.