Katanya, menjadi ‘hak milik’ orang ramai selaku anak seni dan pendakwah, perkara tersebut sememangnya mengundang rasa cemburu si isteri pada awal perkahwinan mereka.

Jelasnya, Isyah yang tidak biasa dengan perjalanan hidup anak seni pada mulanya agak kekok, namun perkara tersebut dapat diharungi dengan baik oleh si isteri secara perlahan-lahan seiring dengan usia perkahwinan mereka.

Malah baginya, setiap perkara atau permasalahan dihadapi perlu kepada perbincangan yang dilakukan dalam suasana harmoni kerana setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya.

Tambahnya, dia juga tidak cepat melenting atau melatah sekiranya berlaku sebarang konflik, sebaliknya bersikap tenang menghadapinya.

“Selalunya wanita akan lebih beremosi, maka kita sebagai ketua keluarga perlu lebih tenang dan matang. Isyah seorang yang suka berterus terang. Oleh itu, saya akan membiarkan apa sahaja yang terbuku dalam hatinya untuk dilepaskan bagi dibincangkan bersama.

“Sekiranya perkara yang diluahkan itu benar, saya harus terima. Sekiranya sebaliknya, saya akan perbetulkan perkara itu dan kami sama-sama menerimanya sebagai panduan membina sebuah keluarga bahagia,” katanya.

Menurutnya, perjalanan hidup sebagai pendakwah buat mereka agak berbeza kerana Isyah berdakwah dalam bidang pendidikan manakala dia memilih bidang seni sebagai kaedah menyebar dakwah kepada orang ramai.

“Akhirnya Isyah menyokong saya sebagai seorang pendakwah walaupun platform berbeza, namun tujuan kami sama iaitu menyebar dakwah Islam kepada orang ramai, malah sebagai saham kami di akhirat kelak.

“Sokongan dan dorongan besar yang diberikan Isyah menjadikan saya lebih kuat untuk terus berada di atas platform ini. Apa yang penting, kami sama-sama menjaga sempadan masing-masing. Keyakinan yang diberikan tidak pernah saya sia-siakan,” katanya yang kini menjangkau usia 50 tahun.

CHE AMRAN IDRIS bersama isteri, Isyah Radhiah Idris di Mekah.
CHE AMRAN IDRIS bersama isteri, Isyah Radhiah Idris di Mekah.

LUANG MASA BERSAMA

Ditanya mengenai formula kebahagiaan dalam keluarga, Che Amran berkata, biarpun sibuk di atas pentas sama ada di dalam atau luar negara bersama kumpulan Raihan, namun dia akan menghabiskan masa di samping isteri dan anak-anak tatkala masa terluang.

Katanya, dia akan cuba sedaya upaya membantu isteri menguruskan hal rumah tangga termasuk mengemas rumah dan menguruskan anak-anak.

Jelasnya, kualiti masa yang ada turut digunakan membawa anak-anak melakukan riadah dan rekreasi sekali gus mengikatkan lagi hubungan kasih sayang kekeluargaan.

“Apa yang saya terapkan setiap kali bersama anak-anak adalah saya akan ucapkan ‘sayang’ kepada mereka. Kekuatan perkataan ‘sayang’ mendekatkan mereka kepada kita selain akan memberi penjelasan kenapa saya marahkan mereka apabila melakukan sesuatu kesalahan.

“Sebenarnya kita juga belajar banyak perkara dengan anak-anak. Saya tidak pernah mendesak mereka melakukan apa yang mereka tidak inginkan, tetapi sekadar memberi nasihat untuk dijadikan panduan.

“Apa yang penting, mereka perlu menjaga solat, membaca al-Quran dan melaksanakan perkara ditetapkan oleh Allah,” katanya mengakhiri bicara.