Sebelum menjawab soalan pemanggil tersebut, saya bertanya kepadanya adakah cerita yang hendak dikhabarkan itu adalah tentang dirinya atau orang lain. Jika tentang dirinya, saya sudi mendengar, tetapi jika orang ketiga lebih baik jangan berbual panjang. Setelah bersetuju dan masing-masing tahu apa yang hendak dibicarakan, barulah pemanggil iaitu Azie mula bercerita. “Sebenarnya tidak ada wanita yang suka rampas suami orang jika si lelaki itu sendiri tidak menggoda. Kalau boleh saya juga seperti wanita lain, saya pun tak mahu bermadu kerana kahwin dengan suami orang ini banyak masalahnya. Tetapi saya terperangkap konon beliau duda setelah bercerai lebih lima tahun.

“Masa bertunang dan ketika hendak bernikah, saya diberitahu oleh bakal suami, Hadad bahawa dia duda. Semua keluarga terima. Turut dimaklumkan dia ada tiga orang anak remaja yang dipelihara oleh bekas isterinya. Hingga hari ini dia bertanggungjawab menyara dengan memberi nafkah kepada anak-anaknya setiap bulan. Dia mengharapkan saya tidak melarang dia menjalankan tugasnya seperti yang telah di amanahkan Allah.

“Setelah setahun berkahwin dan ketika hamil lima bulan baru saya dapat tahu Hadad bukan duda, dia suami orang. Surat cerai yang ditunjukkan kepada saya dulu adalah surat cerai dia dengan isteri pertama yang ada tiga orang anak manakala dengan isteri keduanya dia ada seorang anak yang baru berusia lapan tahun. Nak dijadikan cerita itu bukan anaknya tetapi anak tirinya. Ini bermakna dengan isteri kedua dia belum ada anak lagi kecuali anak tiri.

“Berita ini memang mengejutkan. Saya menangis tak berhenti, tambah-tambah kena serang dengan isterinya. Saya rasa benar-benar tertipu.

“Bila balik saya tanya Hadad berkali-kali, barulah dia ceritakan keadaan sebenar. Memang awalnya saya tak percaya. Rasa-rasa macam dia kelentong saya lagi. Tetapi bila dia suruh saya bertenang dan dengar ceritanya baru saya faham keadaannya.

“Kata Hadad dia memang ada seorang isteri sahaja, setelah bercerai dengan isteri pertama dan mereka ada tiga orang anak. Dia mengaku menggunakan surat cerai isteri pertamanya untuk kahwin dengan saya, kalau nak kata dia menipu katalah dia terima. Tetapi dia dilakukan bersebab.

“Menurutnya lagi, walaupun bercerai dia tetap menyara anak-anaknya. Setiap bulan dia masukkan duit dalam akaun bekas isterinya dan hubungan mereka baik. Dia bebas berjumpa anak-anaknya tetapi isteri baharunya kurang senang dengan perbuatannya. Ini yang membuatkan Hadad sakit hati sebab terasa dia terpisah dengan anak-anaknya.

“Mendengar pengakuanya tetap membuat saya kecewa dan sakit hati, terutama bila kena maki dengan isteri keduanya. Kata Hadad dia tak ada niat menipu, cuma belum ada masa untuk berterus-terang. Katanya lagi dia bercerai dengan isteri pertama sebab bekas isterinya lebih sayangkan kerjanya hinggakan dia tidak mahu ikut Hadad pindah. Ketika terpisah dek tugas inilah Hadad bertemu Khaty dan mereka berkahwin dua tahun kemudian.

“Awalnya memang isteri pertama marah sebab Hadad kahwin lagi tetapi kemudiannya mereka bercerai dengan baik sebab isteri pertamanya tidak mahu ikut dia pindah dan dia tidak bersedia bermadu. Setelah berkahwin dengan Khaty kata Hadad hidupnya terkongkong, kerana Khaty tidak suka dia berjumpa dengan anak-anaknya, apa lagi beri nafkah.

“ Inilah antara punca perbalahan antara mereka. Khaty tuduh Hadad tergila-gilakan bekas isterinya yang belum berkahwin lagi. Walaupun Hadad nafikan tetapi itulah yang sering jadi isu perbalahan mereka. Khaty juga tak benarkan Hadad jumpa anak-anaknya.

“Kata Hadad tahun demi tahun dia bersabar dengan kerenah dan perangai Khaty, tetapi semakin dia bersabar, semakin Khaty tunjuk kuku dan taringnya, ini yang membuat Hadad berusaha melepaskan dirinya dari cengkaman Khaty. Ketika dilanda masalah inilah kata Hadad jumpa dengan saya, dia terus terpikat dan berhajat untuk menjadikan saya isterinya.

“Kata Azie jika dia dari awal tahu Hadad sudah berkahwin, pasti dia menolaknya, jadi Hadad terpaksa berbohong, dia gunakan surat cerai isteri pertama untuk melamar saya.

“Masalahnya sekarang bila kisah hidup saya dan Hadad sudah terbongkar, maka perkahwinan kami juga bukan rahsia lagi. Sebab itu saya sering terima ugutan dan sumpah seranah daripada Khaty yang tuduh saya rampas suaminya.

“Kerana tidak suka dimaki hamun saya minta Hadad nasihatkan Khaty supaya jangan ganggu saya lagi. Malangnya dua tiga minggu saja suasana aman, lepas itu Khaty tetap serang saya. Paling menyakitkan hati bila Khaty menyumpah saya dan bayi kandungan saya.

“Di akhir kehamilan saya terpaksa ambil cuti tak bergaji dua bulan balik rumah emak dan berhasrat melahirkan anak di hospital berdekatan. Tetapi masalah lain pulak timbul, apabila keluarga tahu kisah sebenar Hadad, mereka semua bencikan Hadad kerana berbohong. Maka sudah pasti kehadiran Hadad tidak disenangi, terutama emak yang amat bimbang dengan keselamatan dan kandungan saya.

“Dipendekkan cerita memang perkahwinan kami jadi caca marba, dan tidak salah kalau saya katakan kehidupan Hadad turut jadi tidak tenteram. Oleh kerana kehadiran Hadad di rumah emak tidak disenangi, akhirnya Hadad terpaksa bermalam di hotel beberapa hari sementara menunggu saya bersalin. Setelah selamat melahirkan dan mengazankan bayi kami Hadad terpaksa balik untuk selesaikan urusan perniagaannya yang tergendala.

“Hadad memang orang bisnes, tetapi kata Hadad bisnesnya hanya kecil-kecilan sahaja, cukup untuk dia hantar nafkah tiga orang anaknya dan tanggung dua orang isteri. Dan kini seorang bayi. Saya bersyukur dapat melahirkan secara normal dan tiada sebarang masalah. Dulu memang saya takut sebab setiap hari saya dimakin hamun, dan disumpah seranah oleh madu yang mendoakan kecelakaan ke atas saya.

“Kata Hadad dia mengharapkan satu hari nanti Khaty berubah kerana walaupun dia berkahwin lagi, dia tidak pernah menganiaya hidup Khaty, makan pakainya terjaga, rumah disediakan, lebih daripada itu Hadad turut tanggung makan minum anak tirinya kerana bekas suami Khaty tidak pernah beri nafkah anaknya.

“Walaupun awalnya saya marahkan Hadad kerana berbohong tetapi kini saya faham masalah Hadad. Dia memang ayah bertanggungjawab tetapi Khaty halang dia jalankan tanggungjawabnya, Khaty bencikan anak-anak tiri dan bekas isteri Hadad. Kini saya semakin faham masalah Hadad kenapa dia berkahwin dengan saya. Dia cuba jadi suami yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada isteri-isterinya, tetapi lebih kepada anak-anaknya,

“Kalau pada awalnya saya marahkan Hadad kerana rasa tertipu, kini saya sedar ada sebab mengapa Hadad berkahwin lagi, sebenarnya dia mencari ketenteraman dan kedamaian di hatinya. Memahami masalah tersebut saya makin bersimpati dengan Hadad.

“Kini, mungkin kerana rasa kasihan, maka saya merancang mempelawa anak-anak Hadad tinggal bersama di rumah saya beberapa hari bila cuti sekolah. Saya rasa ini tidak keterlaluan, kerana niat saya ingin mengeratkan kembali hubungan Hadad dengan anak-anaknya.

“Kalau diizinkan oleh bekas isterinya dan Hadad sendiri setuju, saya tidak ada masalah untuk berbaik-baik dengan anak-anaknya.

“Bila hasrat ini saya sampaikan kepada Hadad dia tersenyum, tetapi nasihatnya saya jangan kecewa dengan perangai anak-anaknya yang mungkin tidak berapa sukakan saya. Pada saya itu bukan masalah, asal niat baik saya tidak diganggu oleh Khaty.

“Saya juga sedar tidak ada anak tiri yang sukakan ibu tirinya. Kerana ibu tiri sudah lama digelar ibu kejam. Memang saya tidak berdaya mengikis gelaran tersebut, namun biarlah keadaan mengubah segalanya. Apa yang penting niat saya mengeratkan hubungan ayah dengan anak-anaknya,’’ cerita Azie yang tertipu kerana berkahwin dengan suami orang.