BAAMMMM!!

Kelam-kabut saya bangun dan kemudian keluar dengan berbekalkan lampu picit. Saya suluh ke atas bumbung rumah semi-D itu, dari depan hingga ke belakang. Tapi tiada sebiji batu atau kayu besar di atas bumbung rumah saya itu.

“Kalau tak ada apa-apa, macam mana tadi boleh bunyi benda jatuh atas bumbung?” Timbul rasa pelik dalam hati, dan saya mula terfikir…

Bulu roma tidak semena-mena berdiri tegak. Tanpa menunggu lama, saya terus masuk ke dalam rumah. Cepat-cepat saya kunci pintu. Saya yakin, pasti `benda itu’ mahu mengganggu saya lagi.

Ternyata telahan saya tepat. Belum sempat saya terlena, kedengaran suara tangisan bayi dari rumah sebelah. Saya menunggu, bila agaknya tangisan itu akan berhenti. Tapi ia tetap juga meraung dan merengek, bagaikan sedang dahaga atau kesakitan.

Saya mula rasa lain macam. Tadi bunyi dentuman, kini bayi itu pula menangis. Tangisan ini lebih kuat dan menakutkan berbanding malam-malam sebelumnya. Kalau saya tunggu, apa lagi yang akan terjadi?

Cepat-cepat saya ganti pakaian. Saya capai kunci motosikal dan kunci rumah, kemudian hidupkan enjin motosikal. Saya memang benar-benar takut. Bayangkan, sekarang di rumah kosong itu ada bayi sedang menangis terus-terusan. Saya pula di luar seorang diri.

Waktu itu saya terasa bagaikan ada sesuatu sedang memerhati. Ia ada di sebelah saya. Mukanya di hadapan muka saya. Mata merahnya sedang merenung mata saya. Tangannya membelit tengkuk saya. Makhluk itu ada, tapi saya tidak dapat melihatnya kerana ia hidup di alam lain.

Saya masukkan gear satu dan terus memecut meninggalkan rumah berkembar itu serta bayi yang sedang meraung. Tidak kira apa terjadi, malam ini saya mahu balik ke rumah emak di Gemas, Negeri Sembilan. Memang jauh, dalam 40 kilometer, tapi saya tak peduli. Saya sudah tidak sanggup lagi melalui semua ini.

ATAS ALMARI

Semasa meredah kegelapan malam, saya teringat waktu mula-mula bekerja sebagai pegawai di tanah rancangan Felda di Segamat, Johor, ini. Kawasan penempatannya jauh dari jalan besar, lebih kurang enam kilometer ke dalam. Selepas menempuh hutan dan ladang, barulah sampai ke kawasan perkampungan.

Bertambah malang, pihak pentadbiran Felda menempatkan saya di rumah yang paling hujung, bersebelahan dengan belukar dan ladang getah. Ia sebuah rumah semi-D tiga bilik.

Bagi saya yang masih bujang, rumah itu sudah lebih daripada cukup. Cuma terasa sunyi pula sebab tidak ada isteri dan anak-anak jadi peneman. Tambahan pula rumah satu lagi yang berkembar dengan rumah saya ini, kosong. Pihak pentadbiran Felda menjadikannya sebagai setor menyimpan barang-barang pejabat.

Sejak awal lagi saya sudah beritahu ayah dan emak, saya tidak mahu bekerja di sini. Bayangkan, usia saya baru awal 20-an, baru mula bekerja, tapi ditempatkan di kawasan yang terpencil. Hidup jadi sunyi dan terasing.

Sudahlah begitu, ditemani pula oleh makhluk yang tidak dapat dilihat. Selalu saya dengar pintu rumah saya diketuk, tetapi apabila dibuka tiada sesiapa.

Pernah suatu malam, sebaik sahaja membuka pintu bilik, saya lihat ada lembaga putih rambut panjang mengerbang, sedang duduk di atas almari. Ia memandang saya sambil tangannya menyisir rambut yang kusut menutupi muka. Lintang-pukang saya berlari keluar. Malam itu saya tidur di rumah kawan.

Saya beritahu emak dan ayah, badan saya ini selalu lebam-lebam selepas bangun daripada tidur. Bukan satu atau dua, banyak. Bila dan kenapa ia terjadi, saya tidak tahu.

Paling menakutkan ialah suara bayi menangis dari rumah sebelah yang kosong dan dijadikan setor. Hampir setiap malam saya dengar bayi itu menangis. Suara tangisannya sangat menakutkan, tersedu-sedu sayu. Ada waktunya ia meraung kuat seperti malam ini.

Kalau menangis sekejap, saya boleh tahan lagi. Masalahnya, ia menangis dari lewat malam hingga Subuh.

Saya pernah jatuh sakit kerana tertekan dengan gangguan ini hingga terpaksa mengambil cuti selama beberapa minggu untuk berubat. Namun apabila kembali bekerja, saya terpaksa berdepan lagi dengan gangguan itu, termasuklah malam ini.

BERAT

Saya terus menunggang motosikal berseorangan diri, meredah malam yang gelap dan sejuk. Saya ingin cepat keluar dari tanah rancangan ini, tetapi entah mengapa, saya terasa ada kelainan.

Motosikal saya terasa berat. Bagaikan ada sesuatu yang besar dan berat sedang menumpang motosikal saya! Saya pulas minyak, namun motosikal tetap bergerak perlahan, macam sedang mendaki bukit.

Takutnya saya waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Saya terbayang lembaga yang menakutkan berada di belakang. Badannya menghimpit badan saya, mukanya di sebelah muka saya. Tangannya yang berkuku panjang membelit leher saya.

Saya juga terbayang makhluk itu sedang menarik motosikal saya dari belakang supaya saya tidak boleh melarikan diri. Ya Allah, ke mana saya hendak pergi? Hendak berpatah balik, bayi itu tentu masih lagi menangis di setor. Mungkin juga ada makhluk menyeramkan sedang menanti saya di dalam rumah.

Hendak teruskan perjalanan, rumah ibu bapa saya lebih kurang 40 kilometer jaraknya. Kena redah hutan dan ladang seorang diri. Gelap. Sunyi. Saya jadi bingung, tidak tahu apa yang perlu dibuat.

IKUT PULANG

Empat kilometer selepas meninggalkan kawasan perkampungan tanah rancangan itu, saya lihat ada cahaya terang dari sebuah bangunan di tepi jalan. Baru saya teringat, ia bilik pos pengawal Polis Bantuan Felda (Felsco).

Sememangnya di tanah-tanah rancangan Felda yang mempunyai kilang sawit atau getah, pihak pengurusan ada menyediakan polis bantuan bagi mengelakkan peneroka menghantar hasil ladang kepada pihak luar. Mereka berkawal 24 jam. Biasanya dua orang satu giliran. Seorang di dalam pos, seorang lagi di luar untuk mengawasi kenderaan keluar masuk.

Sampai di pos pengawal Felsco, saya terus berhenti. Di situ saya berborak dengan pengawal yang sedang bertugas. Saya ceritakan apa yang berlaku.

Ketika kami sedang berbual-bual, sebuah kereta sampai. Rupa-rupanya Encik Mustafa, pegawai Felda yang bekerja sepejabat dengan saya. Usianya pertengahan 30-an. Dia baru pulang dari kampungnya di Muar. Lantas saya ceritakan padanya apa yang terjadi.

“Kalau macam tu, awak ikut saya balik. Tidur kat rumah saya,” dia mempelawa. Saya setuju dan mengekori keretanya. Malam itu saya menumpang tidur di rumah En. Mustafa.

Namun kisah ini belum berakhir. Esoknya kami berbual tentang apa yang berlaku malam tadi. Sampai kepada episod dia melihat saya di pos pengawal Felsco, En. Mustafa bertanya…

“Apa yang engkau buat kat pos tu malam tadi? Aku tengok engkau bercakap sorang-sorang.”

Hah? Seorang diri? Saya terkejut. Saya beritahu Encik Mustafa, saya bukan seorang diri. Saya sedang berbual dengan seorang Felsco yang bertugas di luar pos.

“Tak ada sesiapa, Fadhil. Bilik pengawal tu kosong, kat luar pun kosong. Kau bercakap seorang diri. Kalau kau tak percaya, kau tanya bini aku. Itu yang aku ajak kau patah balik dan tidur kat rumah aku.”

Saya termenung. Fikiran terasa kosong. Selepas kejadian itu sekali lagi saya jatuh sakit. Kali ini lebih lama dan akhirnya saya meletakkan jawatan. Walaupun peristiwa ini berlaku lebih 35 tahun lalu, tapi saya tidak akan lupa. Sampai sekarang saya tidak jejakkan lagi kaki ke tanah rancangan Felda tersebut. (Ahmad Fadhil, Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan.)