Melampau dan biadab! Itu mungkin antara perkataan yang keluar dari mulut majoriti kita saat menonton video berkenaan. Anak muda dalam usia belasan tahun yang sepatutnya menebal rasa hormat dan melayan orang yang lebih tua dengan baik, malangnya bersikap sebaliknya.

Apabila berlaku perkara sebegini, siapa yang harus dipersalahkan?

Anak-anak mungkin malu sekejap kerana menerima kecaman netizen, tetapi ibu bapalah insan yang paling terkesan.

“Anak siapa”?

“Tak pandai jaga anak!”

“Mak bapak tak ajar!”

Kata-kata itu biasanya menjadi tohmahan orang ramai yang menghakimi ibu bapa atas perbuatan anak-anak mereka.

Kasihan si ibu dan bapa, tidak semena-mena menerima tempias akibat perbuatan buruk anak mereka.

Penat membanting tulang mencari rezeki menghantar anak ke sekolah dan diberi pendidikan sewajarnya agar menjadi orang baik-baik, alih-alih begitu pula perilaku si anak.

Anak yang diharap dapat membanggakan sebaliknya ‘menconteng arang’ ke muka ibu bapa atas tindakan tidak rasional yang sepatutnya boleh dikawal dengan fikiran yang waras.

Ada juga segelintir anak yang apabila di hadapan ibu bapa bersikap ‘pijak semutpun tak mati’ tetapi apabila di belakang, dialah ‘hero’. Dalam hal ini, saya percaya didikan awal ibu bapa di rumah adalah yang paling utama. Bukankah ibu bapa guru pertama anak-anak?

Ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tidak hanya membiar dan memberi kebebasan 100 peratus terhadap apa sahaja yang ingin dilakukan mereka. Kenali diri dan jiwa anak-anak.

Ramai pakar motivasi berpendapat anak-anak harus dilayan sebagai kawan, tetapi pada masa sama perlu tahu batas mereka. Pendekatan sebegitu akan menjadikan anak-anak rapat dan selesa berkongsi banyak perkara dengan ibu bapa.

Anak-anak perlu dididik dengan nilai kehidupan yang sebenar. Hari ini ramai ibu bapa berlumba-lumba mahu melahirkan cerdik pandai dalam bidang akademik dan pakar bidang tertentu, tetapi sayang mereka terlupa menerapkan nilai murni hidup bermasyarakat yang seharusnya menjadi panduan setiap daripada kita.

Sijil, pencapaian dan pangkat diagung-agungkan sedangkan hakikatnya adab dan budaya hilang entah ke mana. Amalan hormat menghormati, saling membantu, tahu batas pergaulan dengan yang lebih tua, adab bercakap dan sopan santun bukan lagi perkara utama.

Jika berkunjung ke rumah saudara mara pada hari ini, bukan yang muda menghulur tangan untuk bersalam, sebaliknya yang tua pula berasa bersalah jika tidak bersalaman. Ia mungkin nampak remeh, tetapi perkara sebegitulah yang akan membawa kepada perkara berikutnya yang lebih besar dalam adat dan budaya kita.

Apabila ibu bapa mengabaikan perkara sebegini dalam sesebuah institusi keluarga, tidak mustahil anak-anak juga akan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan baru-baru ini berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lalu akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat kata beliau, sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Saya percaya bukan sahaja anak-anak kita akan menjadi orang yang civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.

“Dengan itu, percayalah Malaysia akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” kata Dr. Mahathir. – BERNAMA