Sewaktu dibawa dengan ambulans, `Aku’ melihat seorang lelaki yang memakai jubah dipenuhi darah, duduk di sisi. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Pak Cik Ibrahim dan dia mengikuti `Aku’ hingga ke hospital, hinggalah `Aku’ dibedah bagi membuang darah yang berkumpul di otak. Apa yang berlaku seterusnya? Kisah ini bersambung…)

Apabila aku tersedar, aku dapati Pak Cik Ibrahim berada di sisi katilku. Dia memandang aku

 

seraya memberi salam.

“Nanti bila anak dah keluar hospital, bolehlah berkunjung ke rumah pak cik,” katanya mempelawa aku.

“Baik sungguh hatinya,” aku terfikir, walhal aku baru sahaja melanggarnya akibat kecuaian aku sendiri.

Setelah sembuh, aku ke rumah Pak Cik Ibrahim yang hanya beberapa ratus meter sahaja dari rumahku. Rumahnya terletak di belakang surau dan aku baru sedar bahawa dia merupakan imam di surau tersebut.

Rumahnya tersergam indah di balik surau yang berwarna biru itu. Di belakangnya terdapat berekar-ekar kebun buah delima. Aku sedikit pelik kerana kulit buah delimanya berwarna merah terang, tidak seperti di tempat lain.

Apabila aku tiba dan masuk ke dalam rumahnya, Pak Cik Ibrahim menghidangkan aku secawan teh, berserta buah-buahan dari kebunnya. Betapa manis dan enaknya buah tersebut. Tak pernah aku merasai kemanisan sebegitu. Sambil makan, Pak Cik Ibrahim berkata kepadaku…

“Anak, lepas ini jangan terlalu pentingkan pekerjaan sangat sehingga tiada masa untuk keluarga. Kerja di pejabat itu memang tidak akan selesai, tak kira macam mana banyak pun masa kita habiskan,” dia menasihati aku.

Aku akur, memang aku sedikit obses terhadap pekerjaanku. Hubungan kekeluargaan antara aku dan isteriku juga semakin renggang. Aku mengangguk sahaja mendengar Pak Cik Ibrahim bercakap.

Banyak nasihat diberikan, salah satunya adalah untuk berjemaah di surau. Masakan tidak, surau yang terletak berhampiran rumahku ini tidak pernah aku jejaki. Aku terlalu sibuk mengejar duniawi, sehingga amal ibadatku tunggang terbalik.

MAYAT REPUT

Setelah makan dan minum, aku meminta kebenaran untuk pulang. Pak Cik Ibrahim membungkuskan aku beberapa biji buah delima dari kebunnya yang dimasukkan ke dalam satu beg kain berwarna hijau. Aku mengucapkan terima kasih dan meminta maaf sekali lagi atas perbuatanku yang cuai.

Pak Cik Ibrahim juga berpesan supaya nanti, aku kongsikan buah tersebut buat dengan isteri dan dua orang anakku. Katanya, buah tersebut mengandungi pelbagai khasiat dan boleh membantu aku untuk sembuh.

Aku bertekad selepas ini walau sesibuk mana sekalipun, aku perlu solat berjemaah. Aku menetapkan sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk solat jemaah dan aku juga bertekad untuk pulang kerja seawal mungkin supaya boleh menghabiskan masa bersama keluargaku.

Aku melangkah keluar dan terlihat akan seorang perempuan tua yang bongkok sedang sibuk membersihkan rumahnya. Dia tersenyum melihatku. Aku senyum kembali. Aku melangkah ke arah keretaku.

“Firdaus…” satu suara menerjah daripada belakangku.

Aku menoleh. Tak semena-mena aku terlihat puluhan manusia di situ. Bukan manusia yang hidup seperti biasa, tetapi lebih kepada mayat!

Ada yang berulat, ada yang sudah mulai reput. Lebih mengerikan apabila ada yang memakai kain kafan serta mengesot-ngesot ke arahku. Mereka semua ingin menerjah dan menerpa ke arahku.

Bau busuk serta langau dan ulat berenga mula menguit-nguit di tubuh mereka. Aku memandang ke arah rumah Pak Cik Ibrahim, rumahnya tiada lagi di situ sebaliknya hanyalah tanah merah dan kawasan perkuburan. Mayat tersebut menerpa ke arahku. Semakin lama semakin hampir mereka mengerumuni tubuhku.

Aku terkaku, tidak boleh membuat apa-apa. Mereka menghimpit-himpit tubuhku. Tangan-tangan mereka bersama kuku yang reput serta bertanah itu mengguris badanku, mukaku dan belakangku. Dadaku berasa sungguh sakit, ibarat ditekan-tekan. Aku berteriak meminta pertolongan.

Ya Allah, tolong aku!

Tolong aku!! Tolong akuuu!!!

PUTUS

“Abang! Abang, bangunlah!” tiba-tiba sahaja suara isteriku muncul.

Aku terasa genggaman erat di tangan kananku. Aku tersedar di dunia yang nyata. Aku membuka mata, melihat keadaan sekeliling. Isteriku memegang tanganku dengan erat.

“Ya Allah… abang!” kata isteriku sambil memeluk tubuhku.

Aku masih bingung. Aku terlihat dua orang jururawat berserta seorang doktor dan troli kecemasan berada di sisi katilku. Dadaku terasa sakit. Doktor tersebut menghampiriku sambil menyuluh anak mataku. Otak aku sudah mula dapat memproses bahawa aku sedang berada di hospital.

Pelbagai soalan ditanya oleh doktor kepadaku. Masa, tempat, siapa dan adakah aku masih lagi berasa sakit atau tidak. Setelah semua beredar dan di saat aku nampak stabil, isteriku yang tadinya tersedu-sedu, kini menangis teresak-esak.

“Kenapa ni, sayang?” aku bertanya.

“Tadi abang dah flatline, mereka semua buat CPR, nasib baik abang okey dan dah sedar balik,” katanya.

Aku memeluk kembali tubuh isteriku. Kaki kananku sakit. Dalam menahan kesakitan itu tiba-tiba sahaja terlintas di fikiranku mengenai Pak Cik Ibrahim. Segera aku bertanya kepada isteriku.

“Macam mana dengan pesakit yang abang langgar tu?” tanyaku.

“Eh, abang tahu tak pesakit tu sebenarnya…” belum sempat isteriku habis bercakap, aku memotong.

“Ya, Pak Cik Ibrahim, imam surau Al-Rahman tu, kan?” kataku membuatkan isteriku bingung.

“Macam mana abang boleh tahu dia siapa?” jawab isteriku dengan satu persoalan yang lain.

“Lepas kemalangan, dia temankan abang sepanjang perjalanan dari tempat kemalangan hingga ke hospital. Banyak juga kami bersembang. Abang nak tahu juga keadaannya sekarang,” aku berkata.

“Apa abang merepek ni. Pak Cik Ibrahim mati di tempat kemalangan tu! Terputus dua badan dia. Mana ada dia naik ambulans sekali. Masa saya dapat tahu, saya ke sana, saya tengok ambulans yang bawa abang itu dah pergi dan mayat arwah masih berada di atas jalan raya. Cebisan-cebisan mayatnya orang ramai tutup dengan surat khabar!” jawab isteriku.

Pak Cik Ibrahim mati? Badannya terputus dua?

Aku menjadi bingung. Mata aku terpaku pada objek di atas cardiac table aku iaitu satu beg kain yang berwarna hijau dan sedikit terbuka, menampakkan isinya iaitu beberapa biji buah delima yang kulitnya berwarna merah terang. ( DR. ONN AZLI PUADE, Muar, Johor. Kisah ini ditulis berdasarkan kejadian sebenar.)