Bersama para usahawan wanita bertubuh kecil ini mahu berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam audit dan akaun. Zurianee Zabidi, 32 yang cukup dikenali sebagai cikgu cukai ialah seorang akauntan bertauliah di bawah Malaysian Institute of Accountant (MIA) dan ejen percukaian berdaftar di bawah Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM).

SUAMI yang juga teman baiknya sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya.
SUAMI yang juga teman baiknya sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya. 

Menerusi firma akauntannya, Pejuang Usahawan, Zurianee dan suaminya, Ahmad Zairul Dzuljastri, 37 , berusaha sedaya upaya membantu golongan usahawan khususnya dalam bidang pengurusan dan pembangunan perniagaan.

Baginya seseorang itu harus bermula dari bawah. Sekiranya bekerja makan gaji harus mengetahui selok belok perniagaan yang mahu diceburi. Jika sudah menceburi bidang perniagaan perlu bermula secara kecil-kecilan tetapi agresif.

“Untuk berjaya memang senang tetapi hendak mengekalkannya memang susah. Jangan cepat rasa selesa. Ramai usahawan yang telah sampai ke satu tahap merasa senang dan tidak mahu berusaha lagi selepas itu. Saya lain, saya merasakan yang saya belum berjaya dan saya juga jenis tidak mudah berpuas hati,’’ katanya.

Bercerita tentang Pejuang Usahawan, Zurianee memberitahu, syarikat tersebut ditubuhkan pada 2015, bertujuan membantu para usahawan mengurus kewangan dengan baik bagi mengelakkan wang atau keuntungan yang diperoleh tidak kekal lama kerana habis dibelanjakan.

“Melihat situasi yang membelenggu segelintir ahli perniagaan, kami tampil menawarkan perkhidmatan dalam bidang perakaunan, pelaburan dan pengurusan kewangan kepada mana-mana syarikat sama ada yang baru memulakan perniagaan mahupun yang sudah lama beroperasi,” katanya.

Adat berniaga pasti ada cabaran yang perlu ditempuh. Begitu juga dengan Zurianee, dia bukan sahaja berdepan dengan bermacam-macam ragam jenis pelanggan, malah perlu memahami hal ehwal dan masalah berkaitan kewangan mereka.

“Setakat ini, kami sudah membantu banyak syarikat dan individu untuk menguruskan kewangan dan mengembangkan aset mereka. Kami bukan sahaja membantu syarikat yang melibatkan nilai kewangan jutaan ringgit tetapi turut menguruskan kewangan pelanggan dalam lingkungan puluhan ribu ringgit,” katanya.

Ditanya tentang pembahagian masa antara kerjaya dan keluarga, Zurianee akan menghabiskan masa waktu hujung minggu bersama keluarga. Dia berasa bertuah kerana suaminya yang juga dianggap sahabat baiknya sentiasa menemaninya menghabiskan masa terluang ke pusat kecantikan dan pusat membeli belah. Tidak ketinggalan, dia akan memperuntukkan masa setiap hari memasak hidangan untuk suami dan anaknya selepas waktu kerja.

“Pada awal penubuhan syarikat, saya dan suami banyak menghabiskan masa untuk kerja. Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan pada hari ini. Selepas beberapa tahun ditubuhkan situasi syarikat semakin stabil dan saya mahu memberikan penumpuan pula kepada keluarga,” katanya.