Dia sudah mampu memahami betapa peritnya ujian yang dilalui oleh ibunya, Nor Laila Mat Yasim, 43, dalam mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu kantin. Ini kerana bapanya, Mohd. Rais Jaidilah Abdullah, 42, tidak lagi mampu bekerja.

Dahulu bapanya bekerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya. Namun, setelah disahkan menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan gout, dunia Mohd. Rais kini di rumah sahaja.

Ada satu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Mohd. Rais diserang sakit jantung sehingga kenderaan yang dipandunya terbabas ke tepi jalan. Mujur ada insan yang baik hati membantunya.

Sejak itu, Mohd. Rais tidak lagi keluar bekerja kerana tidak mampu berjalan jauh dan hanya terlantar di rumah bersama sepasang cahaya matanya yang menghidap sindrom down.

“Sebagai ketua keluarga saya tidak lagi mampu mencari sumber pendapatan. Keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan untuk bekerja kuat seperti dahulu.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung kepada sumber pendapatan isteri yang bekerja di kantin sekolah dengan jumlah pendapatan yang tidak menentu,” katanya kepada S2.

Tambah Mohd. Rais yang tinggal di sebuah pangsapuri usang di Ampang, anak bongsunya iaitu Irfan banyak membantu dia dan anak perempuannya menjalankan rutin harian setiap hari.

“Irfan akan pimpin tangan saya dan kakaknya jika kami mahu ke tandas. Selain itu, Irfan turut membantu ibunya menyediakan juadah makan tengah hari untuk keluarga.

“Walaupun masih kecil, Irfan sudah mampu melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah dan mengemas rumah apabila disuruh,” katanya.

Anak istimewa penyeri keluarga

Bertuah keluarga ini, meskipun dikurniakan dua cahaya mata yang menghidap sindrom down, namun kehidupan mereka sekeluarga bahagia dan meriah dengan telatah anak-anak comel ini.

Berlari, melompat dan gelak tawa mereka sudah cukup untuk memeriahkan suasana rumah yang didiami mereka sekeluarga. Gelagat ceria mereka memberi kekuatan kepada pasangan suami isteri ini.

Tidak pernah menjadi beban kepada keluarga, sebaliknya anak-anak comel ini adalah anugerah terindah dari Allah yang menyerikan rumah tangga yang dibina.

Itu diakui oleh pasangan suami isteri, Mohd. Rais Jaidilah Abdullah dan Nor Laila Mat Yasim mengenai dua cahaya mata istimewa yang dikurniakan kepada mereka.

Menurut Mohd. Rais, Irfan masih kecil, namun sudah mampu membantu menjaganya dan anak perempuannya ketika isteri keluar bekerja.

“Setiap kali selepas mandi, Irfan akan menyikat rambut kakaknya. Malah, ketika saya diserang sakit jantung sehingga tidak mampu berjalan, Irfan banyak membantu saya untuk menjalankan aktiviti harian sehinggalah saya boleh berjalan sedikit,” katanya.

Dilema kesempitan hidup

Kesempitan hidup kerana ketua keluarga tidak lagi mampu menjana pendapatan memaksa keluarga kecil ini berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian terutama makan dan minum.

Perumpamaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sangat sesuai digunakan untuk menggambarkan keperitan yang dialami oleh mereka sekeluarga.

Tiada lagi menu istimewa terhidang di atas meja seperti mana keluarga lain. Namun, mereka sekeluarga masih tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Menurut Nor Laila, hanya dia seorang yang bekerja untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Ampang.

“Jumlah pendapatan bersih yang sedikit ini dikongsi bersama anak dan suami untuk membeli barang keperluan harian seperti makanan dan minuman.

“Meskipun tidak banyak, pekerjaan inilah yang sesuai untuk saya lakukan kerana dapat pulang ke rumah awal bagi menjaga suami dan anak-anak yang tidak sihat,” katanya.

Tambahnya, dahulu ketika suami masih bekerja sebagai penyelia pasar raya, kehidupan mereka sekeluarga tidaklah sedaif sekarang, namun selepas suami diserang penyakit kehidupan mereka semakin melarat.

“Kos perubatan suami saya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung menelan perbelanjaan beratus ringgit sebulan.

“Bagaimanapun, saya reda dengan segala yang berlaku dan menganggap perkara ini adalah ujian dari Yang Maha Esa,” katanya.

Untuk ,menyalurkan sumbangan boleh salurkan kepada nombor akaun CIMB milik Mohd. Rais iaitu 7016906004 atau hubungi di talian 012-616411842