Lakaran lukisan yang mempunyai setiap perincian reka bentuk bangunan memerlukan penelitian yang tinggi bagi mengelak sebarang kesilapan teknikal daripada berlaku.

Bangunan yang dibina boleh runtuh sekiranya proses pembinaan tersebut tidak menepati piawaian yang ditetapkan pihak pengurusan.

Kerjaya sebagai jurutera nampak hebat kerana merupakan kerjaya profesional dan dijulang sebagai individu yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.

Namun, di sebalik tabir kerjaya sebagai jurutera awam, mungkin tidak ramai yang tahu betapa sukarnya proses yang perlu dilalui jurutera untuk menyiapkan sesebuah bangunan.

Kebanyakan daripada kita mungkin tidak tahu tentang cabaran kerjaya jurutera. Hakikatnya, kerjaya jurutera penting dalam proses pembinaan bangunan dan boleh dikatakan mereka yang menceburi kerjaya itu tidak boleh melakukan kesilapan.

Sekadar satu perbandingan iaitu sekiranya seorang peguam melakukan kesilapan ketika proses pembelaan, maka kesilapan itu akan menyebabkan pesalah dihukum dan dipenjara. Begitu juga sekiranya seorang doktor membuat kesilapan ketika merawat pesakit, maka kesilapan itu boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia.

Tetapi jika seorang jurutera awam membuat kesilapan, itu akan menyebabkan beribu-ribu nyawa terkorban apabila bangunan runtuh.

Itu yang dijelaskan Hazim Mustafa Rahmat, 29, ketika membicarakan mengenai kerjaya seorang jurutera awam yang terlibat secara langsung dalam pembinaan bangunan.

Hazim kini berkhidmat di sebuah syarikat kontraktor binaan, Crescent Engineering (M) Sdn. Bhd. dan pernah berkhidmat sebagai perunding kejuruteraan awam selama tiga tahun di Senie Associates Sdn. Bhd.

Beliau yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang kejuruteraan awam mengakui kerjaya itu sangat mencabar kerana perlu memastikan projek dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan tanpa mengenepikan kualiti.

“Bermula dari aspek reka bentuk, jurutera memainkan peranan penting dalam memastikan struktur yang direka bentuk tidak mengalami kegagalan dan menepati piawaian.

“Perkara itu amat penting memandangkan kegagalan dalam reka bentuk boleh menyebabkan keruntuhan dan jurutera juga perlu memastikan pembinaan siap mengikut reka bentuk yang ditetapkan,” katanya.

Hazim bercita-cita menjadi seorang jurutera sejak dari kecil lagi kerana menyukai cabaran dalam pembinaan bangunan.

“Sejak mendengar cerita mengenai Highlands Tower runtuh pada 1993, saya berasa amat tertarik untuk mengetahui mengenai proses pembinaan sesebuah bangunan.

“Memang agak rumit dan mencabar, namun saya ambil peluang ini kerana jiwa saya sememangnya suka akan sesuatu yang mencabar,” katanya.

Hazim yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, antara cabaran yang pernah dihadapi adalah membaik pulih projek pembangunan terbengkalai.

“Dalam projek ini, beberapa struktur bangunan telah mengalami kegagalan dan beberapa pilihan cadangan telah diberikan untuk membaik pulih bangunan tersebut sama ada meruntuhkannya atau membuat penilaian forensik bagi mengenal pasti bahagian yang gagal.

“Akhirnya pilihan kedua dibuat memandangkan kos lebih efektif berbanding pilihan pertama yang menelan belanja besar. Alhamdulillah, bangunan tersebut kini selamat digunakan,” katanya.

Menurut Hazim, kejayaan yang pernah dicapai sepanjang bertugas sebagai jurutera awam adalah mereka bentuk beberapa bangunan pencakar langit, loji rawatan air dan menyiapkan sebuah empangan dalam membantu menyelesaikan masalah air di sebuah negeri.

“Meskipun tugas ini mencabar, namun memberikan kepuasan kerana saya dapat membina sebuah bangunan untuk didiami orang ramai,” katanya.