Ini kerana majoriti anak muda kini memilih untuk menangguhkan perkahwinan kerana mengutamakan kerjaya. Malah, menamatkan zaman bujang pada usia seawal 20 tahun dianggap sesuatu yang janggal.

Justeru, apabila ada anak muda menyuarakan hasrat untuk berkahwin pada usia awal 20-an, keputusan itu sering mengundang ‘cakap-cakap belakang’, sindiran  atau diperlekeh oleh keluarga, saudara mara mahupun kenalan.

Malah, ada ibu bapa berasa risau terhadap kemampuan anak-anak mereka untuk hidup berdikari sepanjang melayari bahtera rumah tangga kelak. 

Namun, segala cabaran, kesusahan mahupun kebahagiaan tidak akan dirasai sekiranya seseorang itu tidak berani mengambil risiko untuk melalui keindahan fasa perkahwinan pada usia muda.

Nekad untuk tidak mengambil peduli kata-kata negatif orang sekeliling, Nur Shafira Mohamad Dahlan, 25, percaya bahawa kebahagiaan menempuh alam rumah tangga pada usia muda perlu berbekalkan restu kedua ibu bapa.

Apabila ditanya berkaitan perkara itu oleh sanak saudara atau kenalan, dia dengan berani berkata “kalau sudah jodoh, nak buat macam mana?” katanya sambil ketawa.

Memilih untuk menamatkan zaman bujang pada usia 23 tahun bersama pilihan hatinya, Nik Mohamad Syahmi Nik Ibrahim, langkah itu menjadi jawapan kepada jalan hidupnya untuk mengecapi bahagia sekali gus meletakkan status seorang isteri sebagai batu loncatan menjadi ahli syurga.

Menurut Nur Shafira, walaupun berasa kecil hati terhadap beberapa individu yang rapat dengannya ketika meluahkan hasrat untuk berkahwin, namun sokongan kedua ibu bapanya begitu utuh dan itu sudah cukup untuk memudahkan proses perkahwinannya.

Mengimbau kenangan lalu, Nur Shafira mengenali suaminya melalui laman sosial Instagram pada 3 Julai 2016.

“Pada ketika itu, Nik Mohamad Syahmi menghantar mesej peribadi untuk berkenalan. Kami kenal tidak sampai sebulan dan terus merancang bertunang. Kami bertunang selepas dua bulan berkenalan dan berakhir di jenjang pelamin pada Januari 2017.

“Alhamdulillah, perkahwinan yang berganjak ke usia dua tahun ini amat bahagia, lebih-lebih lagi dengan adanya puteri sulung, Nik Ufaira Maureen Nik Mohamad Syahmi, enam bulan sebagai pengikat kasih sayang.

“Sedikit pun tidak terdetik di hati untuk mengimbau kembali zaman solo dan berasa cemburu melihat kehidupan rakan-rakan yang masih seronok melayari kehidupan sebagai orang bujang, sebaliknya saya  bahagia menyulam cinta selepas bernikah,” katanya.

Pada awal perkahwinan, Nur Shafira terpaksa menjalani kehidupan cinta jarak jauh kerana suaminya bekerja di Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah sementara dia bekerja sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Hanya selepas empat bulan berkahwin, anak bongsu daripada empat beradik kepada bekas pengacara program Ruang Bicara di Bernama News Channel, Datuk Mohamad Dahlan Maamor yang kini merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, kembali ke pangkuan suami tercinta.

“Saya berhenti kerja untuk berada dekat dengan suami dan sejak itu menjadi suri rumah.

Walaupun suami sentiasa memberi keizinan untuk  kembali bekerja, namun buat masa sekarang saya lebih selesa melakukan kerja-kerja rumah sambil membesarkan anak,” ujarnya.

Walaupun Nur Shafira merupakan lulusan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun kerjaya sebagai suri rumah benar-benar mencabar lebih-lebih lagi perlu memantau anaknya yang semakin membesar.

Bantu suami jana pendapatan

“Menjadi suri rumah dan jaga anak..., memang penat dan tertekan daripada bekerja. Agak sukar untuk saya berubah 100 peratus rutin semasa anak dara, namun suami memahami dan tidak beri tekanan. Malah tanggungjawab yang dipikul sejak kecil akibat perceraian kedua ibu bapa memudahkan saya menerima peranan baharu sebagai suri rumah sepenuh masa,” kata Nur Shafira.

Menurutnya, jika dahulu dia bangun tidur agak lewat, namun sejak berkahwin dan ada anak, rutin hidupnya berubah. Nur Shafira  bernasib baik kerana suami tidak meminta  menyediakan sarapan kerana menyedari kepenatan isteri yang perlu kerap bangun pada tengah malam untuk menyusukan anak. Sungguhpun begitu, Nur Shafira menyediakan juga sarapan  kerana anak sudah mula makan.

“Saya bertuah kerana banyak kerja rumah dibantu  suami. Dalam perkahwinan terutama bagi mereka yang masih di peringkat ‘darah panas’, apa yang penting adalah kerjasama dan pemahaman tentang konsep perkahwinan.

“Rezeki saya mendapat suami yang banyak bertolak ansur dalam melayani kerenah dan tidak pernah memaksa dalam membuat sesuatu. Saya bangga menjadi suri rumah dan dapat melihat anak membesar di depan mata. Malah, dalam  masa sama, saya lebih sukakan karier baharu ini,” jelasnya.

Tidak malu berkongsi cerita, dia memberitahu ada kalanya tertekan dan menangis apabila penat melakukan kerja-kerja rumah dan dalam masa sama anaknya yang mesra dengan panggilan Ufa meragam tanpa mengenali punca dan cara untuk menenangkannya. 

“Pada ketika itu, suami bekerja di luar kawasan selama empat hari, tetapi perlu bergegas pulang pada hari ketiga kerana keadaan anak yang meragam dan mahukan ayahnya. Hanya selepas dipujuk oleh ayahnya, Ufa kembali ceria,” ceritanya mengenang saat itu.

Walaupun dibuai bahagia, namun Nur Shafira tidak terlepas daripada kecaman yang mengatakan kerjaya sebagai suri rumah sekadar menghabiskan duit suami sedangkan realitinya dia turut membantu pendapatan keluarga dengan menjual barangan terpakai atau pre-loved.

“Takkan semua saya perlu jaja cerita apa yang dilakukan untuk membantu pendapatan suami. Suami tidak meminta saya mencari wang kerana itu tanggungjawabnya terhadap saya dan anak, tetapi saya berasakan wujudnya keperluan untuk menambah pendapatan. Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk meneruskan hidup,” tegasnya.

Lebih selektif memilih kerjaya

 

Bagi yang mengenalinya pasti tahu Nur Shafira aktif dalam dunia peragaan secara sambilan sejak berusia lima tahun.

Wajahnya yang cantik, kulit bersih dan cerah,  tinggi lampai serta langsing melayakkannya menghiasi pelbagai majalah dan pentas peragaan.

Namun, sejak memegang status ibu, Nur Shafira terpaksa mengurangkan perjalanan dunia itu bagi memberi ruang untuknya berbakti kepada keluarga.

Walaupun suami tidak menghalang untuk bergiat kembali dalam dunia tersebut, namun dia meletakkan batasan demi menjaga maruah keluarganya. 

“Saya tidak terkilan apabila perlu menolak beberapa ‘job’ kerana kebanyakan tawaran tertumpu di Kuala Lumpur. Jika dapat tawaran saya perlu berbincang dengan suami dan melihat jadual kerjanya terlebih dahulu.

“Selain itu, saya sendiri meletakkan batas dalam memilih tawaran. Jika boleh, saya tidak mahu bergambar berpegangan dengan lelaki, selain melihat pada kesesuaian pakaian serta konsep.

“Bukan cerewet tetapi masalah kekangan masa menjadi keutamaan. Saya tidak boleh menerima tawaran yang terlalu lama kerana masih menyusukan anak,” jelasnya.

Ketika ditanya perasaannya sekarang, Nur Shafira mengungkap rasa rindu untuk kembali bekerja bagi menambah pendapatan keluarga, namun buat masa sekarang memilih untuk menunggu anaknya berusia empat tahun atau sekurang-kurangnya pandai mengadu sakit, barulah akan memulakan semula kerjaya.