“Keluarga mengharapkan saya menjadi seorang doktor yang mampu berbakti kepada orang ramai. Namun, ketika mengisi borang permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) selepas tamat program Matrikulasi Sains Hayat pada 2001, saya meletakkan kursus Senibina Landskap dalam senarai selepas tertarik dengan penceritaan seorang rakan sekuliah mengenai bidang tersebut.

 

“Selepas menerima tawaran, saya bertungkus-lumus belajar, tunjuk minat yang mendalam dan berjaya mendapat senarai dekan semasa pengajian.

“Dari situ, ahli keluarga mula menerima minat serta percaya keupayaan saya untuk berjaya,” katanya kepada Mega Rona sambil menitiskan air mata mengenang masa lampau.

Walaupun bidang yang dipilih itu amat mencabar bagi seorang wanita, namun apabila melihat reka bentuk yang dihasilkan dapat dilaksanakan dengan baik, ia memberi kepuasan yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata.

“Apabila usaha saya direalisasikan dengan baik di tapak pembangunan, ia memberikan kepuasan yang berbeza dan saya berasa bangga dengan apa yang telah dilakukan selama ini. Saya berasakan seolah-olah segala perit payah yang terpaksa dilalui sepanjang proses tersebut berbayar,” ujarnya.

Sebagai arkitek landskap, Siti Maisarah memberitahu dia perlu berhubung dengan pelbagai individu, kumpulan profesional serta kontraktor, pembekal dan sebagainya yang memerlukan kemahiran pengurusan serta komunikasi yang berkesan agar tiada kesalahan fakta.

Kesabaran yang tinggi dalam memastikan projek berjalan lancar dan disiapkan pada tarikh yang ditetapkan menjadi keutamaannya selain memastikan pelanggan berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukannya sekali gus menyahut cabaran kerjaya.

 

Bijak bahagi masa

Siti Maisarah yang pernah memenangi Anugerah Arkitek Landskap Muda 2016 anjuran Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) mengakui bidang yang dipilihnya itu memerlukan banyak pengorbanan masa.

“Tidak dinafikan, ada kalanya saya terpaksa bekerja lebih waktu bagi menyiapkan kerja. Yang penting adalah walau bagaimana sibuknya seseorang, kita masih tetap perlu memperuntukkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

“Saya akan pastikan sekurang-kurangnya dapat meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga dengan melakukan aktiviti serta beriadah atau bercuti bagi mengukuhkan silaturahim,” jelasnya.

Siti Maisarah bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami perjalanan kerjayanya terutama ketika berada dalam tekanan akibat kerja.

“Ketika dalam tekanan, sokongan suami dan anak-anak menjadi penyeri dan menceriakan suasana. Suami merupakan rakan karib yang banyak memberi nasihat serta tunjuk ajar. Tidak lupa kepada kedua ibu bapa dan adik beradik serta keluarga mentua yang banyak memberi sokongan serta semangat dalam mengejar cita-cita dan kerjaya,” kata Siti Maisarah.

Enggan pandang belakang

Bercerita tentang hasil kerja kerasnya ditolak oleh pihak atasan, Liew Ying Yie ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan hampir putus asa dalam kerjaya pilihannya ini.

Katanya, penat lelah dan masa yang banyak diperuntukkan untuk menjayakan projek pemilihan pokok yang menyumbang kepada kehijauan landskap itu ditolak mentah-mentah oleh majikannya yang ketika itu beranggapan hasil kerjanya hanya sekadar dilihat ‘hijau’ dan tiada faktor wow.

“Ketika itu saya berasakan usaha yang dicurahkan tidak dihargai. Namun, saya tidak mahu cabaran itu menjadi noktah dalam kerjaya. Justeru, saya memilih untuk melihat dari perspektif berbeza iaitu menganggap setiap kerja untuk menyiapkan tugasan tidak sepatutnya mengharapkan pujian.

“Saya tidak perlu takut walaupun tidak kira berapa banyak idea atau cadangan ditolak, sebaliknya saya perlu mencari sebab kenapa mereka menolak hasil kerja tersebut,” katanya penuh semangat.

 

Tidak berhenti di situ, gadis berusia 33 tahun itu mengorak langkah mencari peluang selain terbuka untuk menerima ilmu baharu dari pelbagai bidang. Ini dalam usaha memastikan kerjaya yang dibina memberi kepuasan sekali gus mampu membina empayar sendiri pada masa akan datang.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu kini merancang melanjutkan penggajian di peringkat ijazah sarjana dan memilih bekerja dari rumah.

Memberitahu kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pemaju, membolehkan Ying Yie menyusun jadual hariannya dengan memperuntukkan waktu siang untuk berjumpa pelanggan, menghadiri mesyuarat atau ke tapak projek. Masa yang selebihnya digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja menggunakan komputer walau di mana berada dan pada bila-bila masa.

Mengakui amat sukar menukar persepsi masyarakat terhadap kepentingan landskap, Ying Yie mahu pelanggannya melihat dari sudut berbeza dan tidak menganggap ia sebagai satu pembaziran.

“Ramai pelanggan tidak setuju dengan pembinaan landskap kerana dianggap membazir. Mereka mengganggap ruang tersebut lebih baik digunakan untuk membina lebih banyak rumah,” ujarnya.

Perluas kerjaya

Usahanya selama ini mula membuahkan hasil apabila tercalon sebagai Ahli Majlis ILAM yang memberi peluang kepadanya untuk menabur bakti dan sumbangan yang lebih besar dalam industri.

“Jika saya tidak mampu menyumbang wang ringgit, saya gembira dapat menyumbang masa dan tenaga kepada negara,” katanya.

Malah, wanita yang tidak mengenal erti putus asa itu turut terpilih sebagai salah seorang juri sempena Anugerah Arkitek Landskap (MLAA) ekoran pengalamannya dalam kerja-kerja berpotensi tinggi.

“Melalui penghargaan tersebut, saya percaya peluang lebih cerah menanti pada masa hadapan. Apa yang penting adalah mengekalkan disiplin yang tinggi dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu termasuk melawat kawasan, menghadiri seminar atau kelas dan berjumpa dengan mereka yang berpengalaman.

“Dari situ, mereka akan berkongsi pengalaman dan memberi nasihat untuk terus kekal berdaya saing dalam bidang ini yang banyak dipelopori lelaki,” katanya menamatkan perbualan.