Walaupun tidak mempunyai pengalaman membuat kek, namun tunjuk ajar Pengurus Cawangan Taiwan, Persatuan Rekaan Kek Korea, Anna Yang ternyata memberi hasil yang cantik.

AZLINZA HASHIM
AZLINZA HASHIM 

Anna diterbangkan khas untuk mengajar kelas edisi Masterclass membuat kek bunga Korea daripada pes kacang putih di DIY Bites Studio.

“Tangan perlu stabil dan konsisten semasa menekan beg paiping. Perlu pandai menggerakkan muncung beg paiping supaya kelopak bunga tidak kaku dan seakan bunga hidup. Gunakan campuran bancuhan pewarna serbuk untuk kelihatan semula jadi,” ujar Anna memberi tip rekaan bunga kek Korea kepada pelajarnya.

Ilmu membuat bunga kek Korea sentiasa dipelajari Anna setiap tiga bulan. Trend bunga kek Korea yang begitu cepat berubah ditambah dengan kesabaran dan cara yang bijak mengajar setiap pelajar membuatkan kelas ini berbaloi disertai walaupun hanya sehari.

Memang banyak tutorial membuat kek di Internet, tetapi lebih mudah jika kita berguru.

Sebagai contoh, bagaimana menipiskan muncung paiping untuk mendapatkan kelopak yang halus serta teknik bancuhan warna yang membuatkan bunga kelihatan seperti bunga hidup agak sukar ditemui di Internet.

Kelas Masterclass sebegini merupakan antara yang ditawarkan di DIY Bites Studio terletak di Setia City Mall, Setia Alam, Selangor.

Namun, bagi mereka yang tidak pernah atau baru berjinak-jinak membuat kek, DIY Bites Studio menyediakan perkhidmatan untuk mempelajarinya dengan teknik pembelajaran yang menyeronokkan.

-
 

Antara konsep menarik di DIY Bites Studio, anda boleh memilih satu resipi daripada berpuluh pilihan resipi, melihat video tutorial dan resipi menerusi tablet yang diberi, membancuh bahan-bahan kek yang disediakan serta bakar dan bawa pulang kek yang dibuat sendiri.

Pemilik DIY Bites Studio, Azlinza Hashim berkata, idea membuka studio kek konsep sebegini muncul selepas melihat trend tersebut ketika melancong di Jepun dan Taiwan.

“Semuanya bermula daripada jem marmalad yang dibuat rakan kongsi saya, Wong May Chew. Pada awalnya saya menjual jem itu kepada rakan-rakan kerana rasanya yang sedap.

-

“Dari situ, kami membuka kelas kek secara kecil-kecilan di sebuah rumah sewa dan semakin lama semakin ramai berminat mendorong kami mencari ruang yang lebih luas untuk memuatkan pelajar.

“Dalam proses tersebut, kami melihat konsep studio kek di Jepun amat menarik. Pelajar boleh memilih resipi yang mereka suka dan terus membuatnya di studio. Kemudian idea teknik pembelajaran menerusi tablet timbul apabila melihat konsep studio kek di Taiwan.

“Penggunaan tablet menjimatkan tenaga kerja selain konsep interaktif ini lebih diminati golongan muda. Namun dalam masa sama ada pekerja akan menyelia dan membantu pelajar.

“Konsep ini sesuai untuk mereka yang pertama kali mahu membuat kek dan mereka yang teringin membuat kek tetapi tidak mempunyai cukup peralatan dan bahan di rumah,” ujarnya.

Katanya, resipi yang disediakan akan dikemaskini setiap suku tahun dan mereka juga menyediakan resipi mengikut perayaan tertentu.Setiap resipi berharga RM70 hingga RM200.

Perkembangan terkini mereka boleh diikuti di Instagram atau Facebook @diybitesstudio untuk resipi terkini dan kelas.