Mana tidaknya, pada usia 21 tahun, anak kelahiran Kulim, Kedah itu sudah berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu diperoleh menerusi kejayaannya mengelilingi Semenanjung dengan berkasut roda sejauh 2,153 kilometer pada 2015.

Tidak hanya setakat itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut melakar kejayaan demi kejayaan dalam arena sukan lasak.

Kemuncak kariernya sebagai atlet sukan lasak adalah apabila muncul juara dua tahun berturut-turut dalam Kejohanan Orienteering Asia pada 2017 dan 2018 sekali gus melayakkannya menyandang gelaran sebagai atlet orienteering nombor satu Asia Tenggara ketika ini.

Beliau juga muncul sebagai atlet tunggal dari Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri dalam Kejohanan Orienteering Universiti Dunia di Finland pada tahun lalu.

Sudah tentu kejayaan demi kejayaan itu tidak dapat dicapai dengan mudah sekiranya tiada usaha gigih dan motivasi tinggi terutama dalam meningkatkan tahap kecergasannya.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, beliau memilih untuk melakukan multisport seperti berlari, berbasikal dan berenang sebagai kaedah menjalani latihan fizikal.

“Saya juga memasuki gimnasium untuk membina dan menguatkan otot. Saya pernah mengalami kecederaan semasa menjalani latihan, namun saya tetap teruskan kerana memikirkan ada misi yang hendak dicapai.

“Bagi saya, motivasi terbaik adalah dengan memberikan yang terbaik dalam setiap aspek termasuk ketika menjalani latihan,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.

Menyingkap semula penglibatannya dalam arena sukan lasak, Azam berkata, ia bermula pada 2014 apabila terpilih sebagai kru sokongan dalam projek Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 iaitu ekspedisi merentasi permukaan ais di Greenland.

Sepulangnya ke tanah air, Azam yang ketika itu baru berusia 20 tahun berasakan perlu untuknya terus mengharumkan nama negara menerusi bidang yang diminatinya iaitu ekspedisi dan sukan lasak.

Dari situ tercetus idea untuk melakukan ekspedisi berkasut roda mengelilingi Semenanjung memandangkan tiada lagi individu yang berbuat demikian.

Hasil kejayaan menempa nama dalam MBOR melalui ekspedisi itu, Azam tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan terus mengorak langkah untuk mencipta nama.

Berkat kerja keras dan disiplin dalam menjalani latihan, setiap acara sukan lasak yang disertainya pasti meletakkannya di atas podium.

Mengulas bagaimana membahagikan masa antara belajar dan bersukan, Azam berkata, beliau akan melakukan latihan fizikal ketika tiada kelas terutama pada hujung minggu.

“Contohnya kalau hari ini kelas pada waktu pagi sahaja, maka waktu petang saya akan luangkan masa untuk latihan fizikal dan begitu juga sebaliknya.

“Pada waktu malam pula, saya memanfaatkan masa untuk melakukan tugasan pengajian dan menelaah pelajaran.

“Boleh dikatakan kehidupan saya di universiti agak sibuk dengan belajar dan melakukan latihan. Apa pun, keutamaan tetap diberikan kepada pengajian,” katanya.

Kisah Azam melakar kejayaan bukan lagi rahsia malah telah memberi inspirasi terutama kepada golongan belia.

Ikon Belia Kedah 2017 itu telah didatangi pelbagai pihak yang mahukan beliau berkongsi kisah kejayaannya dengan masyarakat.

“Sehingga hari ini saya telah dipanggil berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada golongan belia, penuntut universiti dan pelajar sekolah.

“Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, peluang menyampaikan ceramah motivasi kepada orang lain saya manfaatkan sebaik-baiknya kerana sejak kecil saya memang bercita-cita menjadi pendidik,” ujarnya.

Bagi mengejar cita-citanya bergelar pensyarah, Azam merancang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pemasaran perniagaan pada tahun hadapan.

Buat masa sekarang, beliau mahu fokus untuk menunaikan impiannya yang masih tertangguh iaitu mencatat nama dalam Guiness World Records melalui ekspedisi berkasut roda dan berbasikal merentasi Amerika Syarikat pada Ogos hingga September ini.