Betapa bahagia seseorang yang masih memiliki ibu. Lihat sahaja wajah seorang kanak-kanak kecil yang tidak mempunyai ibu, wajahnya nampak sayu. Pasti dia terfikir betapa bertuah rakan sebayanya yang masih mempunyai insan yang bergelar ibu.

Bagi yang masih mempunyai ibu, belum terlambat untuk anda menyatakan kasih sayang, meraikan dan menggembirakannya. Biarpun hadiah dan pemberian, bukan itu yang dipinta, cuma yang diharapkan agar anak-anak bertanya khabar dan menjenguk mereka sekerap mungkin.

Seorang ibu menurut Aida Zulaikha Abas, 26, ialah insan yang cukup istimewa. Anak bongsu daripada empat beradik ini dilahirkan semasa ibunya, Meriam Kamariah Ibrahim, 66, berumur 40 tahun, umur yang dikira agak lewat untuk melahirkan anak dan berhadapan dengan pelbagai risiko.

Ini yang membuatkan Aida Zulaikha begitu menyanjungi pengorbanan ibunya, amat menyayangi dan tiada galang gantinya. Sebagai anak bongsu sudah tentu dia yang paling rapat dengan ibu apatah lagi dia masih belum berkahwin. Dua adik-beradik yang lain sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Mama adalah seorang superwoman. Dia adalah idola saya. Pengorbanan mama pada saya terlalu besar. Selepas papa meninggal dunia, mama bertungkus-lumus membesarkan kami adik- beradik. Mama banyak berkorban masa. Walau sesibuk mana pun mama tetap peruntukkan masa untuk anak-anak.

“Papa meninggal dunia semasa saya berumur lapan tahun. Setelah dewasa sekarang, saya semakin mengingati pengorbanan mama dan sudah tiba masa untuk membalasnya.

“Bukan senang bagi seorang ibu tunggal seperti mama yang tidak bekerja untuk membesarkan empat orang anak. Bagaimanapun dia mampu melakukannya dan kini kami empat beradik sudah dewasa dan akan mencuba sedaya-upaya untuk menggembirakan dan membalas budi mama,” kata gadis yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap bersama keluarga di Taman Melawati ini.

Menurut Eksekutif Jualan Pengguna di Maybank ini, Hari Ibu yang disambut di seluruh dunia pada 8 Mei lalu adalah hari untuk mengiktiraf semua ibu. Dia sendiri tidak pernah lupa akan hari tersebut dan menunggu untuk meraikan bersama ibunya.

Katanya, dia dan adik beradiknya yang lain akan menghabiskan masa bersama dan membawa ibu mereka keluar makan di tempat yang istimewa. Seperti tahun lalu, dia dan adik-beradiknya membawa ibu makan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dan tahun ini juga mereka membawa wanita itu makan di restoran pilihan.

Selain membawa makan, mereka berkongsi membelikan hadiah seperti jam tangan, beg tangan, barang kemas dan sebagainya. Bagi Aida Zulaikha, dia tahu ibunya sudah memiliki semua itu, tetapi apa yang penting ingatan anak-anak terhadap wanita itu.

Tambahnya, kadang-kadang terasa juga kesedihan apabila dia sekeluarga berkumpul menyambut Hari Ibu tanpa bapa di sisi. Sambutan tersebut pastinya akan lebih meriah jika bapa masih ada.

Bekerja sambil belajar

 

Walaupun sibuk bekerja namun Aida Zulaikha berazam untuk meningkatkan taraf hidupnya dengan menyambung pelajaran. Memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Segi, Kuala Lumpur, dia kini menyambung pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Kini di semester tiga, kata Aida Zulaikha, impiannya ialah untuk menggenggam segulung ijazah demi masa depan dan kepuasan diri. Walaupun awalnya agak susah untuk menyesuaikan diri dan masa di antara kerjaya dan pelajaran namun sekarang sudah terbiasa.

Menurutnya, mula-mula dahulu dia agak tertekan, tetapi lama-kelamaan sudah dapat menyesuaikan diri dan memberikan tumpuan kepada kerjaya dan pelajaran.

Ujarnya, tidak dinafikan memang agak penat kerana bekerja pada hari Isnin hingga Jumaat dan hujung minggu pula ke kuliah tetapi demi sasarannya untuk memiliki ijazah dia tidak akan berhenti di pertengahan jalan.

Ibu aktif berniaga

Cerita Aida Zulaikha, selepas bapanya meninggal dunia pada 1998 kerana penyakit buah pinggang, ibunya bersusah payah mengaktifkan semula perniagaan yang telah lama ditubuhkan. Keadaan agak susah ketika itu tetapi berkat rezeki , ibunya berjaya bertatih semula.

Perniagaan keluarga, iaitu perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan untuk hotel, bangunan, kondominium, hospital dan sebagainya ini tidak begitu aktif semasa hayat bapanya masih ada.

Bagaimanapun selepas bapanya meninggal dunia, ibunya yang memegang jawatan sebagai pengarah mengumpul semula pelanggan lama, mencari pasaran serta mempromosi syarikat. Kini perniagaan ini diuruskan pula oleh dua orang abang dan kakak iparnya.

“Bila ada peluang, saya turut membantu mempromosikan syarikat mama. Buat masa sekarang saya mahu berdikari dahulu dengan bekerja di luar. Biarlah abang-abang dan kakak ipar yang menguruskannya. Saya mahu bertapak dengan membina kerjaya sendiri. Lagi pun jika saya bekerja dengan pihak lain saya akan lebih berdisiplin.

“Saya mahu mama berbangga dengan kerjaya saya. Mama adalah seorang ibu dan ayah bagi saya.

“Mama seorang yang kuat bekerja. Walaupun perniagaannya telah diuruskan oleh anak-anak namun dia tetap akan ke pejabat kerana dia bukan jenis orang yang suka duduk rumah.

“Jika ada rezeki lebih, saya teringin sangat hendak menghantar mama menunaikan haji. Saya berharap impian saya ini akan dimakbulkan Tuhan,” kata Aida Zulaikha.

Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

​Solekan MIMIE ROMYZA
(018-3974703)