“Saya rasa bukan seorang ibu sahaja menghadapi masalah ini, tentu ramai di luar sana berhadapan perkara sama. Cuma mereka tidak mahu lahirkan dengan kata-kata.’’ Itu cerita cik Nurmaheran kepada penulis.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan nak komplen perangai kakak dan abang saya tetapi cuma melahirkan pandangan, supaya masalah ini boleh dikurangkan. Kasihan ibu.Sudahlah penat menjaga dan membesarkan kita masa kecil dulu, dah tua dapat pulak kerja baharu menguruskan cucu dan menyediakan makan minum anak-anak.

“Saya ada empat orang adik-beradik. Seorang lelaki dan tiga perempuan. Tiga dah kahwin, tinggal saya perempuan bongsu yang belum kahwin. Kami tinggal di pinggir Kuala Lumpur. Dulu sebelum kakak-kakak saya kahwin emak hadapi kerenah membesarkan mereka hinggalah mereka bekerja. Dah bekerja lain pulak ceritanya, mungkin kerana emak terlalu baik dan lembut dalam mendidik mereka.

“Rumah kami ada tiga bilik. Masa kecil kami semua berkongsi bilik, kecuali Erry tidur dan lepak depan tv. Tetapi, apabila telah bekerja, masing-masing hendak bilik sendiri. Akhirnya dua orang kakak saya keluar menyewa bilik dengan kawan. Pada pandangan saya daripada berkongsi bilik dengan kawan lebih baik berkongsi dengan adik-beradik sendiri, tetapi mereka ada pandangan sendiri.

“Walaupun emak tak suka, tetapi mak tak ada suara nak bantah, emak cuma nasihat jangan kerana hendak hidup bebas, boleh balik malam atau bawa lelaki masuk rumah, maka mereka menyewa rumah. Tetapi kakak beri alasan mereka malu kalau kena tangkap basah. Jadi mereka kata emak tak perlu bimbang. Mereka akan jaga maruah keluarga.

“Sementara anak lelaki emak, Erry tak keluar rumah, katanya dia tak mampu nak bayar sewa, kalau duduk rumah emak semuanya free. Inilah antara salah satu sebab kakak-kakak tak senang hati nak duduk rumah emak.

“Kata kakak kalau dah bekerja pandai-pandailah hulur duit pada emak. Ini tidak semua benda emak kena layan dan buat macam dia masih kecil lagi. Siapkan makan, sarapan, cucikan pakaian, siapkan tempat tidur. Tengok pun memang menyakitkan hati. Kalau macam ini tentulah dia suka duduk rumah emak sebab makan minum free.

“Masa berlalu begitu pantas, setelah dua orang kakak berkahwin, mereka hadapi masalah tak ada orang nak jaga anak. Emak pula kerana kasihan dan sayangkan cucu sanggup jaga anak-anak kakak. Kata emak dia tak sanggup tengok budak kecil kena aniaya dengan pembantu, mati tersedak susu, di pukul dan sebagainya. Maka emak sanggup jaga anak kakak.

“Oleh kerana emak sanggup, tentulah kakak kedua pun hantar anaknya ke rumah emak dengan alasan yang sama.

“Dalam pada itu anak lelaki kesayangan emak Erry pulak nak kahwin. Ini kes berat, emak suruh dia cari rumah. Dia minta tangguh kerana duit banyak keluar semasa kahwin, buat hantaran dan beli barangan hantaran. Akhirnya Erry bertapa duduk rumah emak bersama isterinya. Erry takkan nak keluar menyewa kena sebab takut tak cukup duit.

“Oh satu perkara lupa nak beritahu, selain menjaga cucu, emak juga kena siapkan makan malam untuk anak menantu yang balik kerja. Jadi sebelum balik ke rumah masing-masing makan dulu. Ada kalanya anak-anaknya mahu ikut balik. Tetapi biasanya mereka dah tidur, jadi terpaksalah emak jaga. Akhirnya emaklah yang jaga siang malam.

“Kecuali hari Sabtu dan Ahad mereka ikut emaknya balik rumah. Jadi dapatlah emak berehat. Bayangkan nak uruskan empat orang cucu yang masih kecil bukan satu kerja mudah.

“Berbalik kepada kisah Erry bila emak minta bantuan keluarkan sedikit duit untuk beli beras dan sebagainya, Erry kata tak cukup duit nak bayar hutang. Sedangkan isterinya pun bekerja juga.

“Kalau emak sediakan roti untuk sarapan, isteri Erry buat muka masam. Maka Erry akan bersuara “Takkan hari-hari roti je? Dulu boleh saja mak buat nasi goreng ke, mi goreng!!” Emak beri alasan tak sempat, sebab sibuk dengan cucu. Erry mula bersuara, “Bebudak tu kan ada emaknya, kenapa emaknya tak mahu jaga anak sendiri?’’

“Kadang-kadang bila sakit telinga, saya bersuara juga. Kalau dah bosan makan roti, makanlah kat kantin. Erry mula tarik muka. Memang saya tak pedulikan. Dulu tak ada isteri, sekarang dah ada suruhlah isteri masak kalau bosan sarapan roti atau biskut.

“Masalah lebih teruk bila makan malam, sedangkan emak sudah sediakan makanan secukupnya, tetapi kalau Erry makan awal, makanan memang tak cukup untuk kakak dan suaminya. Begitu juga halnya kalau Erry balik lewat. Kerana masing masing fikir Erry makan kat luar

“Bila Erry balik mulalah bersungut lauk dah habis. Kerana dah lewat malam, emak suruh isteri Erry buat sambal telur atau goreng ayam. Tapi dia duduk dalam bilik. Erry bersungut kelaparan. Akhirnya emak juga terpaksa masakkan sambal telur untuk Erry dan isterinya makan. Macam ini punya isteri pun ada!!

“Kesian emak sudahlah letih siang hari jaga cucu, malam pulak terpaksa layan kerenah anak menantu. Saya sentiasa berdoa supaya Erry cepat pindah, emak bukan tak cakap, tetapi Erry bagi banyak alasan tak cukup duit kerana nak bayar hutang.

“Apa yang saya bimbang kalau isterinya mengandung nanti dan kemudian melahirkan, semua beban akan terpikul di bahu emak. Dengan umur emak hampir 60 tahun mana nak terdaya lagi.

“Saya juga pernah nasihatkan emak biar mereka urus anak-anak sendiri, tapi emak takut cucunya kena aniaya. Jadi emak sanggup jaga sendiri. Apa saya boleh buat kalau emak lebih sayangkan cucu-cucunya.

“Namun kakak minta emak carikan pembantu untuk tolong emak jaga anak-anak mereka siang hari. Selain bantu jaga anak, boleh bersihkan rumah, dan sebagainya. Okey jugalah, bolehlah emak relaks sikit.

“Dah dapat pembantu mereka demand nak makan malam pulak, sebab tak sempat nak masak bila balik rumah nanti. Macam macam, tapi mereka sanggup keluar duit untuk makan malam, masalahnya mereka cemburukan Erry dan isterinya yang tak mahu keluar belanja.

“Lebih menyakitkan hati, isterinya tak mahu ke dapur, suka duduk dalam bilik, tapi bila masa makan tau pulak nak keluar. Dia cuma keluar seminggu sekali pergi kedai untuk keringkan pakaian. Lepas itu duduk dalam bilik lagi.

“Biasanya hari cuti mereka tak sarapan juga tak makan tengah hari. Mereka makan di luar. Tapi akan makan malam di rumah. Sebab semua makanan sudah tersedia. Taktik ini memang menyakitkan hati kami adik-beradik kecuali emak .

“Pernah satu kali dulu kakak bawak emak pergi bercuti ke Melaka bukan jauh sangat, tetapi empat harilah emak tak ada di rumah. Saya tengok Erry dan isterinya gelisah. Sebab kena makan di luar. Saya pulak masak untuk diri sendiri sahaja. Tak masak lebih. Saya masak sambal telur kesukaan Erry, bila Erry keluar nak makan saya kata sambal dah habis, nasi pun habis, kebetulan nasi pun habis. Mengamuk betul Erry sebab dah lapar .

“Saya mahu lihat isterinya ke dapur, tapi tidak. Akhirnya mereka makan di luar. Pada saya ini sahaja ubat untuk mengajar orang yang kedekut dan pemalas.

“Kesimpulan saya suka ingatkan para ibu semua janganlah terlalu manjakan anak-anak. Biar mereka berdikari, biar mereka tahu susahnya kehidupan. Sayang ada hadnya, sebab akhirnya yang susah adalah diri sendiri, terutama ibu-ibu yang sudah tua yang masih jaga cucu dan anak-anak kerana sayang. Itu cerita cik Nurmaheran tentang ibunya yang terlalu sayangkan anak-anak hingga sanggup berkorban menjaga cucu-cucu dan anak yang tak tahu berdikari.