Ini yang berjaya dicapai syarikat AdsBrain Sdn. Bhd., diasaskan Wan Mohd. Musyris Wan Harujan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ini berkata, AdsBrain adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang menerima sijil `premier’ iaitu sijil tahap tertinggi daripada Google untuk bergelar Google Premier Partner, yang majoritinya dikuasai kaum bukan Melayu.

Menurut Wan Mohd. Musyris, untuk melayakkan sesebuah syarikat menerima sijil itu maka perlu ada nilai sasaran yang mesti dicapai seperti jumlah iklan yang diperoleh setiap bulan.

Tambah bapa kepada tiga anak ini, fungsi AdsBrain adalah menyediakan perkhidmatan membantu pelanggan Google untuk memuatnaik iklan dalam enjin carian Google sama ada iklan percuma atau berbayar sekali gus memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk masing-masing dalam pasaran yang lebih besar.

Namun katanya, banyak usahawan bumiputera tidak tahu tentang peluang itu bahkan kebanyakan mereka tidak mahu mengeluarkan belanja untuk pengiklanan kerana bimbang rugi atau membazir.

“Sedangkan Google memperoleh lebih tiga bilion carian setiap hari dan mempunyai pembaca yang besar justeru inilah peluang untuk mereka untuk meningkatkan pendapatan,’’ ujarnya.

 

Menyingkap tentang penglibatan dirinya dalam bidang ini yang sama sekali terkeluar daripada bidang pengajiannya di UTM, Wan Mohd. Musyris berkata, semuanya bermula daripada minatnya terhadap laman sesawang sejak berada di tingkatan empat ketika menuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abd. Malek, Kuala Terengganu.

“Daripada minat itu saya mula membina laman sesawang peribadi dan semasa memasuki UTM pada 2002 saya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual makanan ringan,’’ katanya.

Tidak terhenti di situ sahaja, pada 2005, Wan Mohd. Musyris menjadi ejen menjual perisian seperti kamus dan produk-produk teknologi maklumat (IT) dan turut melakukan kerja sambilan menjual komputer.

Anak kelahiran Besut, Terengganu ini berkata, dia mula melayari laman sesawang perniagaan pada tahun akhir pengajian iaitu pada 2007 dan berjinak-jinak membuat pelayan, hosting server dan nama domain.

Usaha tanpa lelah dan ketekunannya terhadap bidang perniagaan itu membolehkan dia membuka syarikat sendiri, Wanmus Technologies Enterprise, menjual pelayan dan barangan teknologi maklumat (IT).

Ketika itu dia belum tamat pengajian iaitu pada awal 2007 tetapi telah berjaya menjana pendapatan RM20,000 sehingga RM30,000 sebulan hasil perniagaan berkenaan.

Menyedari dia tiada pengalaman dalam bidang IT, maka Wan Mohd. Musyris mula berjinak-jinak dengan Google untuk menimba ilmu dan mengetahui landasan yang disediakan oleh syarikat teknologi gergasi itu dalam bidang perniagaan.

Kali ini dia mengorak langkah lebih jauh dengan menyertai forum-forum perniagaan luar negara secara atas talian untuk mempelajari cara pemasaran menggunakan Google.

“Saya cuba mencari mencari platform Google yang sama di Malaysia tetapi tiada,’’ katanya.

Pada 2015 dia nekad ke Amerika Syarikat (AS) menggunakan wang sendiri untuk mengambil kursus secara langsung daripada Google dengan menghadiri Search Marketing Expo & Conference di New York dan mengikuti bengkel khas orang kuat Google Marketing, Brad Geddes.

Di sana dia menerima sijil Certified Google Partner namun masih terus menimba ilmu.

“Semuanya saya belajar daripada Google. Bagaimana hendak susun dan mengendalikan isu teknologi, mengurus syarikat dan menjadi usahawan. Memang saya akui saya ini anak didik Google,’’ katanya sambil ketawa.

Sekembalinya dari AS, dia bertambah yakin untuk mengadakan kursus pertama kepada orang ramai. Pada 2016, seminar pertama Google Advertising dalam bahasa Melayu di Malaysia telah diadakan di Dewan Menara Tabung Haji Jalan Tun Razak dan berjaya menarik 500 peserta.

“Mula-mula sukar mendapat peserta kerana Google Advertising belum terbuka namun saya terus buat coaching bermula 2012 sehingga 2015 melalui kumpulan kecil iaitu dalam dua peserta sahaja,’’ katanya.

Kini Wan Mohd. Musyris boleh berbangga memiliki pejabat sendiri yang lebih luas dan dewan seminar yang boleh memuatkan 120 orang di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur.

Menurutnya. antara perkhidmatan AdsBrain ialah membantu usahawan menyediakan kandungan perkhidmatan untuk meningkatkan jualan menggunakan landasan Google Ads melalui tunjuk ajar secara berperingkat-peringkat selain menyediakan perkhidmatan rundingan perniagaan.

AdsBrain menyediakan pakej kursus secara amali iaitu langkah demi langkah sehingga peserta mampu menyediakan iklan sendiri dan membuat jualan.

“Mereka sebenarnya boleh buat sendiri iklan tetapi ramai yang melakukan banyak kesilapan dengan bajet iklan yang tidak berbaloi namun jika mereka mengikuti kursus ini, selain menjimatkan kos mereka juga tahu siapa pelanggan sasar,’’ katanya.

AdsBrain turut menyediakan kursus Total Google Marketing Masterclass (TGM) kelas insentif pemasaran Google yang dipantau sendiri oleh syarikat teknologi itu. Malah Wan Mohd. Musyris telah menghasilkan senaskhah buku khusus tentang pemasaran Google bertajuk 5 Minit Google Marketing yang dijual pada harga RM39.90.

Semua aktiviti AdsBrain boleh diikuti melalui Facebook sifu Google Adwords atau atau laman sesawang, www.sifuadwords.my.

Semuanya saya belajar daripada Google. Bagaimana hendak susun dan mengendalikan isu teknologi, mengurus syarikat dan menjadi usahawan. Memang saya akui saya ini anak didik Google.