Demikian tegas Koordinator Projek Rumah Solehah, Fathiiah Hamzah, 36, di rumah tersebut di Kg. Tasek Permai, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Sambungnya lagi, jika setakat terpegang air liur mereka, tidak akan berjangkit.

“Mungkin kalau bergelen air liur mereka masuk dalam badan kita baru kita boleh dijangkiti.

“Seperti kebanyakan orang lain, dahulu saya juga tidak tahu apa-apa mengenai HIV.

“Saya banyak belajar daripada salah seorang exco Rumah Solehah, iaitu pakar pediatrik di HKL, Dr. Kamarul Azhar Razali mengenai HIV. Daripada dia saya baru tahu bahawa HIV susah hendak dijangkiti.

“Jika pesakit HIV terluka dan darahnya terdedah ke udara, virus akan mati,” katanya berkongsi informasi menarik yang diperoleh mengenai HIV.

Biasanya apabila mengetahui sahaja seseorang itu menghidap HIV, serta merta orang akan berasa takut untuk menghampiri, dijangkiti dan merana sakit hingga ke akhir hayat.

Persepsi masyarakat 
mengenai penyakit yang diperoleh daripada berkongsi jarum suntikan dadah dan hubungan seks dengan berbilang pasangan, menyebabkan masyarakat memandang serong kepada penghidapnya.

Namun, apakah salah anak-anak yang mendapat penyakit tersebut daripada ibu bapa mereka? Patutkah mereka dipersalah dan nasib mereka dibiarkan dan ditanggung sendiri?

Inilah yang telah membuka hati Fathiiah untuk membantu golongan ini supaya mereka tidak tersisih daripada masyarakat, memberi sokongan moral dan kerohanian, selain memberi perhatian terhadap perkembangan serta pendidikan mereka, mengurus rawatan perubatan dan menyediakan program kemahiran kerjaya.

Berasal dari Alor Setar, Kedah, anak kedua daripada empat beradik ini terlibat secara tidak sengaja dengan Rumah Solehah 2008 apabila salah seorang daripada seniornya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengajaknya menganjurkan parti hari jadi kanak-kanak di rumah tersebut.

“Saya perasan kebanyakan kanak-kanak ini tidak tahu membaca. Saya dan kawan-kawan berpendapat kami perlu melakukan sesuatu, iaitu membuat kelas tuisyen.

“Masa itu saya masih pada tahun akhir UIAM. Awalnya ada beberapa orang setuju untuk mengajar tetapi kerana masing-masing sibuk dengan pelajaran akhirnya tinggal saya seorang.

“Ada lapan orang 
kanak-kanak di rumah ini berumur 10 tahun hingga 16 tahun. Semua perempuan, 
enam positif HIV dan dua lagi negatif.

“Mereka dirujuk oleh hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang perseorangan. Kesemua mereka adalah Islam kerana yang bukan Islam akan dirujuk ke rumah lain.

“Kami sukarelawan di sini diberi tugas besar menjaga perubatan mereka. Mereka akan dibawa ke hospital tiga bulan sekali atau jika perlu sebulan sekali.

“Rumah Solehah juga membantu dari segi pendidikan, kebajikan dan kesihatan,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kuliah of Human Science, Bachelor in English Language and Literature, UIAM.