Karnival selama satu hari itu antara penganjuran acara terbesar 1M4U pada tahun ini bermatlamat mengumpulkan belia seluruh negara dalam satu acara berprestij.

Hari 1M4U boleh dikatakan berjaya kerana penganjurannya diisi dengan pelbagai aktiviti menghiburkan telah menarik bukan sahaja pengunjung, malah sukarelawan yang cukup ramai.

Antara acara utama adalah pelancaran kompleks 1M4U Sentral yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib dalam kenyataan menyuarakan rasa bangga dan memuji komitmen 1M4U dalam melaksanakan acara bermanfaat buat belia.

“Tahniah kepada 1M4U atas usaha untuk melibatkan belia melalui aktiviti sukarelawan. Inisiatif yang dianjurkan telah melahirkan rakyat Malaysia prihatin dan penyayang,” katanya.

Kompleks 1M4U sentral dengan keluasan 5.58 ekar menjadi pusat operasi organisasi tersebut yang mana menempatkan ibu pejabatnya serta 1M4U fm. Kompleks dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu akan turut dijadikan hab integrasi masyarakat.

Selain pelancaran kompleks tersebut, turut dianjurkan acara akhir Reach Out Convention and Celebration 2016 yang mana sebelum ini dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka.

Pada acara akhir itu, beberapa penceramah antarabangsa seperti David Edward Garcia, Josh Sundquist dan Shane Feldman hadir berkongsi pengalaman dan ceramah motivasi bersama pengunjung yang hadir.

Lebih menarik, acara itu dimeriahkan lagi dengan persembahan beberapa artis tempatan dan antarabangsa seperti Joe Flizzow, SonaOne, Afgan, Diandra dan Andie Case.

Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Rudy Malik dalam kenyataan berkata, penganjuran Hari 1M4U Day adalah untuk meraikan semangat sukarelawan dan keremajaan dalam kalangan belia tempatan.

“Kami mahukan penganjuran ini berlangsung meriah. Justeru kami pilih karnival dengan aktiviti yang relevan dengan konsep sukarelawan. Ia akan menjadi acara tahunan dengan lebih banyak aktiviti menarik dianjurkan pada masa akan datang

“Pada penganjuran akan datang, kami akan susun atur pelbagai aktiviti sesuai untuk para belia. Pada masa sama, kami akan turut memperbanyakkan penglibatan 1M4U fm dalam acara sama,” ujarnya.