Fizikal kuda yang mempunyai rangka yang tinggi, badan sasa serta otot yang kuat menyebabkan sering dianggap sebagai haiwan yang sukar diurus.

Pun begitu, tidak semua gerun atau takut apabila menguruskan haiwan berkenaan, sama seperti Dr. Noraniza Mohd. Adzahan, 39, yang telah berkecimpung dalam dunia kedoktoran haiwan atau doktor veterinar sejak 16 tahun lalu khusus dalam perubatan ekuin (kuda).

Wanita yang mempunyai pelbagai kelulusan termasuk Doktor Falsafah bidang Fisiologi Latihan Ekuin Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DPV) dan Ijazah Sarjana Perubatan Veterinar (MVM) dalam Perubatan Ekuin itu, sangat meminati bidang tersebut sehingga sanggup berulang-alik seminggu sekali ke Terengganu untuk memeriksa kuda milik Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berpegang pada prinsip hidupnya, setiap makhluk perlu dilayan dengan baik, beliau berkata, haiwan termasuk kuda juga mempunyai hak untuk dikendalikan dengan santun kerana mempunyai rasa sakit dan emosi sendiri.

Bezanya cuma, haiwan tidak mempunyai akal tetapi mampu bersosial dengan manusia yang membolehkannya menjalin hubungan dan membentuk ikatan persahabatan, menyebabkan perasaan kasihan terbit dengan sendiri.

Menggemari kerjaya di luar pejabat, mendorong Dr. Noraniza memilih bidang veterinar khusus dalam ekuin kerana ‘jatuh hati’ pada kehebatan haiwan berkenaan, yang memiliki bentuk fizikal gagah dan maskulin.

Susuk tubuh yang kecil dan suara halus, ternyata bukan penghalang buat Dr. Noraniza untuk ‘beraksi’ dalam lapangan itu, malah bergelar doktor haiwan merupakan cita-citanya sejak di bangku sekolah dek minat yang mendalam terhadap dunia haiwan.

“Pada awal pembabitan dalam kerjaya ini, saya agak gementar untuk merawat kuda yang saya tidak pernah kenali.

Seperti manusia, kuda juga mempunyai perwatakan berbeza mengikut individu, tambahan pula saiz haiwan itu jauh lebih besar daripada saya.

“Pada ketika itu, ada keraguan untuk saya meneruskan kerjaya ini kerana kebanyakan guru saya dalam bidang ini bertubuh besar dan sesuai dengan fizikal kuda. Namun, alhamdulillah dengan pengetahuan dan pengalaman yang ditimba, kekurangan dari segi fizikal tidak menjadi halangan buat saya, malah menjadi cabaran bagi diri saya sebagai doktor,” katanya yang bergelar pegawai veterinar selama dua tahun di Hospital Veterinar Universiti UPM.

Menurut Dr. Noraniza, merawat kuda amat mencabar kerana tidak seperti doktor perubatan biasa yang berpeluang berkomunikasi dengan pesakit, doktor haiwan perlu mempunyai kemahiran dalam membaca tingkah laku haiwan.

Untuk itu seseorang doktor haiwan harus menjalankan siasatan dan penyelidikan untuk mengetahui apakah masalah yang dihadapi haiwan berkenaan.

Tugas sebagai doktor kuda tidak terhenti hanya menjaga kesihatan haiwan itu sahaja, malah mempunyai peranan penting dalam aspek keselamatan makanan, pengawalan penyakit berjangkit, produksi ternakan, farmaseutikal, penghasilan vaksin dan sebagainya.

Mengakui doktor haiwan perlu mempunyai hubungan dengan haiwan yang dirawat, ujar Dr. Noraniza, beliau mempunyai kemahiran membaca perwatakan kuda yang dilihat kali pertama dengan hanya menyentuh kuda berkenaan.

“Sebagai doktor kuda, saya bukan sahaja ingat nama tetapi saya juga kenal setiap perangainya sama ada kuda ini suka air atau tidak, jinak atau garang, suka dibelai atau bersendirian dan sebagainya.

“Oleh sebab itu, doktor haiwan perlu mempunyai kemahiran menyentuh, memandangkan melalui sentuhan membolehkan banyak perkara yang diketahui. Kuda adalah haiwan yang sensitif dan mudah memahami emosi tuannya.

“Pernah satu ketika saya merawat seekor kuda bernama Black Beauty dan saya ditendang sehingga jari patah. Saya tidak salahkan kuda itu kerana kejadian itu berlaku selepas saya membaling berus padanya. Hanya beberapa saat selepas itu kuda berkenaan bertindak agresif mungkin kerana mahu menunjukkan rasa tidak senang dengan tindakan saya.

“Selepas disiasat, rupanya kuda ini tidak pernah ditunggang oleh sesiapa dan ketika kecil haiwan itu sering dilibas sehingga menyebabkan kuda itu tidak selesa dengan manusia.

“Daripada kejadian itu, saya belajar sesuatu dengan kuda, iaitu haiwan juga perlu dihormati perasaannya,” jelasnya.

Cabaran dan pengalaman

Jelasnya yang pernah menjaga lebih 30 ekor kuda milik Sultan Terengganu yang terlibat dalam pertandingan kuda lasak, kerjayanya sebagai doktor kuda membolehkan beliau mengutip pelbagai pengalaman dalam bidang berkenaan termasuk berjumpa dengan doktor veterinar seluruh dunia pada penganjuran sukan itu.

Ujarnya, pengalaman merawat kuda dari seluruh dunia sangat menyeronokkan kerana dapat berjumpa dengan kelompok kuda yang hebat serta mempunyai kualiti terbaik di dunia, selain bertemu dengan pemilik haiwan itu.

“Bayangkan, saya menguruskan kuda sultan dan baginda sangat mahir tentang kuda, jadi saya perlu mengetahui batas saya sebagai seorang doktor dan rakyat ketika itu. Namun, itu pengalaman yang amat menyeronokkan dan sehingga kini saya masih dipertanggungjawabkan menjaga kuda baginda.

“Setiap minggu saya dan pasukan saya perlu ke Terengganu untuk memeriksa kuda milik baginda. Selain itu, saya juga akan ke seluruh negara untuk merawat kuda milik persendirian memandangkan tidak ramai doktor kuda di negara ini,” jelasnya.

Lazimnya, setiap ekor kuda perlu menjalani rutin pemeriksaan kesihatan biasa seperti pemeriksaan gigi, perut serta tapak kaki, selain mendapatkan suntikan vaksin mengikut jadual terancang.

Bagi kes yang berat pula, haiwan berkenaan memerlukan pemeriksaan yang dilakukan dengan lebih teliti seperti melakukan diagnosis dengan kaedah pengambilan sampel dan dihantar ke makmal untuk mendapatkan pengesahan.

Rawatan lain termasuk melakukan pengimejan diagnosis menggunakan mesin x-ray, ultasonografi dan endoskopi.

Paling mencabar, ujar Dr. Noraniza, apabila perlu berdepan dengan kes-kes kecemasan yang boleh menyebabkan kematian, seperti kuda mengalami kolik, strok haba dan kecederaan trauma ketika bertanding atau dalam perlumbaan.

“Merawat kuda tidak boleh dilakukan berseorangan kerana fizikal haiwan ini besar dan sebarang risiko berbahaya boleh berlaku.

“Namun, saya perlu melakukannya dan ada ketika saya merasakan tugas saya amat berat kerana perlu bertanggungjawab dan berusaha sedaya-upaya untuk menyelamatkan nyawa serta menjaga kebajikan kuda tersebut dengan sebaik mungkin.

“Saya tidak memegang amanah kerja sahaja tetapi saya memegang amanah pemilik kuda berkenaan yang sudah pasti mahukan kuda berkenaan sembuh dan dapat beraksi seperti sedia kala,” jelasnya yang merupakan Pegawai Akademik di Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang dan Eksotik di Fakulti Perubatan Veterinar UPM.

Kuda dan keluarga

Merawat dan menguruskan kuda untuk pertandingan dengan kuda persendirian mempunyai cabaran masing-masing, namun kedua-duanya mempunyai fokus yang sama dalam pengendalian, iaitu perlu menjaga dua klien.

“Dua klien yang saya maksudkan ialah kuda dan pemilik kuda berkenaan. Itu yang selalu meresahkan hati saya setiap kali merawat kuda. Saya tidak boleh terlalu menyayangi kuda yang dirawat kerana bimbang terlalu sedih jika kuda berkenaan mati, tetapi saya juga manusia biasa mempunyai rasa sedih apabila kehilangan sesuatu.

“Saya perlu menjaga perasaan pemilik kuda berkenaan yang sudah pasti lebih sedih daripada saya kerana mereka adalah tuan kepada haiwan berkenaan. Kejadian ini sering berlaku setiap kali saya perlu ‘mematikan’ kuda yang sakit dan tiada harapan untuk hidup,” jelas Dr. Noraniza.

Menganggap kuda seperti anak, beliau melayan menggunakan kaedah kelembutan, memujuk serta memberi kepercayaan kepada kuda agar haiwan berkenaan rasa selesa sepanjang hubungan itu terjalin.

Ibu kepada empat orang anak itu mengakui sukar untuk mengasingkan tugas sebagai doktor kuda apabila perlu mencampur adukkan perasaan dengan tanggungjawab.

Justeru, beliau enggan terlalu mendedahkan keluarganya dengan kerjaya itu.

Pun begitu, menariknya Dr. Noraniza memaklumkan jodoh bersama suami juga ditemui di lapangan kerjaya itu satu ketika dahulu apabila suaminya, Zulkefli Sudin, 42, pernah berada di dalam pasukan berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pada waktu itu, dia berkhidmat di dalam pasukan berkuda dan saya pula masih belajar dan menjalankan latihan di PDRM. Jadinya, disebabkan kuda juga saya berjumpa dengan suami, namun selepas kami berkahwin saya tidak selesa dia berada di lapangan yang sama kerana saya berasa kekok merawat kuda yang ditunggangi mereka yang rapat dengan saya,” jelasnya yang mengakui ada ketika perlu mengutamakan nyawa kuda berbanding masa bersama keluarga terutama ketika kes-kes kecemasan.- Gambar FARID JANUDIN