Mungkin ada yang terlepas pandang tentang keistimewaan Gunung Kerinci yang terletak di Jambi, bersempadan dengan wilayah Sumatera Barat. Berdiri megah di Pergunungan Bukit Barisan, gunung itu terletak kira-kira 130 kilometer (km) di selatan Padang.

Gunung yang tersergam indah itu dikelilingi hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat yang merupakan habitat semula jadi harimau serta badak Sumatera.

Selain itu, Gunung Kerinci adalah gunung berapi tertinggi di Sumatera dengan ketinggian 3,805 meter (m), dan kali terakhir meletus pada 2009.

Puncak tertinggi di Gunung Kerinci dikenali Puncak Indrapura. Dikenali juga sebagai Atap Sumatera, gunung itu menjadi fenomena dalam kalangan pendaki Indonesia kerana merupakan salah satu gunung dalam kelompok tujuh puncak tertinggi di Indonesia atau lebih dikenali Seven Summits Indonesia.

Seorang pendaki yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kerinci anjuran OHANA Adventure Sport baru-baru ini, Mohammad Arif Nizam Abdullah menyifatkan ekspedisi tersebut merupakan satu pengalaman yang begitu indah dan sangat berharga.

Katanya, pendaki dan pencinta gunung perlu menyenaraikan Gunung Kerinci dalam senarai gunung impian yang mesti ditakluki di Indonesia, selepas Gunung Rinjani dan Gunung Semeru.

“Cabaran paling getir mendaki Gunung Kerinci adalah ketika hendak sampai ke puncak. Aktiviti mendaki seakan menjadi begitu azab dan sengsara sekiranya tidak cukup stamina dan latihan.

“Menjadi lebih mencabar apabila pendaki perlu menongkah angin kuat, hujan dan asap sulfur gunung berapi yang menyebabkan tekak menjadi perit dan mata pedih,” katanya kepada S2.

Tambahnya, dengan trek gunung yang curam, menegak, berbatu serta berpasir, pendakian di Gunung Kerinci disifatkan satu pengalaman yang sangat mencabar dan mengajar dirinya untuk menjadi seorang pendaki lebih baik.

Jelasnya, tumpuan semasa pendakian harus diberikan 100 peratus kerana jika tersalah langkah dan lalai, ia akan menyebabkan pendaki menggelungsur ke bawah.

Menyorot kembali pengalaman yang cukup mencabar itu, katanya, ekspedisi bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang.

Dia bersama rakan pendakian memulakan perjalanan ke Jambi menaiki van menuju ke Kresik Tuo yang memakan masa lebih lapan jam perjalanan.

Di Kersik Tuo, mereka bermalam di Kerinci View Homestay, sebelum memulakan perjalanan dan pendakian yang mencabar keesokan harinya.

Jelasnya, dari Kersik Tuo, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Pintu Rimba yang mengambil masa 30 minit dengan menaiki van.

Untuk sampai ke puncak, katanya, pendakian dari Pintu Rimba perlu menempuh Pos 1 dengan ketinggian 1,885 m, Pos 2 (2,020 m), Pos 3 (2,225m), Shelter 1 (2,504m), Shelter 2 (3,100m) dan akhir sekali Shelter 3 (3,600m), sebelum berhenti rehat dan bermalam di Shelter 3.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berada di Shelter 3 kerana kawasan permukaannya tidak rata dan hanya terdapat pokok-pokok renek sahaja.

Setelah khemah dipasang, kumpulan pendaki berehat sambil menunggu makan malam dengan suhu ketika itu begitu sejuk sehingga menyebabkan badan menggeletar, tatkala angin kuat dan hujan turun renyai-renyai.

“Keesokannya, kami bangun awal pagi untuk sarapan dan bersiap untuk melakukan asakan terakhir ke puncak atau summit attack. Ketika ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami kerana bertemankan kegelapan dinihari dan cuaca yang sangat sejuk.

“Cuma yang ada hanyalah keazaman tinggi untuk menawan gunung berapi tertinggi di Indonesia, sekali gus menjadi motivasi terbaik kepada kami untuk terus kuat untuk meneruskan pendakian,” katanya.

Jelasnya, semasa menuju ke puncak, pendaki tidak bergerak di dalam kumpulan kerana perlu berpecah mengikut keupayaan masing-masing. Akhirnya sekitar pukul 7 pagi, kami berjaya menawan Gunung Kerinci di sebalik keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

“Tiada rezeki untuk melihat pemandangan Kota Jambi, Padang dan Bengkulu.

“Apatah lagi untuk menyaksikan keindahan Lautan Hindi. Di sebelah timur puncak pula, kelihatan Danau Bento iaitu paya berair jernih tertinggi di Sumatera dan di belakangnya terdapat Danau Gunung Tujuh.

“Namun secara keseluruhannya, pengalaman mendaki Gunung Kerinci ini bukan biasa-biasa tetapi satu pengalaman luar biasa bagi diri saya sebagai seorang pendaki,” katanya.

Bagi mereka yang berminat mendaki Gunung Kerinci, OHANA menawarkan pakej yang berbaloi iaitu RM799 termasuk tiket penerbangan pergi dan balik.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook: OHANA Adventure Sport atau hubungi talian 013-616 0548.