Program Terengganu Merdeka Hike yang julung kali diadakan itu membabitkan pendakian secara serentak di Bukit Keluang di Besut, Bukit Harimau Menangis (Kemaman), Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Temiang (Marang), Bukit Maras (Setiu), Bukit Jong (Kuala Nerus), Bukit Bauk (Dungun) manakala di Hulu Terengganu, Bukit Belimbing.

Penyelaras Program, Lt. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kesemua peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur itu turut membawa bersama Jalur Gemilang sepanjang aktiviti pendakian berlangsung.

Katanya, walaupun rata-rata mereka tidak mengenali di antara satu sama lain di samping berbeza latar agama dan bangsa, namun kerjasama yang ditunjukkan cukup memuaskan sekali gus melambangkan perpaduan dan identiti rakyat Malaysia.

"Berikutan sambutan positif yang diterima kita berhasrat untuk meneruskan program ini pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Walaupun program ini berkonsepkan santai dan riadah, tetapi ia mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta," katanya di sini.

Majlis perasmian Terengganu Merdeka Hike disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong

Menurut Che Adam, program berkenaan dianjurkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Tac Outdoor, Hiking Maras Community, BB Hikers, Kerabat, Geng Supik Hitam, Kaki Kabat, Ngukah Walk Fit, Bauk Hikers dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Temiang. - UTUSAN ONLINE