Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kelainan yang ditampilkan dalam program tradisi tahunan itu bakal memberi kelebihan kepada kawalan trafik dan keselamatan jalan raya di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus.

Katanya, dalam penganjuran kali ini lebih 5,000 orang merupakan peserta dari luar Terengganu manakala penyertaan luar negara pula membabitkan seramai 210 orang.

"Peserta luar negara terdiri daripada Kenya, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Papua New Guinea, Somalia, Yaman, Brunei, India, Bangladesh, Jordan, Afrika Selatan dan Nigeria.

"LAJSM menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan yang ada di Terengganu dengan menggunakan tema Vacay-Run iaitu mempromosi pelancongan sukan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini semalam.

LAJSM 2019 menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM165,500 yang membabitkan lima kategori utama iaitu 42 kilometer, 21 kilometer, 12 kilometer, 8 kilometer dan 5 kilometer atau lebih dikenali sebagai ‘Fun Run’.

Wan Sukairi memberitahu, kawalan trafik dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berkonsepkan ‘Contra Lane’ untuk memudahkan orang ramai memasuki pusat bandar.

Katanya, masa pelepasan bagi pelbagai kategori dikekalkan yang dijadual bermula pada pukul 12.01 tengah malam dan dijangka berakhir pada pukul 10 pagi. - UTUSAN ONLINE