Selain terkemuka sebagai pusat penyelidikan, FRIM yang terletak bersebelahan Hutan Simpanan Bukit Lagong di Kepong turut dikunjungi oleh orang ramai yang gemar melakukan riadah bersama keluarga atau lawatan oleh pihak sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Aktiviti seperti berjoging, mandi sungai dan berbasikal amat popular dalam kalangan penduduk sekitar memandangkan suasana yang redup dipenuhi pelbagai jenis pokok selain laluan yang selamat serta mesra kanak-kanak.

Namun, di sebalik melakukan aktiviti kegemaran, beberapa aspek keselamatan perlu dijaga dan dilaksanakan secara berhemat.

Tanpa disedari anggota Bike Rangers yang terdiri daripada sukarela dalam kalangan pekerja agensi tersebut sentiasa konsisten menjaga dan mengawal keselamatan pengunjung.

FRIM pada setiap hujung minggu menjadi tumpuan penggemar aktiviti riadah termasuk basikal lasak.

Laluan untuk aktiviti berbasikal biasa adalah di sekitar kawasan kampus FRIM melalui jalan yang berturap.

Aktiviti riadah dibenarkan dari seawal pukul 7 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

Perbagai masalah mula wujud dalam kampus FRIM seperti pengunjung memasuki beberapa kawasan penyelidikan yang dilarang untuk aktiviti riadah.

Difahamkan terdapat juga kesalahan orang awam yang merosakkan bahan penyelidikan. Mereka sewenang-wenangnya memetik pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan yang ditanam untuk penyelidikan, malah mereka yang gemar melakukan aktiviti berbasikal dan joging juga memasuki kawasan yang dilarang.

Ekoran itu, FRIM menubuhkan Unit Sukarela Bike Rangers pada 2014 dan diselia oleh pengarah pentadbiran.

Menurut Pembantu Penyelidikan di FRIM, Abdul Halim Talha yang juga salah seorang sukarelawan Bike Rangers, unit tersebut bertanggungjawab mengawasi dan mengawal aktiviti berbasikal bagi memastikan pengunjung sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak pengurusan FRIM.

“Selain itu, kami juga ditugaskan untuk membuat rondaan dan memantau pencerobohan di kawasan sempadan FRIM.

“Kami turut membantu orang awam yang ingin mendapatkan informasi berkaitan laluan dan rawatan awal sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Sebanyak 10 sukarelawan yang terdiri daripada ahli FRIM Mountain Bike Team (FRIM Mtb Team) akan membantu menjaga keselamatan pengunjung sepanjang hujung minggu pada setiap masa.

Katanya, Unit Sukarela Bike Rangers menjalankan rondaan menggunakan basikal untuk memudahkan tugas memasuki kawasan yang sukar dilalui oleh kenderaan lain.

“Unit ini bekerjasama dengan Unit Penguat Kuasa FRIM dalam menyalurkan laporan berkaitan dengan penemuan sebarang kesalahan atau pencerobohan oleh pengunjung,” jelasnya.

Suasana hutan ladang buatan manusia yang kaya dengan flora dan fauna berjaya menggamit penggemar basikal lasak untuk menghabiskan hujung minggu melakukan riadah.

Antara keseronokan berkayuh di FRIM kerana laluan yang hampir 100 peratus di bawah kanopi hutan pokok.

Lebih membanggakan apabila beberapa pengayuh basikal mengiktiraf laluan Mountain Bike di FRIM sebagai antara yang terbaik di Lembah Klang.

Bagi yang berminat untuk melakukan aktiviti berbasikal di FRIM terdapat sewaan basikal di bawah Koperasi FRIM Berhad yang terletak di Rumah Kelab FRIM berharga antara RM5 ke RM15 sejam mengikut jenis basikal.

Umumnya, ramai mengetahui bahawa sukan berbasikal merupakan pilihan yang baik untuk kesihatan ekoran bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan tetapi turut membantu menghalang penyakit jantung, strok dan diabetes.

Pada peringkat awal hanya melibatkan beberapa orang kakitangan FRIM yang meminati aktiviti beriadah itu.

Golongan kakitangan itu berusaha sejak awal untuk mendedahkan sukan basikal lasak sebagai satu cabang riadah selain berjoging dan rentas hutan sekali gus mempromosikan FRIM sebagai lokasi yang sesuai untuk sukan berbasikal kepada seluruh warga FRIM dan orang awam.

“Apabila bernaung secara sah di bawah Kelab FRIM, ahli-ahli FRIM Mtb Team mula menyertai pelbagai aktiviti seperti pertandingan, jambori dan fun ride,” katanya.