Kita dapat melihat betapa peserta cilik itu menunggang basikal tanpa pengayuh sambil masing-masing tangkas menggerakkan basikal menggunakan kedua-dua belah kaki agar dapat menyaingi peserta lain.

Basikal tolak yang direka tanpa pengayuh dan diperkenalkan untuk kanak-kanak belajar menunggang basikal kini bukan sahaja digunakan untuk hobi bermain basikal, malah bagi tujuan pertandingan.

Kanak-kanak yang bermain basikal itu pastinya sentiasa cerdas dan bertenaga apatah lagi bagi mereka yang sering menghadiri latihan dan menyertai pertandingan.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat ibu bapa yang ingin anak-anak mereka membesar secara sihat mental dan fizikal, menggalakkan anak-anak memilih hobi bermain basikal tolak.

GAYA HIDUP SIHAT

Hobi bermain basikal tolak semestinya baik untuk kesihatan selain kanak-kanak ini berpeluang bergaul di luar rumah. Justeru, ia dapat mengelakkan mereka daripada ketagihan gajet.

Johari Mohd. Kaus, 45, berkata, dia memilih permainan basikal tolak untuk anaknya, Muhammad Aryan Rafiqi, 6, memandangkan anaknya itu lebih cenderung kepada bermain gajet.

“Leka bermain gajet adalah satu perkembangan yang tidak sihat untuk anak-anak. Jadi, saya mencari aktiviti yang boleh membuatkan anak saya melupakan gajet. Permainan ‘push bike’ ini nampaknya berkesan untuk memupuk keyakinan diri dan keberaniannya,” katanya.

Sementara itu Muhammad Imran Ismail Shariman, 8, memberitahu, hobi bermain basikal tolak yang diperkenalkan oleh bapa saudaranya, Mohamad Rizal Mohamad Yusof, 35, amat bermakna buatnya.

Hobi itu melakar sejarah baginya kerana menjuarai piala dunia dalam pertandingan Push Bike Strider Cup 2018 yang diadakan di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu. Piala Strider 2018 dianjurkan syarikat pengeluar basikal tolak yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Strider.

Muhammad Imran yang ketika itu berusia tujuh tahun bersama keluarganya ke AS untuk menyertai pertandingan tersebut dan menjuarai kategori terbuka basikal 14 inci (35.56 sm) atau 14X.

Dia menewaskan 25 peserta dari 14 negara lain termasuk AS, Thailand, Costa Rica, Vietnam dan Jepun. Itu adalah kali keempat Muhammad Imran menyertai perlumbaan basikal tolak di peringkat antarabangsa termasuk di Tokyo dan Bangkok.

Kemenangan Imran turut diiktiraf The Malaysia Book of Records sebagai atlet pertama Malaysia menjuarai kejohanan tersebut.

Bapa Imran, Shariman Samad, 50, berkata, anaknya berlatih basikal pada hujung minggu bersama abangnya di sekeliling rumah di Keramat, Kuala Lumpur.

“Selain itu, dia berlatih dua kali seminggu dengan CAK Sports Academy untuk kecergasan fizikal bagi meningkatkan daya ketahanannya,” kata Shariman.

Antara kejayaan terbaharu Muhammad Imran adalah memenangi tempat pertama Strider Bikes Challenge Singapura pada 2 Mac 2019 dan tempat ketiga Strider Cup Bangkok, Thailand pada 31 Mac 2019.

UJI KEPANTASAN

Jurulatih Kelab Push Bike Central Region, Mohd. Hambali Hanzah berkata, terdapat beberapa kategori pertandingan dalam acara basikal tolak antaranya kategori dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lima tahun dan terbaharu kategori 12 inci (30.48 sm) dan 14X terbuka.

Semasa pertandingan, peserta perlu menempuh trek yang dibina dengan selekoh mencabar serta laluan berhalangan sekali gus menguji kepantasan dan kecekapan peserta mengendalikan basikal tersebut.

“Sebelum peserta memulakan latihan dan pertandingan, mereka mesti memanaskan badan bagi mengelakkan sebarang kecederaan,” katanya.

Kelab itu mempunyai keahlian seramai kira-kira 200 orang yang aktif bermain sukan basikal tolak.

Mohd. Fadzli Mohammad, 34, pula berkata, anaknya Nurkeisha Ammara, 3, berlatih dua atau tiga hari sebelum menyertai sesuatu pertandingan agar dapat membiasakan diri dengan suasana pertandingan.

“Walaupun anak saya selalu menyertai pertandingan, kami bukan mencari kemenangan, tetapi apa yang penting anak saya seronok dan kami dapat menghabiskan masa lapang bersama-sama,” katanya. - BERNAMA