Noor Adelynn Raisya Mohd. Nassir atau lebih mesra dengan panggilan Raisya tidak kekok melangkah penuh gaya memperagakan pakaian, tidak kira tradisional mahupun moden.

Si cilik berusia enam tahun ini mula mencuba bakat sebagai model kanak-kanak apabila menyertai pertandingan model cilik sempena Inspirasi Fesyen Kuala Lumpur 2016.

Sejak itu Raisya kerap menyertai pertandingan catwalk untuk model cilik dan pernah memenangi tempat pertama fesyen hijab di pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur serta tempat kedua Pertandingan Ibu dan Anak Raya Sedondon anjuran sebuah majalah.

Menurut ibunya, Noorfairuzehaniah Abdullah, bakat Raisya mula disedari ketika usianya empat tahun apabila dia gemar memakai pakaian cantik, pantang melihat gincu, suka menari dan menyanyi.

Apa yang mendorongnya mengetengahkan Raisya kerana sikap anak perempuannya itu yang terlalu pemalu sehingga sukar membuka mulut untuk berkomunikasi walaupun dengan rakan-rakan sekolahnya.

“Tujuan asalnya mahu mengubah sikap pendiam Raisya. Sebab itu saya bertanya dengan rakan yang kebetulan jurusolek jika ada kenalannya memerlukan khidmat model cilik.

“Rakan saya mencadangkan Raisya menyertai pertandingan catwalk model cilik. Tak sangka acara pertama yang disertainya memberi impak besar dalam hidup Raisya.

“Kini saya nampak perubahan ketara pada diri Raisya. Dia sudah mula berkawan berbanding dahulu dan guru-gurunya juga perasan perubahan tersebut,” katanya kepada Mega Rona.

Ketika sesi penggambaran dilakukan, Raisya dilihat masih malu-malu dan setiap soalan yang diajukan kepadanya, pasti dia menoleh ke arah ibu atau bapanya untuk membantunya menjawab.

Tetapi, sebaik sahaja berada di hadapan kamera, si cilik ini tidak kekok menampilkan pelbagai gaya. Apa sahaja arahan diberikan, dia mudah faham bagaikan seorang model profesional.

“Raisya memang selalu menjadi tumpuan ramai setiap kali menyertai sebarang pertandingan. Dia mempunyai gaya tersendiri terutama ketika berjalan di pentas peragaan.

“Dia lebih banyak belajar sendiri dengan melihat gaya model-model cilik antarabangsa dalam YouTube.

“Tetapi, biarpun dia suka beraksi di pentas, Raisya tidak akan menggayakan pakaian yang terdedah. Dia akan menolak jika pakaian yang diberikan itu nampak bahu. Sebab itu saya hanya memilih baju berlengan panjang atau dipakaikan inner di bahagian dalam,” katanya. Apabila ditanya sampai bila hendak membenarkan Raisya terlibat dalam dunia peragaan, sambil tersenyum Noorfairuzehaniah menjelaskan bahawa dia mahupun suami tidak akan menghalang minat anak perempuannya itu. Malah, mereka juga tidak memaksa Raisya untuk memilih bidang tersebut.

“Segalanya terpulang kepada Raisya. Jika itu yang disukai, maka teruskan sahaja. Jika tidak suka, bila-bila masa boleh berhenti. Tiada sebarang paksaan,”ujarnya.

Menurutnya, setakat ini Raisya tidak pernah mengabaikan sekolah semata-mata mahu aktif sebagai model cilik. Biarpun masih belajar di tadika, Noorfairuzehaniah dan suami tidak membenarkan anaknya ponteng sekolah hanya untuk melakukan kerja-kerja modeling.

“Kami hanya menerima jemputan atau tawaran pada hujung minggu. Raisya sebenarnya suka ke sekolah. Malah kami turut hantar dia ke kelas tambahan bagi mata pelajaran Matematik sebagai persediaan memasuki tahun satu pada tahun hadapan.

“Kami cuba mendidik dia agar pandai menyeimbangkan antara minat dan pelajaran. Biarpun dewasa nanti dia memilih bidang modelling, tidak bermakna dia boleh mengabaikan pelajaran,” kata Noorfairuzehaniah.