Jika mengikut BMW, X2 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) subkompak mewah yang diletakkan di dalam kelas baharu BMW iaitu - Sports Activity Coupes. Lupakan apa jua kelas dan kategorinya kerana X2 sememangnya cukup menawan.

Melihatnya sahaja sudah cukup memukau, apatah lagi kuasanya. BMW X2 untuk Malaysia merupakan varian X2 SDrive20i M Sports. Hanya satu varian sahaja untuk pasaran dalam negara.

Ia digerakkan dengan enjin 2 liter Twinpower Turbo empat silinder petrol dengan kuasa maksimum 192 PS @ 5,000-6,000 rpm dan kilas maksimum 280 Nm @ 1,350-4,600 rpm. Enjin itu disempurnakan dengan transmisi Steptronic Sport dwi-klac tujuh kelajuan.

Memandunya pun cukup seronok. Walaupun bunyi enjin agak kuat seperti enjin diesel, tetapi bunyi tersebut akan hilang bila memasuki kabin. Tahap NVH (Getaran, bunyi dan kekasaran) amat bagus.

Penulis mengujinya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak yang terkenal dengan selekoh dan berbukit. Oleh kerana ia SUV kompak premium, sudah tentulah tidak sabar membelasah jentera dari Jerman ini.

Sebagai sebuah SUV kompak, sudah tentu wujudnya kelemahan semasa mengambil selekoh. Jarak kelegaan antara badannya dengan jalan agak sedikit tinggi, tetapi sebenarnya telah direndahkan sebanyak 10 milimeter (mm) kerana menggunakan suspensi M Sport.

Performance Control

Ketika mengambil selekoh pada kelajuan 90 kilometer sejam (km/j) terasa sedikit beroleng seperti mahu membuang. Tetapi jangan bimbang kerana X2 ini dipasang dengan Kawalan Prestasi (Performance Control) yang mengawal enjin dan campur tangan sistem brek pada laluan berselekoh.

Ia membolehkan kenderaan mengehadkan kuasa enjin ketika membelok dengan campur tangan brek jika pemandu gagal untuk mengawalnya. Ini meya­kinkan penulis untuk lebih berani berhadapan dengan selekoh.

Dengan pedal shift pada stereng menjadikan pemanduan lebih mengujakan. Tanpa melepaskan tangan pada stereng, penulis boleh menukar gear dengan menarik pedal shift. Penulis sebenarnya jarang menggunakan pedal shift kerana terdapat jurang masa untuk proses tukaran gear dilaksanakan.

Penggunaan tayar 225/45 dengan rim 19 inci sedikit sebanyak telah membantu jentera untuk kekal berada di laluan tanpa rasa tayar belakang mahu membuang. Tayar yang digunakan jenis Run Flat iaitu boleh terus bergerak jika tayar bocor. Dan harganya boleh mencecah lebih RM1,000 sebiji.

Ketika pemanduan, penulis mempunyai tiga mod pilihan sama ada Comfort, Eco Pro dan Sport. Butang mod pemanduan itu terletak di sini tombol transmisi. Mod Eco Pro memboleh­kan jentera mengawal penggunaan minyak dengan cekap. Terdapat data pada skrin meter yang menunjukkan penambahan jarak kilometer jika mod Eco Pro digunakan.

Mod Sport

Dengan Mod Sport mewujudkan karektor `laparkan kuasa’ pada BMW X2. Apabila mod Sport ditekan, ada ledakan kuasa pada enjin 2 liter ini. Jentera ini mampu memecut 0 hingga 100 km/j pada 7.7 saat dan kelajuan maksimum ialah 227 km/j. Penulis sempat memecut sehingga 210 km/j sahaja.

Dari segi pemanduan, penulis boleh sifatkan ia sebuah SUV kompak yang menyenangkan dan dipenuhi dengan ciri-ciri keselesaan yang premium.

Bercakap mengenai reka bentuknya pula, jeriji buah pinggang (kidney) memang sudah menjadi paten utamanya untuk kesemua model BMW. Untuk X2 ini jeriji buah pinggang ada sedikit kelainan. Ia berbentuk trapezoid yang mempunyai sepasang sisi sejajar yang tidak sama panjang. Ia lebar di bawah dan menirus ke atas.

Lampu utamanya juga meng­alami transformasi radikal de­ngan sedikit tajam dan sporty. Lampu nyalaan siang (DRL) se­perti bingkai cermin mata. Aras suluhan lampu utama boleh dilaraskan secara automatik.

Bahagian belakang juga menampilkan lampu brek utama yang sporty. Pada bampar pula diletakkan dua ekzos yang agak besar bagi menampilkan sifatnya yang garang.

Comfort Access System

Secara keseluruhan, reka bentuk BMW X2 memberikannya ekspresi yang dinamik. Profil jentera itu diserlahkan oleh bumbung coupe serta grafik tingkap yang nipis.

BMW X2 menawarkan Comfort Access System yang membolehkan pintu but dibuka secara automatik dan ruang berkapasiti 470 liter. Oleh kerana jentera ini tidak didatangkan dengan tayar simpanan maka ada ruang tambahan. Jika kerusi penumpang belakang direbahkan, Ruang but boleh ditingkatkan menjadi 1,355 liter.

Ruang dalam kenderaan BMW X2 dilengkapi pencahayaan ambien LED bersama pilihan warna seperti oren, tembaga, biru, jingga dan putih. Jalur warna ini terdapat pada papan pemuka dan sisi pintu hadapan dan belakang.