Tidak kurang juga yang memandang negatif dengan menganggap mereka mahu tunjuk kehebatan memiliki motosikal berkuasa besar atau untuk tunjuk skil berani mati dalam mengendalikan jentera dua tayar di atas jalan raya.

Namun ia tidak sama sekali bagi UKMBikers yang ahlinya hanya terbuka kepada kakitangan dan juga pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kumpulan bermotosikal yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu itu telah menjadikannya sebagai antara kursus-kursus kokurikulum (Ko-k) atau Pendidikan Citra (Citra) yang ada dalam sistem pengajian rasmi di UKM.

Setiausaha UKMBikers, Prof. Madya Dr. Adi Irfan Che Ani berkata, mereka mahu mewujudkan konvoi bermotosikal yang ada manfaat.

Kata beliau, ia bukan hanya selaras dengan peranan institut pengajian tinggi (IPT), tetapi lebih penting lagi kepada diri penunggang motosikal dan juga masyarakat.

“Dengan kata lain, ia adalah kursus Ko-k berkredit dengan nama Seni Konvoi Bermotosikal yang terletak di bawah Citra 6 iaitu Kekeluargaan, Kesihatan dan Gaya Hidup.

“Kursus tersebut terbuka kepada pelajar UKM tanpa mengira jenis dan juga tahap kelajuan motosikal yang mereka miliki,” katanya ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Citra itu, dalam kursus tersebut, pelajar tidak hanya diajar kemahiran mengendali dan menunggang motosikal dengan selamat, tetapi juga mendidik mereka aspek bermasyarakat dan bagaimana untuk menyumbang kepada komuniti.

Katanya, semua aspek tersebut tidak hanya diajar dalam kuliah atau secara dalam talian, tetapi juga melalui penganjuran konvoi bermotosikal ke kawasan penempatan masyarakat.

Ini kerana, tambahnya, setiap aktiviti sama ada berbentuk kerja kursus atau program lapangan di luar kampus akan memberi markah kepada pelajar.

“Bila dijadikan kursus berkredit, maka penganjuran konvoi dibuat perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh universiti dan juga polis serta pengendali lebuh raya.

“Semuanya kena ada hitam putih, tidak boleh buat secara sesuka hati kerana ia memberi markah kepada pelajar yang terlibat dalam kursus tersebut,” kata Dr. Adi Irfan.

Tidak mati

APA yang lebih penting bagi Prof. Madya Dr. Adi Irfan Che Ani adalah usaha sedemikian adalah bertujuan untuk mengubah persepsi negatif masyarakat kepada kumpulan motosikal berkuasa tinggi itu.

Beliau percaya sebarang aktiviti dan program yang diaturkan dalam kursus Seni Konvoi Bermotosikal itu untuk mendidik penunggang dari segi etika dan kemahiran bukan hanya ketika menunggang tetapi juga semasa bersama masyarakat.

Ini kerana, tambahnya, bila seseorang itu menunggang motosikal sama ada berkuasa besar atau tidak, ia melibatkan pelbagai disiplin yang tidak hanya bermanfaat untuk diri sendiri tetapi orang lain di sekitarnya.

“Kursus itu bukan hanya berkisar tentang tunganggan motosikal sahaja tetapi mendidik pelajar tentang etika berkonvoi, berkongsi jalan raya, memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat setempat dan sebagainya.

“Kami serapkan semua itu kepada pelajar yang sehingga kini kursus Ko-k tersebut mempunyai 350 orang dari tahun satu hingga tahun empat,” katanya.

Pandangan sinis

BAGAIMANAPUN Prof. Madya Dr. Adi Irfan Che Ani itu tidak menafikan di peringkat awal memang wujud tanggapan sinis sambil ada mempersoalkan apa manfaat yang pelajar boleh peroleh dari usaha tersebut.

Apa tidaknya, kata beliau, idea tersebut timbul kerana minat mendalam Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman yang ketika itu Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM terhadap bidang pemotoran.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pandangan sinis itu timbul kerana pada masa sama kumpulan UKMBikers mula mendapat perhatian mendalam kalangan warga UKM yang tidak hanya di kampus induk di Bangi tetapi di Kuala Lumpur.

Lebih-lebih lagi, pada waktu itu juga, dikatakan UKM bakal menjadi institut pengajian tinggi (IPT) awam pertama menjadikan aktiviti pemotoran sebagai kursus Ko-k berkredit.

“Masa mula-mula tampil idea itu, mereka macam pelik dan banyak soalan yang timbul berhubung cadangan menjadikan bidang permotoran sebagai kursus Ko-k.

“Tetapi selepas saya bersama Datuk Dr. Mohd. Ekhwan dan beberapa rakan sejawat menjelaskan tentang aktiviti dan program dalam kursus itu, baru mereka faham,” katanya .

Rentetan daripada itu juga, beliau melakukan pelbagai penambahbaikan setiap tahun bagi memastikan ia tidak dianggap oleh pelajar sebagai antara kursus mudah dapat A.

Sistem penilaian terhadap tugasan atau kerja kursus yang diberikan kepada pelajar sering dikemas kini agar ia sentiasa menepati kehendak dan keperluan semasa.

Contoh terkini, tambahnya, pada tahun ini, selain perlu menghadiri kelas, kerja kursus dan menyertai konvoi, pelajar perlu melengkapkan 30 jam atau 1,000 kilometer (km) tunggangan motosikal untuk satu semester atau 14 minggu.

“Penambahbaikan itu perlu kerana kami tidak mahu dianggap kursus mudah.

Tidak mahu pelajar yang berjaya mendaftar tetapi bila ada konvoi, mereka tidak mahu sertai atau lebih gemar duduk di bilik sahaja,” katanya yang juga pensyarah Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.