Kejuaraan terunggul negara itu bakal menyajikan persaingan sengit kerana semua pelumba menaruh harapan untuk berada di podium.

Saingan di Terengganu sentiasa mencuri tumpuan sejak edisi 2009 lagi kerana tiada pelumba yang mampu mempertahankan kejuaraan.

Juara dalam setiap kategori bersilih ganti dan tiada pelumba yang layak memegang status sebagai ‘jaguh Pantai Timur’.

Pada aksi Pusingan 5 ini, tiga kategori utama akan dipertandingkan iaitu kelas CP150, CP115 dan juga kelas Wira.

Turut diadakan ialah perlumbaan sokongan Mini Cub Prix yang merupakan medan untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

Selain itu, perlumbaan Cabaran Honda Dash 125, Yamaha Petronas Super Series, Petronas Sprinta Pro Am dan juga Cabaran AEON Credit Service Yamaha NVX turut diadakan.

Tumpuan sudah pastinya kepada kelas perdana, CP150 yang bakal dibarisi nama-nama besar dalam sukan permotoran negara.

Antaranya bekas pelumba Moto2 negara, Md. Zaqhwan Zaidi yang akan menggalas cabaran pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Selain Zaqhwan, pelumba lain yang bakal merwarnai saingan di Terengganu kali ini termasuk pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing), Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) dan juga juara Pusingan 5 di Pontian, Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing).

Pelumba pasukan AHM Motorsports Yamaha Racing, Ahmad Fazrul Shah dan juga Md. Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) juga dilihat antara yang mampu mencipta kejutan pada saingan Pusingan 5 kali ini.

Apa yang menarik perhatian pada saingan kali ini adalah kehadiran semula Zaqhwan dalam pasukannya.

Kehadirannya pasti membawa khabar gembira buat pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing yang agak tenggelam dalam dua pusingan terakhir.

Mereka memulakan dua pusingan awal dengan langkah bergaya selepas menjuarai aksi di Jasin, Melaka dan Batu Kawan, Pulau Pinang namun selepas itu, prestasi jentera mereka berada dalam keadaan yang kurang stabil. - UTUSAN ONLINE